"CINTA KEMBALI BERSUJUD" (4)

PETIKAN (4)

WAWA merasa terbuai dipeluk hembusan dingin sewaktu senja menjalar di kaki langit. Mentari beransur hilang di balik tabir malam dan kesuraman memeluk lembut bandar Incheon yang semakin diwarnai lampu neon. Ia bandar metropolitan ketiga terbesar di Korea Selatan selepas Seoul dan Busan. Sekalipun arus manusia kelihatan sibuk, namun keteraturan bandar Incheon tetap sederhana.
Ia sebuah bandar yang unik dan mempunyai kawasan bentuk bumi yang mempesona kerana kedudukannya di pesisir pantai barat Korea Selatan. Sebelum ini Incheon adalah bandar yang perlahan dan lengang. Pada awal kurun ke-20, Incheon berubah menjadi bandar industri yang pesat membangun. Di bandar inilah berdirinya menara tertinggi di Korea iaitu Menara Perdagangan Timur Laut Asia.
Siapa sangka menara yang sedang dibina setinggi 1,001 kaki dan mempunyai 68 tingkat dapat mengalahkan menara tertinggi sebelumnya iaitu Menara Istana Samsung yang terletak di ibu kota Korea, di Seoul. Bermula tahun 2010, Menara Perdagangan Timur Laut Asia menjadi menara tertinggi di Korea Selatan. Tidak jauh dari lokasi pembinaan menara itu terletak pula Universiti Inha. Di sinilah tempat Wawa mendalami pengajian kejuruteraan hampir empat tahun. Hidup di negara Korea memberi banyak erti hidup sebagai Muslim.
Universiti Inha mempunyai kawasan yang konfusif bagi pembelajaran. Kampus ini mempunyai taman dan tasik yang menawan. Salah satu tasik yang sering menjadi tumpuan adalah Tasik In Kyoung yang terletak di tengah perkarangan universiti. Wawa bersandar di bangku kayu sambil matanya menikmati keindahan permukaan Tasik In Kyoung. Di dalam tasik itu kelihatan itik-itik sedang berenang dan ikan-ikan kecil berkejaran di dasarnya. Visual pawana langit senja di pinggiran tasik ternyata memberi kesan pesona yang luar biasa. Wawa menyumbatkan fon telinga yang bersambung dengan i-Pod ke dalam pendengaran. Lagu hit Korea iaitu ‘No Body’ nyanyian Wonder Girls sedang bersipongang. Kakinya tergedik-gedik sambil bibirnya mengikut lirik lagu.
Wawa menarik mata dan memandang sekeliling, pokok bunga kecil yang merenik-renik dan pepohon merendang kelihatan tersusun meneduhi sepanjang tepi tasik. Susunan bangku kayu, batu-batu besar dan kerikil yang tersusun menjadikan lorong perjalanan kaki kelihatan sungguh semula jadi. Mata Wawa dihalakan ke dada langit dan dia tersenyum lebar. Awan November kelabu dan kelihatan seperti cairan lilin. Udara dingin musim ini membuatkan jiwa Wawa menyanyi girang.
Korea mempunyai empat musim, iaitu musim panas, musim bunga, musim luruh dan musim sejuk. Walaupun begitu, cuaca di Incheon tidak terlalu sejuk dan terlalu panas seperti di Seoul. Musim panasnya hanya mencecah 29 darjah Celsius dan musim sejuknya mencecah minus tiga. Namun, udara sejuk di Incheon sesekali berubah hangat disebabkan angin panas yang bertiup dari lautan Pasifik. Walaupun begitu, salji pasti turun pada penghujung November atau awal Disember iaitu apabila musim sejuk berada di puncaknya.
Wawa menyukai musim sejuk dan dia sedang menanti saat salji turun ke bumi. Dia suka memakai pakaian tebal yang melitupi tubuh. Baginya pakaian musim sejuk membuatkannya kelihatan lebih menawan. Cuma, kesukaran hanya timbul apabila dia mahu berwuduk dan membuang air. Atas sebab itu, dia hanya keluar bersiar-siar pada waktu petang sewaktu musim sejuk berkunjung.
Keasyikan melihat salji turun ibarat mimpi, berdiri di bawah salji membuatkan dirinya terasa bagaikan berada di alam kayangan. Malangnya, musim salji tahun ini adalah terakhir buatnya. Dia akan menamatkan pengajian di Inha University, Incheon awal tahun hadapan. Selepas itu, dia akan pulang sebagai graduan dalam bidang kejuruteraan. Segala kenangan pahit dan manis di sini akan disimpan sebagai penguat semangat menghadapi masa hadapan.
Wawa masih mendengar lagu ‘No Body’. Rentaknya agak rancak, namun seni kata lagunya membuatkan hati Wawa sayu. Makin lama, dia semakin menghayati lirik dan rentak. Entah bagaimana tiba-tiba wajah Haziq muncul. Wawa ketawa sendiri apabila terkenangkan peristiwa pagi itu. Dia menggeleng sendirian. Lamunannya berputar lagi.
Wawa teringat kalam Sufiah yang menyatakan, dia sesuai berkahwin dengan ustaz. Betulkah begitu? Selama ini, dia merasakan dirinya kurang sempurna dari segi penampilan. Wawa memerhati pakaiannya sendiri.
“Aku memakai tudung biasa sahaja, bukan tudung labuh. Berseluar jean dan berbaju lengan panjang. Biasanya ustaz mahukan orang berbaju kurung. Sekiranya aku berkahwin dengan ustaz, pasti sukar untuk aku memakai seluar jean dan sudah tidak boleh melaram. Mekap dan bedak, pewangi dan sebagainya memang sudah tentu aku tidak boleh pakai di luar rumah. Susahnya hidup aku sekiranya berkahwin dengan ustaz,” Wawa merungut sendiri.
Kali ini dia terbayangkan wajah Syakir. Sepupu paling rapat dengan dirinya. Namun, sepanjang dia belajar di Korea ayah langsung tidak izinkan dia bertanya khabar Syakir dan keluarga Syed Omar. Namun dia masih membayangkan Syakir, jejaka yang mempunyai gaya remaja masa kini. Penampilan Syakir selalunya berbaju kemeja-T dan berseluar jean.
“Sekiranya aku berkahwin dengan Syakir, gayanya memang padan dengan aku.” Wawa senyum sendirian. Seketika dia menggeleng pula.
“Jangan difikirkan soal itu. Apabila pulang nanti, aku terus berjumpa mereka di rumah Pak Cik Syed Omar,” getus hati Wawa. Cepat-cepat dia menepis usikan emosi yang cuba mengganggu senja indahnya. Dia tidak mahu peristiwa lalu mengganggu senja yang redup ini. Dia segera membalut kisi-kisi atmanya dengan semangat. Perlahan dia bangun dari duduk dan mencari teman serumahnya.
I-Pod dimatikan dan dia membuka langkah. Kelihatan Sufiah sedang duduk berborak di atas rumput bersama Nurani. Sufiah adalah rakan sepengajian dan juga teman serumahnya yang berasal dari Kelantan. Manakala, Nurani adalah rakan satu kuliah yang berasal dari Jakarta. Dia menghampiri kedua-dua rakannya.
“Mari kita pulang, hari sudah senja,” Wawa mengajak kedua-dua rakannya. Tangannya membetulkan jilbab yang berkedut pada bahagian hadapan wajahnya.
“Sudah mahu pulang? Kebiasaannya kamu yang mahu duduk sampai mentari terbenam. Mengapa hari ini mahu beredar awal?” Nurani menyapa lembut, senyuman tidak lekang di bibirnya. Wawa memandang langit di atas kepalanya, kemudian dia kembali menatap wajah Nurani.
“Sekarang November, awan kian pekat dan bila-bila masa salji akan turun. Dalam musim begini memang sukar melihat mentari, cahayanya juga terbias suram. Jadi, aku tidak dapat melihat cahayanya terbenam di kaki langit,” jelas Wawa. Sufiah dan Nurani mengangguk kecil tanda setuju. Mereka bangun dari duduk sambil menarik beg galas masing-masing.
“Aku lapar, aku mahu pulang dan memasak spageti. Kamu mahu makan malam bersama aku dan Sufiah?” pelawa Wawa. Sebagai orang Islam, Wawa tidak boleh makan ramen atau mi yang dibuat oleh penduduk tempatan kerana terlalu banyak bahan campuran makanan yang tidak diketahui kandungannya. Oleh itu, dia sering memesan beberapa bekalan makanan dari Malaysia khususnya spageti. Ayahnya selalu mengirim makanan mentah bagi memudahkan dia mendapatkan makanan halal.
“Sebentar,” Nurani memandang Wawa sambil memikirkan pelawaannya.
“Mengapa? Sudah ada temu janji dengan orang lain? Ataupun kamu mahu pergi ke persimpangan Gomin?” Sufiah menebak.
“Aku tidak bercadang pergi ke Gomin. Lagipun di sana, tidak banyak makanan halal. Sebetulnya aku ada temu janji malam ini dengan rakan-rakan. Kami mahu menonton filem bersama-sama. Jadi, aku tidak boleh menyertai kamu. Maafkan aku, ya!” jelas Nurani.
“Mahu menonton filem apa? Drama Korea?” tanya Sufiah mahu tahu.
“Bukan drama tetapi filem Indonesia, iaitu Ketika Cinta Bertasbih. Kami menonton di bilik asrama. Semalam kenalan kami baru sahaja menerima bungkusan kiriman dari Jakarta. Dia turut memesan DVD filem itu. Apa lagi, kami sepakat mahu menonton bersama malam ini. Pasti seronok,” jelas Nurani sambil menggenggam kedua-dua tangannya tanda merasa teruja. Sufiah tersenyum.
“Aku sangka kamu mahu menonton filem Korea. Ternyata sangkaan aku meleset,” jelas Sufiah.
“Kami anak Indonesia mengagumi karya Habiburrahman el-Shirazy. Di dalamnya ada nasihat agama yang mudah resap ke dalam jiwa anak muda. Sekiranya kamu berminat, boleh sahaja pinjam DVD itu selepas kami selesai menonton,” jelas Nurani.
“Boleh, aku mahu!” Sufiah menjawab. Wawa tersenyum kecil melihat perbualan rakannya. Dia mula melangkah di hadapan sambil membawa emosi yang agak kabur.
Ketika Cinta Bertasbih... Korea... Haziq, Mengapa pula lelaki itu yang aku sebut?” getus hati Wawa.
“Wawa, tunggu aku!” jerit Sufiah apabila menyedari temannya sudah berjalan agak jauh meninggalkannya. Nurani turut mengikut dari belakang. Mereka bertiga tinggal di bangunan asrama yang berdekatan. Bilik Wawa dan Nasimah berada di Blok C, manakala bilik Nurani berada di Blok E. Memandangkan blok asrama mereka berdekatan, mereka kerap bertemu dan sering ke kuliah bersama.
Senja kian suram dan hari sudah menjengah Maghrib. Wawa dan Sufiah berpisah dengan Nurani di persimpangan jalan. Wawa dan Sufiah meneruskan perjalanan ke Blok C. Sebaik tiba di pintu masuk bangunan, Wawa memeriksa peti surat kalau-kalau ada kiriman untuknya.
“Tiada sebarang kiriman untuk aku hari ini,” cebik Wawa. Sambil tangannya menutup kembali peti yang kosong. Sufiah turut berbuat perkara yang sama.
“Aku pun sama. Peti kosong. Kamu sedang menunggu kiriman daripada sesiapa?” tanya Sufiah. Mereka mula berjalan menuju ke arah lif.
“Sebenarnya aku menunggu kiriman buku-buku agama daripada ayah,” jelas Wawa.
“Buku agama? Kamu mahu belajar tentang apa?” Sufiah sedikit kehairanan.
“Fasal agama kita,” jelas Wawa. Dia membetulkan tudung kecilnya sambil memandang pintu lif yang masih belum terbuka.
“Kamu ada masalah dengan agamakah?” Sufiah belum menemui jawapan yang dicari.
“Bukan ada masalah, cuma... aku merasakan aku jahil. Soal ilmu fardu ain pun aku rasa belum lulus dengan baik,” Wawa bercakap dengan nada perlahan. Dia merasa rendah diri apabila berbicara soal agama.
“Betul juga cakap kamu. Aku sendiri pun rasanya belum benar-benar khatam bab bersuci.” Sufiah mula memahami tujuan Wawa memesan buku agama.
“Aku kadangkala terfikir sendiri, sepatutnya kita sebagai orang Islam perlu pastikan pengetahuan kita jelas mengenai agama sendiri. Sepanjang kita belajar di sini kita langsung tidak mendapat sebarang pendedahan agama. Pagi sampai petang pergi kuliah, sepatah pun tiada kaitan dengan agama.” Wawa sampai di muka pintu lif yang belum terbuka. Kelihatan beberapa pelajar Korea yang lain turut menunggu.
“Ceramah online bukankah ada? Bukankah kamu pernah muat turun ceramah ustaz-ustaz yang ada di Internet,” Sufiah menambah.
“Memang pernah, tetapi tidak memadai secara online sahaja. Apabila ada kemusykilan yang berbangkit, aku tidak tahu di mana tempat merujuk. Kadangkala ada orang Korea yang bertanya fasal Islam, aku langsung tidak dapat menjawab. Jadi, aku sepatutnya mempunyai buku-buku rujukan yang membolehkan aku mengkaji sambil memperdalamkan ilmu. Pada masa sama, dapat aku mempromosikan agama kita,” jelas Wawa.
“Bagus begitu Wawa, ada inisiatif belajar agama. Aku langsung tidak terfikir membuat semua itu. Seingat aku, sudah dua bulan aku tidak mendengar ceramah yang ada dalam komputer riba kamu,” Sufiah tersengih.
“Bagaimana hendak mendengar ceramah, kalau filem Korea berlambak dalam komputer riba. Mana sempat mahu mendengar apabila sudah tergila-gila menonton filem.” Wawa tersengih.
“Perli nampak!” Sufiah menjeling sambil tersengih.
“Bukan perli kamu seorang sahaja. Aku pun sama juga.” Wawa memandang Sufiah. Ketawa pecah serentak di bibir mereka.
“Ceria nampak?” satu suara menyapa dari belakang. Wawa dan Sufiah tertegun setagal. Mereka berpusing serentak. Seorang pemuda Malaysia memakai jaket musim sejuk dan berseluar jean hitam sedang berdiri tepat di belakang Wawa. Di lehernya ada rantai berwarna hitam dan tangan kanannya terikat sejenis gelang perak.
“Haziq!” hati Wawa menjerit. Matanya melekap pada wajah lelaki itu buat seketika. Pintu lif turut terbuka dan orang lain bersegera memasuki lif. Sufiah melangkah ke dalam lif terlebih dahulu dan Wawa masih kaku berdiri di hadapan Haziq.
“Mari! Nanti pintu lif tertutup,” Haziq memberitahu. Wawa bagaikan terjaga daripada mimpi. Dia segera melangkah masuk ke dalam lif. Sebaik Wawa dan Haziq melangkah masuk, pintu lif tertutup. Wawa tidak tahu mengapa dirinya mudah hilang tumpuan apabila berdekatan dengan lelaki itu. Sebetulnya baru dua bulan lalu Haziq berpindah ke Blok C dan tinggal di tingkat yang sama dengan mereka. Bilik Haziq bersebelahan dengan biliknya.
Lif berhenti bergerak. Mereka tiba di tingkat empat. Wawa, Sufiah dan Haziq keluar dari pintu lif dan bergerak ke koridor.
“Tadi awak pergi bersiar-siar di tepi Tasik In Kyoung?” Haziq tersenyum sambil mengajukan soalan ke arah Wawa dan Sufiah. Mata pemuda itu jernih dan mukanya bujur sirih. Keningnya lebat dan dagunya runcing. Hidungnya tidak terlalu mancung dan di bawah dagunya ada sedikit janggut nipis. Haziq adalah pemuda yang menawan walaupun wajahnya tidak terlalu macho.
“Ya, kami mengambil angin di sana. Awak ke mana tadi?” balas Wawa.
“Saya ke persimpangan Gomin, mencari majalah dan komik,” jelas Haziq sambil menunjukkan barang yang dibeli. Memang sudah menjadi kebiasaan pelajar membeli majalah sebagai bahan bacaan santai.
“Saya beredar dahulu, ya!” Wawa meminta diri.
“Wawa, awak masak apa malam ini?” tanya Haziq lagi.
“Spageti agaknya,” jelas Wawa.
“Sedap juga, boleh minta sedikit? Saya tinggal sendirian sahaja di sebelah. Tiada selera mahu memasak seorang diri.” Haziq mengada-ngada, langsung tidak merasa malu.
Wawa dan Sufiah ternganga. Sememangnya Haziq adalah pemuda yang mesra dan suka bergurau, namun inilah kali pertama Haziq meminta makanan daripada mereka. Mereka sudah berdiri di pintu bilik masing-masing. Sufiah segera mencucuk kunci di tombol pintu dan memulasnya. Daun pintu terkuak.
“Boleh, apa salahnya. Bukankah kita berjiran? Boleh ataupun tidak, Wawa?” Sufiah segera menjawab dengan penuh senyuman sambil menjeling ke arah Wawa. Dahi Wawa berkerut mendengar persetujuan Sufiah. Mahu sahaja Wawa membangkang jawapan itu tetapi mulutnya bagai terkunci.
“Terima kasih, dapat juga merasa air tangan orang Malaysia.” Haziq girang.
“Boleh, sejam lagi awak datang ambil makanan di bilik kami,” Sufiah memberi cadangan sambil menarik tangan Wawa masuk ke bilik mereka.
