Tuesday, September 09, 2008

PARADIGMA 3 (Persiapkan Diri Sendiri)

قال العلماء : أصلح نفسك وادع غيرك

Maksudnya : Baiki diri kamu dan serulah yang lain.

Harus diingat, semua orang menemui ajal. Persiapkan diri kita dan ajaklah yang lain agar turut membuat bekal ke akhirat. Sebaliknya, jangan kita sibuk mencari kelemahan dan bersusah payah mencari silap orang sedangkan kelemahan sendiri tidak diperbaiki.



Baiki diri bermula dari hal ibadat khususnya penghulu amalan iaitu Solat. Seterusnya perbetulkan bacaan Al-Quran. Kegagalan memperbetulkan bacaan akan boleh membawa kepada kegagalan paradigma.

Setelah itu perbaiki hati dengan membuang mazmumah dan isikan dengan mahmudah. Mendoakan kebaikan untuk saudara seagama dan sebagainya. Kemudian perbaiki akhlak dalam pergaulan, pekerjaan dan pengajian. Dalam masa yang sama, serulah manusia. Bukan mengutuk, mencaci, menyindir dan sinis.

Apabila perkara baik itu sudah dikenali, zahirkan ia di khalayak dengan niat untuk mengajak. Ingat, menzahirkan perkara yang baik di dalam masyarakat dianggap satu dakwah dan syiar. Sebagaimana anda berkopiah atau berjubah, begitu juga anda ke masjid apabila masuknya waktu solat. Itu adalah dakwah secara hal.

لسان الحال أفصح من لسان المقال
Maksudnya : Lisan perbuatan itu lebih berkesan daripada lisan perkataan

Sebagaimana nabi memperlihatkan keindahan Islam pada tingkah laku dan perbuatannya. Itu memberi kesan yang cukup besar kepada orang lain. Malah ada yang beriman sebaik bertemu dengannya walaupun belum mendengar perkataannya lagi. Seandainya semua manusia sibuk memperbaiki diri, maka kita tidak lagi memerlukan pendakwah bebas. Sebaliknya kita memerlukan rujukan ilmu yang asas. Apabila manusia sibuk memperbaiki diri, masing-masing akan saling kembali kepada Al-Quran.

Moral : Antara faktor kersosakan masyarakat, ialah kegagalan golongan pemimpin dan pendakwah. Kegagalan dua golongan ini menyebabkan berlakunya kucar-kacir dalam masyarakat.


PARADIGMA 4 (Memberitahu Apa yang Dianggap Benar)

قال تعالى : يأيهاالرسول بلغ ما أنزل إليك من ربك

Ingat, tugas utusan ialah menyampaikan. Tugas rasul ialah memberitahu perkara yang berkaitan dengan dosa-pahala, syurga-neraka, baik-buruk, tauhid-syirik dan sebagainya. Bukan menghukum, membebel atau mengutuk. Sikap ‘Memberitahu’ adalah alat sebaran kebenaran ke serata alam. Tidak kira dimana sahaja kita berada.

Untuk menyampaikan, adalah dituntut untuk kita menguasai al-Quran dan hadis. Ataupun memahami apa itu yang dikehendaki oleh Al-Quran dan hadis dengan sejelas-jelasnya. Ataupun kita yakin bahawa perkara itu benar, maka wajarlah disampaikan. Apabila kita menyampaikan sesuatu kebenaran itu dengan keyakinan, jangan risau jika ianya tersalah. Mudah-mudahan Allah akan menegur kita dan memperbetulkan kesilapan kita di masa akan datang. Memberitahu adalah lebih baik daripada tidak, jika berlaku kesilapan yang tidak disengajakan maka selalulah beristighfar.

Jangan menunggu untuk jadi alim atau untuk jadi ketua atau diberi tugasan. Sebaliknya, menyampaikan itu perlu dibuat pada bila-bila masa dan dimana sahaja. Jangan terlalu memikirkan masa yang sesuai atau terlalu ingin menjaga hati manusia. Jika perlu memberitahu perkara yang benar, sampaikan segera.

Malangnya, suasana memberitahu perkara ‘baik dan benar’ ini jarang wujud. Selalunya kita memberitahu soal ‘makan-pakaian-hiburan-sukan’ dan macam-macam perkara berkaitan hal ehwal dunia’. Kita menggunakan lisan dan masa untuk memberitahu perkara sia-sia.

Moral : Nahi mungkar itu adalah sebahagian daripada sikap ‘memberitahu’. Jika kita jenis yang sabar dalam ‘memberitahu’ perkara yang baik, pastilah kita sudah termasuk dikalangan orang yang melaksanakan Amar makruf dan nahi mungkar.


PARADIGMA 5 (Bantulah Saudaramu dengan Kasih Sayang)

قال النبي : انصر أخاك ظالما أو مظلوما . قال : هذا ننصره مظلوما وكيف ننصره ظالما؟ قال : تأخذ فوق يديه
Maksudnya : Nabi bersabda “Bantulah saudaramu sama ada yang berbuat zalim atau yang dizalimi. Sahabat bertanya “Biasanya kami menolong yang dizalimi, bagaimana kami akan menolong yang zalim?” Nabi bersabda “Kamu menahan tangan (si zalim) daripada meneruskan kejahatannya”.

Dakwah perlu bermula dengan rasa untuk membantu. Malah nabi sendiri mengajar apabila kita ingin mencegah kemungkaran, biarlah pencegahan itu didasarkan dengan niat untuk membantu. Bukan mencabar, tunjuk pandai atau merendah-rendahkan orang yang diseru. Apabila melihat saudara kita dalam kejahilan, kebobrokan, kebodohan maka pantas sahaja kita merasa simpati dan ingin membantunya. Termasuklah orang-orang zalim yang merasakan diri mereka hebat dan bongkak, mereka tetap orang-orang yang kasihan di sisi agama dan perlu dibantu untuk menyedarkan mereka.

Ingat, orang yang jahat seandainya dia menyedari dirinya berada dalam kerosakan pasti dia mahu seseorang membantunya. Orang yang bodoh, jika dia menyedari betapa ruginya menjadi bodoh pasti dia akan meminta orang mengajarnya. Justeru, jangan biarkan orang-orang sekeliling kita membuat kesilapan yang mereka sendiri tidak sedar bahawa itu satu kesilapan. Bantulah mereka menuju ke jalan yang lebih baik.

Moral : Orang yang yakin dia sedang membantu saudaranya tidak akan merasa rugi dalam memberikan apa yang ada. Seperti mencurahkan cinta pada orang yang dikasihi, pasti kita tidak akan merasa rugi. Kerana membantu dan mencintai adalah perkara yang baik.


PARADIGMA 6 (Nasihatlah Saudaramu dengan Sopan)

قال النبي : الدين النصيحة وفى رواية آخرقال النبي : "لا تغضب" أربع مرات

Nabi bersabda : Agama itu disampaikan dalam bentuk nasihat. Dalam riwayat lain nabi bersabda “Jangan marah” sebanyak 4 kali.

Teguran memerlukan cara. Sebaik-baik cara ialah menasihati dengan cara yang sopan. Seburuk-buruk perkara yang tidak perlu dizahirkan ialah kemarahan. Ingat, orang di sekeliling kita sekalipun bukan Islam mereka masih lagi umat Muhammad. Mereka wajar diberi penghormatan dan diajarkan dengan sebaik-baik cara. Melainkan mereka memilih untuk menolak dan berkasar, maka ketika itu cara sebaliknya digunakan.

Ingat, Allah menyuruh nabi Musa AS menyeru Firuan dengan perkataan yang lembut. Ini bererti dakwah itu wajib disampaikan dalam bentuk yang lembut dan berhikmah.

