"CINTA KEMBALI BERSUJUD" (2)

PETIKAN (2) :

RASIMA tiba di sekolah awal pagi seperti biasa, dia terus masuk ke kelas bagi meletakkan beg. Sewaktu dia tiba di kelas, kelihatan hanya beberapa orang pelajar yang sudah berada di situ. Selang beberapa meja dari situ, kelihatan Rahman sudah berada di kerusinya. Sememangnya Rahman antara pelajar yang selalu datang awal, mungkin kerana pihak rumah kebajikan sentiasa melatih mereka dengan disiplin. Di sebelah Rahman pula kelihatan Safuan yang sedang asyik membelek buku latihan. Safuan adalah pelajar lelaki yang paling menonjol dalam pengajian. Apabila dibandingkan dengan pencapaian Rasima, jarak mereka begitu hampir. Rasima hanya mendahului beberapa langkah sahaja. Namun dalam perawakan dan penampilan, Safuan sederhana.
Disebabkan pencapaian Safuan yang baik, pihak sekolah sengaja menempatkan Rahman yang agak lemah dalam pengajian di sebelahnya. Ini bertujuan membantu Rahman supaya dapat mengambil manfaat apabila duduk di sebelah pelajar lelaki yang berpencapaian tinggi. Lama-kelamaan, Safuan dan Rahman menjadi rakan belajar yang baik. Dari situ, pencapaian pengajian Rahman semakin meningkat. Namun, perangainya yang nakal itu masih belum berubah sehingga sekarang.
Rasima tidak ambil pusing dengan rakan-rakan lain, dia langsung duduk di kerusi sambil mengeluarkan beberapa buah buku dari beg galasnya bagi diletakkan di dalam laci meja. Tiba-tiba tangannya menyentuh sesuatu di dalam laci. Dia menarik keluar sesuatu.
“Surat?” Matanya memandang sekeping sampul berwarna putih. Tertulis pada sampul itu satu perkataan ‘Ratu’.
“Surat apa ini? Untuk aku? Siapa ratu? Adakah ini surat cinta?” Rasima berfikir sendiri, hatinya diserbu rasa gundah. Seandainya ada orang lain mengetahui yang dia menerima surat cinta, pasti imej dan reputasinya jatuh. Dia adalah pelajar yang sentiasa mendapat pujian guru-guru di sekolah. Sekiranya dia cuba bermain surat cinta dengan seseorang, pasti orang memandang serong kepadanya.
Rahman menjeling dengan hujung mata. Kemudian, dia menutup semula matanya dan berpura-pura tidur. Suasana pagi masih dingin dan mendamaikan. Dia melayan rasa mengantuknya sambil berteleku di atas meja. Dia tidak mahu menimbulkan sebarang kecurigaan Rasima kepadanya.
“Tetapi... apa isinya, baik aku baca dahulu,” getus Rasima. Dia memandang sekeliling, kelihatan beberapa orang pelajar di dalam kelas itu masih lagi mengantuk dan sedang melayan emosi masing-masing. Hati Rasima berdetap-detup mahu membaca isi surat. Inilah kali pertama dia menerima surat daripada orang yang tidak dikenali. Dia begitu teruja.
Dia membuka helaian surat yang berlipat, matanya memerhati sekeliling bagi memastikan tiada orang menyedari dia sedang membaca surat. Kemudian, matanya mula menatap butir kata yang tertulis.
Assalamualaikum

Ratuku ibarat warna jingga matahari,
Munculnya menyinari dua ufuk dunia,
Lalu aku datang meluahkan perasaan sendiri,
Menulis bicara sepi untuk menghurai erti cinta.

