"CINTA KEMBALI BERSUJUD" (3)

PETIKAN (3) 

Uswatul 'Ulya lebih senang dipanggil Wawa. Sewaktu majlis berjalan, dia kelihatan sibuk melayan tetamu di dapur. Manakala, Syed 'Ariful Ehsan melayan sanak-saudara di ruang tamu. Masing-masing tetamu melayan diri memandangkan makanan semuanya dihidangkan secara bufet. Kelihatan Syed Syakir iaitu sepupu Wawa berjalan ke dapur dan menghampirinya. Dia melambai ke arah Wawa sambil tersenyum.
“Ada apa?” Wawa menjongket kening.
“Mari sini sebentar. Ada hal saya mahu beritahu awak,” jelas Syakir. Wawa bangun dari duduk dan meninggalkan tetamu, dia berjalan ke arah Syakir. Mereka ke pintu belakang dapur dan sebaik sampai di situ, Syakir menatap mata Wawa.
“Mengapa dengan awak? Tengok saya semacam sahaja.” Wawa terkesima melihat reaksi Syakir.
“Saya mahu berikan awak hadiah. Nah!” Syakir mengeluarkan sebuah kotak kecil.
“Apa ini?” Wawa tersenyum lebar. Hatinya berbunga melihat hadiah itu.
“Ini i-Pod, bagi mendengar lagu. Esok apabila awak sampai di Korea dan rasa sunyi, awak dengar lagu sambil ingatkan saya,” usik Syakir. Wawa tersipu-sipu, memang sejujurnya Wawa juga menyukai Syakir kerana sikapnya yang begitu mengambil berat pada Wawa.
“Terima kasih, mahalkah i-Pod ini?” Wawa buat-buat bertanya.
“Jangan risau soal harga, saya beli dengan duit sendiri. Bawa sampai ke Korea, ya!” beritahu Syakir bersemangat sambil beredar dari situ.
“Saya tidak akan tinggalkan barang ini. Saya akan membawanya bersama dengan hatiku,” jawab Wawa perlahan. Sepanjang zaman kanak-kanaknya, dia banyak mengukir kenangan bersama Syakir. Setiap kali berhari raya, dia pasti ke rumah Syed Omar iaitu bapa Syakir. Mereka akan bermain masak-masak. Semenjak dari situ, Syakir memberitahu yang dia bercita-cita memasuki bidang kulinari dan akan menjadi chef. Dia mahu memasak makanan yang sedap-sedap untuk Wawa.
Wawa masih ingat, sewaktu hari raya sebelum ini. Dia ke rumah Syakir bersama ayah, waktu itu Syakir menyediakan beberapa menu istimewa hasil air tangannya sendiri. Walaupun dia masih bersekolah menengah, dia sudah menunjukkan bakat dalam bidang masakan. Apabila ditanya mengapa dia mahu memasuki bidang ini, jawab Syakir dia mahu menawan hati orang yang dicintai. Wawa pasti tersenyum apabila teringatkan kenangan itu.
Namun, dia menyedari keluarga Syed Omar kurang menjaga solat. Kehidupan beragamanya kurang dihayati dan sering kali Wawa melihat ayah dan Syed Omar berbahas dalam isu agama. Paradigma ayah dan keluarga Syakir memang berlaku banyak pertentangan daripada konteks agama. Aspek itu menjadikan hubungan ayah sedikit renggang dengan keluarga Syakir.
Dia masih ingat suatu hari apabila mereka pulang dari berziarah, ayahnya berbual dengan dia dan ibunya di dalam kereta, “Dahulu, ayah juga jahil. Banyak perkara agama yang ayah cuai. Tetapi, apabila ayah berkahwin dengan ibu, ayah mula belajar sedikit demi sedikit. Ibu orang yang beragama. Oleh itu, ayah cuba mengamalkan apa-apa yang ayah sudah tahu. Semenjak berkahwin, hidup ayah mula berubah. Ingat, kita memerlukan agama untuk bahagia. Tanpa agama, kita akan hidup sengsara. Sedangkan agama tidak perlukan kita untuk berdiri kerana agama milik Allah. Allah itu maha kaya sentiasa. Walaupun semua manusia tidak menyembah-Nya, Allah akan tetap kaya dan berkuasa,” jelas ayah.
Walaupun begitu, Wawa sentiasa menyimpan perasaan terhadap Syakir. Biarpun banyak konflik dalam prinsip antara ayah dan Syed Omar, dia yakin semuanya akan berakhir dengan baik kerana mereka daripada keturunan yang sama. Keluarga mereka mementingkan tradisi perkahwinan sesama Arab. Pasti, ayah bersetuju apabila suatu hari nanti Syakir datang melamarnya. Wawa senyum lebar. Dia kembali ke dapur dengan wajah berseri-seri.
Syed Omar yang duduk di ruang tamu sempat melihat gelagat anak terunanya iaitu Syakir berbual dengan Wawa sebentar tadi. Dia merapati abangnya iaitu Syed 'Ariful Ehsan dalam keadaan tersenyum lebar. Syed Omar duduk di atas sofa bersebelahan dengan abangnya.
“Ehsan, aku rasa kita boleh menjadi besan. Anak kamu seperti berkenan sahaja dengan anak aku. Mereka mungkin boleh menjadi pasangan yang sesuai,” tiba-tiba Syed Omar menyapa. Syed 'Ariful Ehsan berpaling dengan wajah yang sedikit kusar. Kenyataan Syed Omar membuatkan jiwanya tidak selesa. Syed 'Ariful Ehsan membetulkan duduknya di atas sofa sambil memandang sekeliling. Kelihatan hadirin dan sanak-saudara asyik menjamu selera serta berbual sesama mereka. Suasana meriah dan ceria.
“Belum tentu sesuai. Masih jauh lagi perjalanan mereka. Masih banyak kemungkinan lain yang mendatang,” jelas Syed 'Ariful Ehsan kepada adiknya. Wajahnya kurang bercahaya apabila menyentuh soal jodoh atau pasangan Wawa.
“Kamu seperti tidak suka sahaja. Semalam aku dan adik-beradik yang lain sempat bersembang. Khalidah dan Halimatun setuju sekiranya anak kita dijodohkan. Biarpun mereka adalah sepupu, tetapi mereka sepadan dan secocok. Ini menjadi lambang keutuhan hubungan keluarga Arab. Mengukuhkan lagi tradisi kita,” jelas Syed Omar. Syed 'Ariful Ehsan termenung mendengar pengesyoran itu. Banyak perkara yang berpusing dalam fikirannya.
Syed 'Ariful Ehsan masih ingat pesanan arwah isterinya. Dia tidak mahu tradisi yang bersifat kepuakan ataupun perkauman ini dikekalkan. Dia tidak mahu stigma Arab berkahwin Arab ini dikekalkan kerana keutamaan dalam penyambungan zuriat adalah memilih pasangan beragama serta berakhlak. Tidak cukup memilih keturunan ataupun bangsa yang serupa.
“Aku belum fikirkan soal jodoh Wawa. Seboleh-bolehnya, aku mahu mencari sendiri jodoh yang sesuai untuknya apabila dia sudah benar-benar bersedia, dan jodohnya itu tidak semestinya sama bangsa Arab. Melayu juga tidak mengapa, asalkan beragama,” jelas Syed 'Ariful Ehsan kepada Syed Omar.
Prang!’ Bagaikan ada kaca yang pecah dalam jiwa Syed Omar. Kenyataan Syed 'Ariful Ehsan itu ibarat lontaran batu keras yang memecahkan bingkai hati Syed Omar. Dia tidak menyangka, abang sulungnya tergamak membuat kenyataan sebegitu sehingga sanggup membelakangkan adat dan amanat keluarga turun-temurun.
“Kamu jangan membuat kenyataan pelik. Lebih baik kamu fikirkan dahulu soal mahu mencari menantu bukan Arab. Pasti Khalidah dan Halimatun mengamuk apabila mendengar ucapan kamu tadi,” Syed Omar memberi teguran kepada abangnya supaya menarik balik kenyataan itu. Syed 'Ariful Ehsan menggeleng beberapa kali.
“Tidak, aku tidak akan menarik balik kenyataan itu. Apa sangat yang boleh dibanggakan pada bangsa dan puak? Islam tidak menilai semua itu yang utama adalah takwa. Itulah aset kebahagiaan mana-mana rumah tangga. Aku mahu anak aku bahagia, kamu faham tidak? Aku bukan mahu anak aku berbangga dengan perkahwinan, selepas itu hidup merana,” jelas Syed 'Ariful Ehsan tegas.
“Kamu fikir semua Arab jahat?” Syed Omar mencelah.
“Tidak, tetapi aku cuba bersikap mengambil pengajaran atas apa yang terjadi kepada adik-adik aku. Kamu tengok Khalidah dan Halimatun. Semua berkahwin sesama Arab. Mana suami mereka sekarang? Kamu tahu suami Khalidah sudah menghilang setahun lalu. Entah hidup ataupun mati. Mengapa tidak diceraikan sahaja Khalidah? Ini tidak, digantungnya Khalidah tanpa tali. Sampai sekarang Khalidah pening memikirkan masalah suami. Anak-anak Khalidah sudah berubah perangai disebabkan tidak cukup perhatian,” Syed 'Ariful Ehsan bercerita kepada Syed Omar. Dia terus menyambung kalam.
“Kamu tengok pula Halimatun? Mujurlah suaminya ceraikan dia selepas berkahwin seorang lagi. Tetapi, sebelum mereka bercerai, berapa kali perang dunia berlaku? Mereka datang berjumpa aku, menangis dan mengadu. Kamu nampak tidak? Ini bukan soal berkahwin sesama Arab ataupun Melayu. Ini soal pemilihan jodoh yang tidak kena dengan syariat. Islam menyuruh kita mencari pasangan yang beragama, baru bahagia. Bukan mencari satu puak ataupun satu bangsa semata-mata,” Syed 'Ariful Ehsan bertegas. Nada suaranya dijaga supaya tidak mengganggu hadirin dan tetamu yang ada di sekitarnya.
“Ehsan, masalah mereka tiada kaitan dengan Arab. Itu bukan salah Arab! Itu bukan salah Khalidah ataupun Halimatun. Itu memang soal takdir dan jodoh. Itu nasib mereka. Apa boleh buat? Kamu sengaja mahu kaitkan Arab dengan masalah ini? Kamu sebenarnya menghina keturunan sendiri.” Syed Omar nampak tegang. Nafasnya turun naik dalam dada.
“Omar, cuba faham sesuatu yang aku mahu sampaikan kepada kamu. Aku mahu kahwinkan anak aku dengan seorang yang beragama. Soal dia Arab ataupun Melayu, aku tidak kisah. Aku cuma mahu kamu memahami yang aku mahu anak aku bahagia dengan pasangannya. Itu sahaja. Tolong jangan menghalang niat aku. Wawa anak aku, aku akan fikirkan apa yang terbaik untuk dia. Jangan sibuk-sibuk mahu menjodohkan anak aku dengan sesiapa,” beritahu Syed 'Ariful Ehsan dengan terang kepada Syed Omar. Kenyataan itu membuatkan wajah Syed Omar keruh. Rasa gembiranya hilang, dia bangun dari tempat duduk lalu berjalan ke ruang lain.
Syed 'Ariful Ehsan melepaskan keluhan kecil. Dia mendiamkan diri di atas kerusi sambil termenung. Dari ruang tamu, dia mencari wajah Wawa yang sedang tersenyum di dapur. Dia dapat melihat gerak laku anaknya yang ceria. Satu-satunya anak tunggal yang diwarisi bersama arwah isterinya iaitu Syarifah Habibah. Tidak jauh di sebelah Wawa, kelihatan Syarifah Khalidah dan Syarifah Halimatun sedang sibuk membantu di dapur. Mereka berdua adalah adik-adiknya yang melalui kerumitan rumah tangga. Pemilihan pasangan hidup Syarifah Khalidah dan Syarifah Halimatun ditentukan oleh orang tua mereka berdasarkan adat dan tradisi. Tanpa langsung memikirkan ciri-ciri agama pada diri pasangan. Akibatnya, rumah tangga mereka berkecai. Sudah pasti, Syed 'Ariful Ehsan tidak mahu Wawa menjadi mangsa kejahilannya. Dia tidak mahu Wawa melalui apa yang dilalui oleh kedua ibu saudara mereka.
“Keperitan mereka berdua adalah pengajaran buatku. Aku mahu Wawa gembira dan bahagia. Ya Allah, hanya Engkau sahaja mampu membantu keluargaku.”