"CINTA KEMBALI BERSUJUD" (1)

PETIKAN (1) 

MASJID AS-SOBIRIN terletak hanya 500 meter daripada rumah kebajikan tempat Rahman menginap. Masjid itu sering mengadakan kuliah selepas solat Maghrib. Rahman mengambil peluang ke sana bagi mendengar beberapa siri kuliah Maghrib. Dia berjalan kaki sahaja menuju ke sana. Baginya, masjid tempat dia mencari ketenangan dan kedamaian. Ahli masjid sentiasa mengalu-alukan kehadirannya dan melayannya dengan baik.
Selesai sahaja penyampaian kuliah Maghrib, seluruh ahli masjid menunaikan solat Isyak berjemaah. Rahman turut serta, dia begitu berminat mengikuti setiap aktiviti di situ. Kemudian selepas selesai solat Isyak, Rahman menanti Ustaz Adam di sudut masjid. Rahman mula mengenali Ustaz Adam semenjak dia menghuni rumah anak yatim. Ustaz Adam antara orang yang kerap memberikan sumbangan kepada rumah anak yatim itu. Malah, Ustaz Adam juga yang mencarikan penaja duit poket dan duit tambang untuk dia serta adiknya meneruskan pengajian di sekolah agama.
Rahman memerhati Ustaz Adam menyelesaikan solat sunat rakaat dan berdoa. Kemudian, Ustaz Adam mengambil beg kitabnya dan bergerak ke arah pintu masjid. Rahman segera bangun dan merapati Ustaz Adam.
“Apa khabar?” dia menyapa.
“Baik, alhamdulillah. Sofiy ar-Rahman rupanya. Apa khabar?” Ustaz Adam memandang wajah pemuda itu. Rahman menghulurkan tangan untuk bersalaman. Mereka berjabat tangan. Kemudian, Rahman membetulkan kopiahnya.
“Saya baik sahaja. Lama tidak berbual bersama ustaz. Ustaz mahu pulang segera?” Rahman tersengih-sengih seperti kerang busuk.
“Mengapa tersengih? Ada apa-apa kamu mahu tanya pada saya?” Ustaz Adam memerhati gelagat Rahman, dia mematikan langkah.
“Sekadar mahu berbual sebentar. Itu pun sekiranya ustaz tidak keberatan,” pinta Rahman.
“Boleh, apa yang mahu kamu tanyakan?” Ustaz Adam segera duduk di satu sudut masjid. Rahman tersenyum dan duduk di sebelahnya.
“Saya sebenarnya mahu mengadu kepada ustaz. Sebelum ini saya memilih memasuki sekolah agama dengan niat mahu berubah menjadi budak baik. Tetapi, keadaan sekeliling menyukarkan proses untuk saya berubah.”
“Apa yang menyukarkan kamu?”
“Semua orang cakap buruk fasal saya disebabkan saya anak yatim. Tambahan pula, saya memang nakal,” Rahman mengaku kekurangan dirinya dengan tulus. Ustaz Adam tersenyum lebar.
“Memang saya ada juga mendengar rungutan orang sekitar kampung ini mengenai perangai kamu, tetapi saya tidak salahkan kamu. Mungkin kamu perlu diberi didikan dan bimbingan yang lebih. Tetapi, teruk sangatkah perangai kamu?” tanya Ustaz Adam lagi.
“Saya pun tidak tahu seteruk mana perangai saya. Tetapi, mereka selalu menggelar saya kacang hantu dan gangster. Mengutuk dan menghina saya. Sampai adik saya juga malu ada abang seperti saya. Bagaimana saya mahu berubah? Adakah saya akan menjadi makhluk yang hina disebabkan saya anak yatim?”
“Mengapa pula kamu menjadi hina? Bukankah nabi juga anak yatim? Kamu perlu faham, menjadi hina ataupun mulia bukan disebabkan status yatim. Hina dan mulia dinilai mengikut takwa dalam hati. Seperkara lagi, mahu menjadi baik tidak memerlukan cakap orang. Biarpun semua orang menghina kamu, sekiranya kamu meneruskan amalan baik, kamu tetap dianggap baik di sisi Allah. Kamu hanya perlu istiqamah dan jangan sesekali berbuat jahat.”
“Tetapi, mengapa semua orang seperti mahu saya menjadi jahat? Ada seorang ustaz di sekolah selalu menyindir dan menghina saya. Cakap saya budak nakal, perangai seperti hantu dan berbagai-bagai lagi,” beritahu Rahman dengan nada merungut.
“Ustaz kamu cakap begitu?”
“Ada seorang ustaz yang suka menghina saya.”
“Ustaz dan guru yang menghina muridnya adalah ustaz yang tidak cukup ilmu agamanya. Menghina orang itu perbuatan orang jahil. Ustaz yang baik, akan sentiasa mendoakan muridnya dengan kata-kata positif. Sekalipun muridnya nakal, dia tetap mendidik dan mendoakan anak muridnya menjadi baik. Apabila ada ustaz bercakap buruk dan keji atau menghina kamu, abaikan sahaja kerana dia masih lagi jahil tentang akhlak nabi yang sebenarnya.”
“Maksud Ustaz Adam, kalangan ustaz masih ada yang jahil?” Rahman ternganga dengan kenyataannya sendiri.
“Orang jahil ada di mana-mana. Menjadi ustaz belum tentu alim. Orang yang benar-benar alim adalah orang yang mampu menzahirkan akhlak Rasulullah dalam setiap perilaku, pertuturan dan perbuatan. Setakat pakai kopiah dan berjanggut, dapat sijil dan pangkat ustaz, namun perangai tidak mengikut perangai nabi, itu namanya jahil juga.” Ustaz Adam tersenyum.
“Begitu rupanya, tetapi wujudkah cara bagi menutup mulut orang lain dan menjadikan semua orang suka kepada kita?” tanya Rahman dengan perasaan mahu tahu. Ustaz Adam terus menggeleng-gelengkan kepala.
“Nabi Muhammad adalah semulia-mulia makhluk, namun dia juga dihina dan dikeji oleh kaumnya. Tiada sesiapa pun yang dapat menutup mulut manusia dengan kebaikannya. Sekiranya kita berbuat baik, ada juga orang cemburu. Apabila kita berbuat jahat, lagi ramai orang membenci. Jadi, kita tidak boleh fikirkan mulut orang. Kita perlu berusaha meneruskan amalan baik,” jelas Ustaz Adam dengan tenang.
“Tetapi ustaz, susah juga saya mahu berubah apabila semua orang anggap saya jahat. Adakah saya perlu berhijrah? Tukar sekolah lain?” Rahman meminta pandangan.
“Rahman, masyarakat kita sekarang memang suka memandang status dan taraf keluarga seseorang. Sekiranya kamu pindah sekolah, belum tentu orang memuliakan kamu. Oleh itu, jangan peduli kata orang. Ubah dahulu perangai dan sikap kamu kerana Allah. Dia yang akan memberikan pahala kepada kamu, bukan orang lain.”
“Baiklah, saya faham. Mengapa perangai Ustaz Adam berbeza dengan perangai guru yang ada di sekolah saya?” Rahman tersenyum lebar. Dia merasa malu apabila cuba memuji Ustaz Adam.
“Apa maksud kamu? Daripada aspek mana yang berbeza?”
“Ustaz Adam menjaga pertuturan. Berhati-hati dalam perbuatan dan sentiasa memandang mulia kepada semua orang. Sekalipun orang itu adalah remaja nakal seperti saya. Sedangkan sebahagian guru di sekolah selalu memandang serong dan bercakap sinis kepada murid-murid yang nakal. Terutamanya murid seperti saya.” Rahman tersipu-sipu.
“Itu bererti, masih banyak akhlak Rasulullah yang belum dijadikan pakaian dalam diri guru-guru kamu. Mereka ada ilmu, tetapi ilmu itu sekadar ucapan dan bukan dijadikan pakaian. Mereka cuma bercakap, tetapi tidak mengamalkannya. Terlalu ramai orang begini pada akhir zaman. Disebabkan itu, ramai yang keliru dengan tingkah laku guru-guru sendiri,” Ustaz Adam menjelaskan dengan sopan.
“Betul, ustaz. Saya sentiasa rasa sukar mahu berubah disebabkan mulut dan sindiran mereka. Mereka menyebabkan saya patah semangat mahu berubah menjadi baik.” Rahman mencebik masam.
Suasana diam seketika. Ustaz Adam termenung dalam tafakur.
“Rahman, apabila kamu melihat buah yang cantik, lalu kamu mengatakan buah itu hodoh, adakah buah itu berubah serta-merta menjadi hodoh disebabkan kata-kata kamu?”
“Sudah tentu tidak,” Rahman memberi jawapan.
“Apabila kamu melihat sebatang pokok yang tinggi, lalu kamu pergi kepadanya dan kamu katakan yang pokok itu rendah. Lalu, kamu mengatakan lagi pokok itu rendah berkali-kali. Adakah ia menjadi rendah disebabkan kata-kata kamu?”
“Juga tidak.”
“Seandainya kamu adalah budak yang baik, tiba-tiba ada orang mengatakan kamu jahat, adakah kamu berubah menjadi jahat?”
“Mungkin... rasanya tidak,” jawab Rahman ragu-ragu. Dia tidak yakin dengan jawapan bagi soalan itu.
“Sekiranya seorang guru menuduh kamu berbuat satu dosa besar, sedangkan kamu tidak melakukan dosa itu, adakah Allah akan memasukkan kamu ke dalam neraka?”
“Sudah tentu tidak,” Rahman menjawab lagi.
“Yang baik tetap baik di sisi Allah. Yang tidak berdosa tidak akan dimasukkan ke dalam neraka. Kamu faham maksud saya?”
“Rasanya saya sudah faham.”
“Saya mahu beritahu kamu, biar Allah sahaja yang menentukan seorang itu baik ataupun jahat. Kita sebagai manusia perlu meneruskan usaha dan amal kebajikan. Kata-kata manusia tidak dapat memudaratkan mahupun menyakiti kita. Mungkin ada kata-kata yang mengganggu jiwa kita, tetapi ia tidak mencederakan kita. Jadi, teruskan kerja yang baik dan abaikan sangkaan buruk manusia lain. Dari situ, kamu akan berubah menjadi manusia yang lebih bagus.” Ustaz Adam menggosok belakang Rahman. Bagai seorang bapa membelai anaknya.
Insya-Allah ustaz, terima kasih banyak-banyak. Mulai hari ini, saya cuba berubah.” tegas Rahman sambil menggenggam buku limanya erat-erat.
“Rahman, kamu masih muda. Kamu akan sentiasa menemukan banyak persoalan baru dalam hidup yang memerlukan penjelasan. Apabila kamu ada kemusykilan, jangan segan bertanya kepada saya,” beritahu Ustaz Adam dengan mesra. Rahman mengangguk tanda faham.
“Ini yang membuatkan saya terharu. Mengapa, ya?” Rahman tertunduk ke lantai.
“Mengapa apa? Apa yang membuatkan kamu terharu?” Ustaz Adam tidak memahami.
“Belum pernah saya menemui orang yang sentiasa mahu membantu saya. Sentiasa bersedia menjawab persoalan. Mengapa pula ustaz sanggup? Adakah ustaz dapat sesuatu apabila melayan persoalan saya?” Rahman sengaja bertanyakan soalan itu. Ustaz Adam tersenyum lebar sambil menganggukkan kepalanya.
“Rahman... oh Rahman! Dengar elok-elok ucapan saya,” Ustaz Adam menatap wajah Rahman dengan tenang. Rahman memasang telinga.
“Sebagai orang Islam dan sebagai umat akhir zaman, saya sentiasa berusaha menukar masalah kepada penyelesaian. Kamu pasti tahu yang penduduk di negara ini semakin parah dengan pelbagai penyakit masyarakat. Masalah jenayah dan sosial meningkat. Jadi, sebagai orang Islam kita perlu mengubah situasi menjadi lebih baik. Kita perlu memupuk generasi yang ada supaya menjadi pembela dan pendamai, bukan mengabaikan mereka sehingga menjadi penjenayah dan perosak. Orang muda seperti kamu adalah aset masa depan. Saya tidak akan sia-siakan kamu dan membiarkan kamu hidup dalam polemik sendiri,” jelas Ustaz Adam.
“Ingat, apa yang saya buat hari ini tidak akan memberi hasil sekarang. Ia akan kelihatan pada sepuluh tahun lagi. Apabila saya berjaya mendidik kamu menjadi seorang pembela dan pendamai, secara automatik saya berjaya mengelakkan kamu daripada menjadi penjenayah dan perosak negara. Kamu faham, Rahman?”
“Terima kasih, ustaz. Terima kasih kerana sudi melayan saya.” Rahman tersenyum lebar.
“Baiklah, saya minta diri dahulu, ustaz.” Rahman bersalaman dengan Ustaz Adam,  kemudian bangun berlalu pergi.