'Rasima', lama benar aku mahu menyebut namamu sambil menatap sebujur wajah indah. Mahu sekali aku menghadap kedua matamu dan menghadiahkan segaris senyuman. Kehadiranmu, seperti membawa cahaya dalam hidupku. Engkau ibarat matahari yang menerangi lazuardi jumantara hatiku.
Rasima terhenti pada perenggan pertama, dia tertegun setagal. Terasa seluruh bulu romanya meremang dan jantungnya berdegup kencang. Matanya memandang sekeliling, sekadar membuat pemantauan. Dia bergumam sendirian, “Surat apa ini? Ayatnya pelik sahaja? Tetapi... seronok juga aku baca.” Dia tersengih dan meneruskan bacaan.
Mahu sahaja aku menegurmu setiap hari dan bertanya “Apa khabar? Sudah makan?”, tetapi semua itu mustahil. Lidahku kelu setiap kali mendekatimu. Aku tidak mungkin melakukannya di alam realiti kerana engkau terlalu berbeza daripada hidupku. Setiap kali kubawa hatiku mendekatimu, bagaikan ada dinding yang memisahkan. Kita bagaikan hidup di dalam dua alam yang berlainan. Engkau merak kayangan, aku pipit di hutan.
“Aku merak kayangan? Ayat dia memang jiwang! Sudah tahu diri kamu pipit di hutan, buat apa tulis surat ini untuk aku?” Rasima ketawa sendirian, sambil merasakan kelucuan membaca ayat demi ayat. Dia menyambung bacaan.
Engkau bagaikan kutub utara dan aku bagaikan kutub selatan. Sekuat mana aku melaung memanggilmu, suaraku tidak akan bisa menyentuh kalbumu. Kerana itu, aku berusaha menulis surat ini kepadamu. Biarpun engkau belum tentu membacanya, sekurang-kurangnya aku sudah cuba menyampaikan suara hatiku kepadamu. Dan aku tidak meminta engkau membalas suratku.
Tiba-tiba hati Rasima dibalut perasaan romantis, kedinginan pagi ditambah dengan suasana hening di dalam kelas. Dia diselubung rasa syahdu membaca butir kata penulis warkah misteri itu. Perasaan mahu tahu mula menyerbu dirinya. “Siapakah lelaki yang menulis surat ini? Adakah dia Safuan? Mungkinkah? Adakah surat ini ditulis oleh Rahman? Mustahil! Tidak mungkin budak itu pandai menulis surat jiwang. Menggertak orang, pandailah. Tetapi, siapa ya?” hati Rasima berteka-teki. Dia semakin ralit dibuai dunia perasaan, tumpuannya diberikan sepenuhnya pada pembacaan surat itu. Ayat-ayatnya tersusun indah menjadikan hati wanita Rasima tersentuh.
Dalam tidurku ada seribu mimpi,
Dalam mimpiku hanya ada satu wajah,
Hadirmu menjadikan mimpiku bererti,
Wajahmu menjadikan semua lenaku indah.

Aku adalah lelaki yang datang dari kamar rahsia. Seandainya aku memperkenalkan diriku, pasti engkau pergi dari hidupku. Aku cuma mahu engkau mengerti, kupunya hati yang sering menyeru namamu. Disebabkan itu, aku terpanggil menulis sesuatu untukmu.
Dalam satu hati tidak bisa menghimpun dua cinta. Dan cinta tidak boleh diceraikan daripada jiwa. Hanya di situ sahaja cinta duduk bermukim. Masih banyak yang mahu aku tuliskan untukmu. Sekiranya engkau sudi membaca surat-suratku, pasti aku menulis lagi untukmu. Seandainya engkau masih mahu menerima perutusanku, balaslah ia mengikut kerelaan hatimu. Lalu, kertas itu engkau lipat dan tampalkan di bawah kerusimu. Aku akan mendapatkannya nanti.
Aku tidak memaksa dirimu, aku hanya meminta. Sekian, terima kasih kerana sudi membaca suratku hingga ke kalimat terakhir.

Wassalam.
Penghuni Kamar Sepi
Rasima menutup segera surat itu dan menyimpannya ke dalam sampul. Hatinya sangat teruja dan dipenuhi persoalan. Siapakah pengirimnya? Adakah dia Safuan? Ataupun Rahman? Tidak! Tidak mungkin.
“Aku yakin, surat ini bukan tulisan Ustaz Kahar. Tetapi... siapa?” Rasima menimbulkan persoalan.
“Sekiranya aku mahu mengetahui siapa pengirimnya, aku perlu membalasnya. Tetapi, apa pula kata orang lain apabila mereka tahu aku berutus surat dengan seorang lelaki? Ah..., pandai buat, pandai simpan. Lagipun, aku bukan serius sukakan dia. Aku cuma mahu tahu siapakah orangnya. Aku akan menulis kepadanya apabila ada masa,” Rasima membuat keputusan sendiri. Dia merancang menulis di perpustakaan apabila tiba masa rehat nanti. Kemudian, dia akan melekatkan surat itu di bawah kerusinya sebelum pulang pada hari ini.
Dari jauh, Rahman menyedari perubahan wajah Rasima yang begitu ceria. Dia dapat merasakan yang Rasima menyukai butiran kata dan ayat-ayat tulisannya. Dia yakin, Rasima pasti membalas suratnya. Rahman berteleku atas meja sambil membenamkan mukanya di antara kedua belah lengannya. Dia tersenyum lebar.
“Mungkin aku dapat mengurat ratu sekolah ini berbekalkan ayat-ayat romantisku.” Rahman ketawa galak. Tiba-tiba hati Rahman diserbu rasa penasaran. Dia menjadi begitu teruja dan tidak sabar mahu mengetahui apakah yang akan ditulis oleh Rasima.
“Jangan gopoh! Pasti dia membalasnya...,” Rahman memujuk hati sendiri.