“Baik, saya datang ambil nanti,” Haziq memberi kepastian. Wawa dan Sufiah hilang di balik pintu. Sebaik pintu ditutup rapat, Wawa mencubit kecil bahagian lengan Sufiah.
“Mengapa?” jerit Sufiah sambil ketawa kecil. Dia tahu, Wawa tidak berpuas hati dengan tindakannya sebentar tadi. Bilik yang mereka duduki seperti apartmen mini yang mempunyai satu tandas, satu dapur, satu ruang tamu dan dua bilik tidur sempit. Ruangnya sangat kecil, tetapi sudah dikira selesa untuk dua orang penghuni.
Di sebelah pintu masuk adalah tandas, bahagian tengah pula ruang tamu yang bercantum dengan dapur, di ruang itu ada meja makan yang menjadi tempat makan dan berbual Wawa dan Sufiah. Di situ juga mereka sering duduk menghadap komputer riba dan melayari Internet.
Wawa menekan suis lampu dan cahaya kalimantang menerangi ruang kediaman kecil mereka.
“Kamu sengaja mahu kenakan aku,” Wawa mencebik.
“Jangan emosional. Aku tahu budak lelaki itu memang suka pada kamu. Semenjak dia tinggal di bilik sebelah, memang selalu dia bertanyakan aku tentang kamu. Jadi, aku tidak sampai hati menghampakan harapan dia. Lagipun, dia kelihatan okey sahaja.” Sufiah merebahkan tubuh di atas kerusi. Beg galasnya diletakkan di atas meja sebelahnya.
“Okey? Bahagian mana yang okey?” Wawa mahu penjelasan lanjut. Dia duduk di hadapan kerusi yang menghadap Sufiah.
“Semualah, wajahnya dan keterampilannya. Kamu tengok ketinggian Haziq, muka kita ini paras leher dia sahaja. Dada dia kekar dan otot tangan dia perkasa. Senang kata, semua kelihatan okey,” jawab Sufiah.
“Sempat juga kamu perhatikan tubuh orang? Gatal kamu ini. Nampaknya cita rasa kita tidak serupa.” Wawa mengeluarkan i-Pod dan menekan-nekan skrin i-Podnya.
“Mestilah aku perhati! Bukan gatal, itu naluri biasa seorang wanita. Kamu cakap sahaja cita rasa berbeza tetapi, sewaktu terserempak dengan dia, aku tengok kamu tergamam seperti dipanah asmara,” Sufiah cuba mengusik rakannya.
“Cakap elok-elok, mana ada panah asmara. Sebenarnya aku keliru dengan identiti lelaki itu.” Wawa duduk di meja sambil menongkat dagu. Matanya memandang wajah Sufiah.
“Identiti? Aku rasa dia manusia normal, bukan makhluk asing pun. Apa yang mahu dikelirukan?” jelas Sufiah.
“Kamu buat lawak pula. Aku serius. Cuba kamu perhatikan pakaian dia sebelum musim sejuk. Dia selalu memakai seluar pendek apabila berjalan di koridor dan berbaju tanpa lengan. Nampak lutut buruknya dan ketiak berbulu,” jelas Wawa.
Hahaha!” Sufiah tiba-tiba tergelak besar mendengar ayat Wawa.
“Aku serius. Maksud aku, dia jenis yang tidak menutup aurat. Suka mendedahkan tubuh. Tambahan pula, dia memakai rantai leher dan gelang tangan. Itu bukan fesyen orang Islam. Aku memang tidak suka melihat lelaki yang memakai rantai dan gelang,” jelas Wawa.
“Itu fesyen orang zaman sekarang. Orang lelaki Korea ramai yang memakai rantai dan gelang. Apa yang mahu dihairankan,” Sufiah seperti membeli Haziq.
“Itu orang Korea, mereka bukan orang Islam. Kita yang Islam, perlu ada identiti yang jelas. Sampai sekarang aku keliru yang dia itu beragama Islam ataupun tidak? Pada jangkaan kamu, adakah dia bersolat?” Wawa meluahkan prasangkanya.
“Sanggup kamu beranggapan begitu. Kamu itu baguskah? Tidak baik bersangka buruk pada orang.” Sufiah sedikit terusik mendengar persepsi Wawa dan segera membangkangnya.
Astaghfirullah, bukan sangka buruk. Sekadar mahu tahu. Tetapi, betul juga kata kamu. Sepatutnya aku tidak boleh menghukum orang secara zahir. Sudah, mari kita pergi memasak.” Wawa segera bangun dari duduk dan bergegas ke dapur.