Persediaan pendakwah :
(1) Penampilan diri kemas dan mantap.
(2) Apreasiasi wajah yang tenang dan mudah tersenyum.
(3) Memilih perkataan yang sopan dan wajar.
(4) Bercakap apa yang dirasakan benar dan pasti.

Cara berdakwah :
(1) Secara hal. Menzahirkan Islam secara praktikal. (Pakaian dan amalan)
(2) Secara lisan. Memberitahu apa yang buruk dan baik. (Nasihat, muzakarah dan bincang2)
(3) Secara tulisan. Mencari bahan bacaan yang baik untuk diberikan kepada saudara kita.
(4) Doa

Sejujurnya tidak ada methodologi khusus dalam berdakwah. Tidak ada cara spesifik dalam melaksanakan Amar makruf dan nahi mungkar. Kerana zaman berubah dan khalayak bertukar. Namun yang sama ialah manusia tetap manusia. Tabiatnya sama dan nalurinya serupa. Justeru, kita perlu mempelbagaikan teknik namun asasnya tetap kembali kepada Al-Quran dan as-Sunnah.

Percayalah, kita tidak akan menemukan method terbaik dalam berdakwah selagi kita tidak memulakannya dan belajar dari kesilapan yang berlaku. Teruskan, jika tersalah perbaiki lagi. Kemudian teruskan lagi, belajar secara lapang dada menerima kelemahan.

Moral : Jangan ada marah dan benci. Gunakan pendekatan yang terbaik dalam setiap masa.

PARADIGMA 7 (Hanya Kebenaran dan Kesabaran Jalan Kejayaan)

قال تعالى : والعصر إن الإنسان لفى خسر * إلاالذين أمنوا وعملوا الصالحات * وتواصوا بالحق وتواصوا بالصب

Maksudnya : Demi masa. Sesungguhnya semua manusia berada dalam kerugian. Kecuali yang beriman dan beramal soleh. Saling nasihat-menasihati dalam kebenaran dan kesabaran.

Tuhan ingin memberitahu manusia bahawa ada dua perkara yang sukar dijaga kebenaran dan kesabaran. Manusia akan mudah dilupakan dengan arus dunia. Manusia akan mudah hilang kesabaran. Justeru, seluruh paradigma di sini ingin mempastikan kebenaran dan kesabaran dijaga sebaik mungkin. Kerana itu tuhan menyebut “Watawasou” bererti saling nasihat-menasihati. Perkataan itu memerlukan kerjasama dan sikap istiqamah.

Paradigma ketujuh ini adalah kesimpulan bagi Amar Makruf dan Nahi Mungkar. Tiada manusia sempurna dan sunyi dari kesilapan. Justeru, catatan ini bukan memfokuskan kepada orang lain sahaja. Ia adalah berkait dengan dua pihak ataupun semua pihak. Dalam hal ini, kita perlu melihat diri dan orang lain. Kita perlu menjaga diri kita dan orang lain. Hanya dengan cara itu kita akan selamat.

Paling wajar disebut ialah, seandainya kita berjaya menjaga diri kita barulah kita mampu mengajak orang lain. Ramai pendakwah sibuk memperbaiki orang sedangkan dirinya terabai. Ramai orang yang ‘rasa’ dirinya bagus sehingga dibutakan dengan rasa bagus itu dari melihat kelemahannya. Ini bukan soal mengajak orang lain, jika kita mampu mengajak diri kita kearah kebenaran insya allah manusia sekeliling akan tergerak mengikut kebenaran itu.

PENUTUP

Seandainya tujuh paradigma ini diamalkan, secara beransur-ansur punca kejahatan iaitu jahil dan zalim akan terhapus. Akhirnya simptom kejahatan akan mengurang dan lesap. Semoga mendapat manfaat dari catatan ini.


Disediakan oleh
A. Ubaidillah Alias

No comments: