Tuesday, September 09, 2008

Pembentangan Ilmiah
TUJUH PARADIGMA ASAS DALAM DAKWAH (NAHI MUNGKAR)
Oleh Ustaz A. Ubaidillah bin Alias



قال تعالى : ليس عليك هداهم ولكن الله يهدى من يشاء

قال تعالى : يأيها الذين أمنوا اجتنبوا كثيرا من الظن إن بعض الظن إثم ولا تجسسوا ولا يغتب بعضكم بعضا

قال العلماء : أصلح نفسك وادع غيرك

قال تعالى : يأيهاالرسول بلغ ما أنزل إليك من ربك

قال النبي : انصر أخاك ظالما أو مظلوما . قال : هذا ننصره مظلوما وكيف ننصره ظالما؟ قال : تأخذ فوق يديه

قال النبي : الدين النصيحة وفى رواية آخرقال النبي : "لا تغضب" أربع مرات

قال تعالى : والعصر إن الإنسان لفى خسر * إلاالذين أمنوا وعملوا الصالحات * وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر


MUKADDIMAH

Sejujurnya medan dakwah kita tidak serupa dan iklim kita berbagai. Untuk menyesuaikan diri dengan situasi yang bervariasi ini kita memerlukan beberapa asas paradigma sebagai pendakwah. Untuk melaksanakan nahi mungkar, kita tidak boleh memfokuskan pada kerja pencegahan kejahatan semata-mata. Kita harus sedar bahawa kejahatan adalah simptom yang lahir dari beberapa kegagalan aspek tertentu. Untuk mengubati punca kejahatan ini, kita perlu memahami beberapa asas yang lebih dasar.



KEJAHATAN ADALAH SIMPTOM DAN PUNCANYA IALAH?

Kejahatan ibarat sakit kepala, mencegah satu kejahatan ibarat kita menelan sebiji pil. Ia hilang seketika namun pasti ia akan berulang lagi. Untuk mengubati sakit kepala itu kita perlu memahami punca penyakit. Punca kejahatan ini adalah ‘jahil’ dan ‘zalim’ yang terbentuk dalam diri manusia.Untuk meruntuhkan dua punca ini, perlu difahami tujuh paradigma di bawah ini. Ia sebagai ikhtiar untuk menghapuskan dua punca kejahatan tadi.

- Jahil bererti buta agama.
- Zalim bererti kecenderungan untuk melanggar perintah Allah.

Untuk itu, saya ringkaskan diri tujuh perkara.

PARADIGMA 1 (Hidayah milik Allah)

قال تعالى : ليس عليك هداهم ولكن الله يهدى من يشاء

Maksudnya : Bukanlah kuasa kamu untuk memberi hidayah kepada mereka tetapi hanya Allah sahaja yang akan memberi hidayah sesiapa yang dia kehendaki.

Kebanyakan orang menganggap bahawa dirinya yang membawa perubahan kepada masyarakat. Secara tidak sedar mereka melupakan bahawa kuasa sebenar yang memberikan hidayah itu adalah Allah. Sehingga ada yang merasa bangga apabila mampu memberi kesedaran kepada ramai orang, malah ada yang kecewa apabila orang tidak mendengar percakapannya.

Nabi juga manusia biasa yang tidak mampu memberi hidayah kepada manusia, kecuali dengan izin Allah. Bagaimana nabi Muhammad SAW tidak mampu mengislamkan bapa saudaranya. Bagaimana nabi Nuh AS tidak mampu menyeru anak dan isterinya ke dalam agama Tauhid. Begitu juga isteri nabi Lut AS yang mengkhianatinya. Sebaliknya lihatlah Asiah isteri Firaun yang menerima agama anak angkatnya (Musa AS).

Islam adalah agama untuk penganutnya melakukan kerja dakwah. Bukan untuk melihat atau berbangga dengan natijah. Islam adalah agama yang mahu penganutnya berjuang untuk mempastikan masa depan lebih baik. Hasilnya tidak akan terbit dalam sehari dua. Justeru, kita bekerja bukan untuk memberi hidayah, namun kita bekerja dengan harapan agar Allah memberi hidayah kepada mereka.

"لو كان عرضا قريبا وسفرا قاصدا لاتبعوك ولكن بعدت عليهم الشقه"
Maksudnya : Seandainya perjalanan untuk mencapai kemenangan Islam itu dekat dan matlamatnya begitu pendek, pastilah orang kafir akan mengikut kamu. Namun perjalanan itu jauh dan di atasnya terlalu banyak kesusahan.

Moral : Bukan kita yang mengubati jiwa manusia. Ini bererti ubatnya tidak ada ditangan kita. Kita hanya melaksanakan ikhtiar dan natijahnya itu diserahkan kepada Allah.


PARADIGMA KEDUA (Membuang Prejudis & Sangka Buruk)

قال تعالى : يأيها الذين أمنوا اجتنبوا كثيرا من الظن إن بعض الظن إثم ولا تجسسوا ولا يغتب بعضكم بعضا

Maksudnya : wahai orang-orang beriman jauhilah dari kebanyakan sangkaan, kerana sebahagian besar sangkaan itu adalah berdosa. Dan jangan kamu mengintip dan jangan kamu mengumpat setengah kamu kepada setengah yang lain.

Hanya Allah sahaja yang tahu siapakah yang bakal menduduki syurganya. Bukan kita. Kita bukan penentu atau orang yang selayaknya untuk menghukum seseorang itu baik atau buruk. Ingat, tidak semestinya orang yang jahat dimata kita itu tetap jahat di sisi Allah. Sebaliknya juga, tidak semestinya orang yang baik di mata kita itu tetap baik di sisi Allah.

Sebagaimana kisah Imam Barsisa, yang awalnya menjadi ulamak yang disanjung akhirnya mati direjam akibat berzina. Begitu juga kisah lelaki yang membunuh seratus orang, akhirnya mati dan dimasukkan ke dalam syurga. Dunia bukan tempat mengukur baik buruk seseorang, dunia adalah tempat bekerja dan beramal. Justeru, hati perlu dibuang daripada labelisme, prejudis, sikap menghukum dan sebagainya. Sebaliknya perlu ada keterbukaan, kesediaan menerima dan sangka baik dengan makhluk tuhan.

Khususnya golongan siswi, harus hati-hati dengan sangkaan dan mainan emosi. Apatah lagi sikap mengumpat dan memperburukkan orang lain. Ini boleh merosakkan amalan dan menyebabkan diri diazab kelak.

Moral : Amar makruf dan nahi mungkar ini sebenarnya adalah ujian untuk diri kita. Sejauh mana kita dapat menjaga hati kita daripada perasaan mazmumah. Ia bukan semata-mata bertujuan untuk menegur orang lain, malah ia mengajak kita untuk turut membersihkan diri.

No comments: