"CINTA KEMBALI BERSUJUD" (5)

PETIKAN (5)

BARU semalam Rahman sampai di rumah agam Syed 'Ariful Ehsan, lalu bermalam di bilik tamu yang agak mewah bagaikan bilik hotel. Ruang yang luas, tilam yang empuk, tandas yang cantik. Rahman masih terbaring di situ, fikirannya bercelaru. Satu per satu kenangan lama datang merempuh dinding batinnya. Dia terkenang peristiwa silam, kenangan sewaktu belajar di Muar dan menginap di rumah kebajikan anak yatim. Dia teringatkan Ustaz Kahar, Rasima, Safuan dan Ustaz Adam. Entah di mana mereka semua.
Sebaik Rahman melanjutkan pelajaran ke Mesir, orang terakhir yang menghantarnya ke lapangan terbang adalah Ustaz Adam. Dia pasti, Ustaz Adam menantikan kepulangannya. Rahman sudah bertekad, dia akan mencari Ustaz Adam apabila dia benar-benar sudah mempunyai kewangan yang baik. Dia mahu membalas budi baik Ustaz Adam menjaga dan memberi bimbingan kepadanya.
Seboleh-bolehnya, dalam masa terdekat ini dia tidak mahu ke Muar atau ke sekolah lamanya. Dia tidak mahu kenangan lama membuat dirinya hilang keyakinan. Dia mahu fokus kepada amanah menjaga keluarga Dato' Ehsan dan menjadi pekerja yang baik. Apabila dia sudah benar-benar berdikari, barulah dia akan menemui rakan-rakan lama dan bertanya khabar.
Paling utama, dia belum bersedia bertemu Rasima. Boleh jadi, gadis itu sudah pun berkahwin dengan Safuan. Selepas peristiwa pergelutan dengan Ustaz Kahar, Rahman langsung tidak ambil tahu soal Rasima. Dia bersikap menyendiri dan fokus pada pengajian. Dia tahu, Rasima ketika itu seolah-olah mengharapkan perhatiannya. Namun, dia tidak mahu menyusahkan diri dengan menjadi penghalang kepada Safuan. Dia tidak mahu tindakannya menimbulkan masalah antara dirinya dengan Safuan.
Dia nekad tidak bermain perasaan dengan sesiapa lagi. Kadangkala apabila perasaan mahu tahu mengetuk pintu hatinya, dia menelan semua rasa dalam diam. Sehingga kini, dia tidak mahu mengambil tahu soal sejarah silam. Yang penting, dia perlu membiasakan diri dengan kehidupan barunya bersama Dato' Ehsan. Mereka adalah keluarganya, mereka adalah keutamaannya.
Rahman menarik nafas dalam-dalam. Dia bangun daripada tidur dan mendapatkan beg besar miliknya dan menyelongkar semua isi yang ada di dalam beg besar itu. Dia mengeluarkan beberapa helai pakaian dan sebentuk hadiah yang dibalut kemas. Rahman memegang hadiah itu dan kembali ke katil sambil memerhati tulisan yang tertera di situ.
“Buat kekanda tercinta, selamat kembali ke tanah air.”
Hadiah itu adalah pemberian Fatimah sewaktu mereka mahu berpisah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Dengan linangan air mata, dia melangkah meninggalkan Fatimah dan Wujdan. Rahman merasa hiba apabila terkenang suasana perpisahan itu. Matanya mula berkaca dan perasaan sunyi melingkar seluruh jiwa.
Tanpa Fatimah di sisi, dia sememangnya merasakan kehilangan besar. Namun, demi kebahagiaan adiknya dia perlu yakin dan percaya Wujdan akan memberikan yang terbaik untuk Fatimah. Kini, dia perlu mengatur langkah di Malaysia demi membina kehidupan baru bersama orang yang baru dikenalinya.
Rahman membuka balutan hadiah dengan cermat. Sebaik kertas balutan ditanggalkan,  kelihatan diari berkulit coklat di dalamnya. Rahman membuka kulit buku itu dan kelihatan sekeping gambar Fatimah dan Wujdan saling berpegangan tangan. Di bahagian bawah gambar itu tertera ayat ‘Kami mendoakan keselamatan abang, doakan kami bahagia di sini’. Rahman menyentuh gambar itu dan senyuman terukir di bibirnya.
Rahman menyimpan diari pemberian adiknya di sebelah diari kusam milik peribadinya. Dia mencapai diari kusam yang masih dijaga semenjak berada di rumah kebajikan. Dia menyelak kulit dan terlihat di situ sekeping surat usang dan lusuh tulisan arwah ayahnya.
“Ayah, anakmu sudah pulang sebagai manusia berilmu,” ucap hati Rahman. Dia mencapai surat lusuh itu dan membeleknya.
Bismillahirrahmanirrahim

Anakku,
Atas sesuatu sebab, ayah menulis surat ini kepadamu. Sebagai pesanan dan ingatan buatmu. Bacalah, dan simpan catatan ini dengan baik.
Ayah menemui cahaya Islam selepas mencecah usia dewasa. Namun ayah bersyukur kerana menemui ibumu yang sabar dengan kesulitan. Sehingga saat ini, kehidupan kita ternyata memeritkan. Ayah dibuang keluarga dan hidup miskin akibat memeluk Islam. Tetapi, semua itu tidak menjadikan ayah kesal. Ayah bahagia kerana mempunyai isteri dan keluarga yang penuh kasih sayang.

Anakku Rahman,
Putera sulung ayah, kuberikan namamu Sofiy ar-Rahman. Nama ulama yang juga pengarang kitab sirah nabi berjudul Ar-Raheeq al-Makhtum. Supaya kamu mudah-mudahan membesar menjadi manusia yang mengenal rasul dan berakhlak terpuji. Adikmu pula kuberikan nama Fatimah az-Zahra, supaya bakal menjadi penghuni Syurga Firdaus bersama puteri Rasulullah.
Doaku setiap malam dan siang, agar dirimu menjadi anak soleh, memenuhi kehidupan dengan kecintaan kepada agama, kerana cinta adalah untuk pencipta. Jangan sampai kamu lupa mencintai dan hilang arah, kelak kamu tersasar mengejar bayang-bayang.
Jangan kamu menjadi sekelompok manusia yang hidup dalam zaman kegelapan cintanya kepada Tuhan. Jauh daripada kalam Allah, jauh daripada zikir dan jiwanya enggan bersujud. Mereka ini terhanyut dalam dunia yang gelap.
Wahai Rahman,
Allah sentiasa mahu manusia menzahirkan sifat pemurah dan penyayang dalam kehidupan. Apabila rasul utusannya Nabi Muhammad mempersembahkan sebuah ‘pengorbanan cinta’ kepada umatnya yang benar-benar menyentuh nurani. Demi memenuhkan dunia dengan perasaan kasih dan rahmat Tuhan. Barulah dia berjuang habis-habisan membawa sebuah model cinta terpuji.
Allah semestinya maha mengetahui, bagi berdiri dalam dunia ini, tegap sebagai manusia mithali, kita memerlukan sekeping hati yang utuh mencintai dan ikhlas memberi. Kerana tanpa nilai itu, manusia akan cepat kecundang di alam duniawi akibat tekanan tribulasi dan mehnah yang melatarinya. Hidup adalah satu perjalanan sehala. Tidak ada pusingan untuk kembali ke masa silam. Punya satu lorong terus dan berakhir dengan titik kematian. Manusia itu bermacam taraf pada mata insan. Namun, kemuliaan pada mata insan tidak sama dengan kedudukan di sisi Tuhan.
Ada yang hidupnya bagaikan berjalan di atas permaidani empuk, langkahnya senang dan selesa, tetapi matinya hina-dina. Ada manusia bagaikan berjalan di atas kerikil tajam, mencucuk dan memeritkan, tetapi, matinya mulia. Apa yang utama dalam kehidupan kita adalah pengakhiran hayat iaitu tatkala mahu melucutkan nafas terakhir, sebolehnya hati biarlah bahagia kerana terkelarai dalam sutera iman.
Justeru, sesiapa pun perlu menghidupkan api cinta dengan cebisan keikhlasan. Biarkan cahaya memancar dan menerangi lorong-lorong gelap yang hanyir. Biar segera terusir bayangan penyakit mazmumah dari celah kegelapan. Dengan sikap Rahman dan Rahim Tuhanmu, moga kamu bisa berdiri megah dengan falsafah sali seorang pencinta dan membawa rahmat buat sekalian alam. Apabila hatimu sudah benar-benar berasimilasi dengan sifat mahmudah, akhirnya kamu akan mengerti bisikan wahyu Tuhanmu. Semoga kamu sentiasa ingat pesanan ini sekalipun kamu sudah dewasa nanti.
Rahman, sebagai putera sulung. Jagalah adikmu dengan penuh hati budi. Kamu bertanggungjawab membimbingnya menjadi manusia yang berhati nurani. Ayah mohon agar kamu sentiasa tegarkan diri mengharungi lautan kehidupan. Biarlah sesukar mana pun, jangan lupa Tuhan sentiasa memerhati dan bersedia membantu hamba-Nya yang sabar. Biarlah sejuta manusia tidak menghargaimu, selagi kamu ikhlas bertuhankan Allah, maka Dia pasti tidak mensia-siakanmu.

Oleh ayahmu,
Muhammad Ibrahim.
Rahman mengakhiri bacaan catatan. Ada butir jernih menitis di pipinya.
“Ayah, Fatimah sudah pun selamat diijabkabulkan dengan lelaki beragama. Saya pasti, dia dapat melalui kehidupan ini dengan berbuat amal soleh. Hajat dan doa ayah, boleh jadi semuanya sudah dimakbulkan Tuhan. Alhamdulillah,” lafaz syukur terungkap dari bibir Rahman. Dia menyapu air jernih dan menarik nafas dalam-dalam.
“Sudah sampai masanya untuk aku pula meneruskan usaha membina dunia baru,” Rahman bergumam. Dia melipat kembali surat lusuh itu dan menyisipkan ia di celah diari kusam. Lalu menutup kulit buku dan bangun dari kerusi. Diari itu diletakkan semula ke dalam beg pakaian. Lalu dia bersiap-siap mahu membuat sesuatu. Sebaik matahari cerah, dia ke rumah kecil Pak Kassim yang terletak di dalam pagar rumah itu juga. Dia mahu bertanya peralatan berkebun. Pak Kassim tidak menghalang, sebaliknya memberi kerjasama kepada Rahman. Pak Kassim membuka stor dan menyerahkan beberapa perkakas. Beberapa minit kemudian dia sudah berada di belakang rumah Syed 'Ariful Ehsan bersama sebilah sabit.
Sambil memakai topi dan berbaju lusuh, dia melibas-libas sabit bagai berperang dengan rumput yang tinggi mencanak. Syed 'Ariful Ehsan menjenguk dari pintu belakang rumah sambil tersenyum. Dia keluar dari pintu dan merapati Rahman, sambil mengenakan baju pagoda dan berkain pelekat dia menegur Rahman, “Kamu buat apa?”
Rahman berhenti menebas, lalu berpusing ke arah Syed 'Ariful Ehsan. Dia bercekak pinggang sambil mengesat peluh di dahi. Nafasnya sedikit mencungap. Dia berkata dengan nada yang tenang, “Menebas. Sudah lama saya tidak jumpa rumput panjang begini di Mesir. Saya geram. Lagipun, semak begini tidak elok dibiarkan, nanti ada penghuni,” beritahu Rahman.
“Penghuni?” Kerut dahi Syed 'Ariful Ehsan.
“Makhluk yang menjalar,” tambah Rahman. Syed 'Ariful Ehsan mengangguk tanda mengerti. Tiba-tiba sebuah kereta memasuki perkarangan rumah. Syed 'Ariful Ehsan menjenguk ke hadapan pintu pagar bagi memerhati kereta yang baru sampai tadi.
“Awal pula si Wawa balik,” ucap Syed 'Ariful Ehsan. Dia melambai tangan ke arah Rahman sebagai isyarat supaya Rahman meneruskan kerja. Rahman kembali memegang sabit dan menghadap semak.
Wawa pulang dari rumah kawannya menaiki kereta sendiri. Sebaik dia keluar dari kereta, kelihatan Syed 'Ariful Ehsan sedang tercegat di hadapan pintu. Dia mengeluarkan beg pakaian dari but belakang kereta. Kemudian dia berjalan ke pintu menghampiri ayahnya.
“Mana ustaz yang ayah sebutkan tempoh hari?” sapa Wawa sebaik menghampiri ayahnya.
“Ingatkan mahu beri salam dahulu. Tiba-tiba pula bertanya fasal Ustaz Rahman,” Syed 'Ariful Ehsan mengusik. Wawa tersengih.
“Assalamualaikum ayah, apa khabar?” Wawa malu-malu.
Wa'alaikumussalam. Sihat! Mengapa balik awal? Cakap mahu balik esok?” tanya Syed 'Ariful Ehsan. Wawa masuk ke dalam rumah sambil menjinjit beg pakaian.
“Sengaja balik awal. Rasa tidak senang pula tinggalkan ayah seorang di rumah,” beritahu Wawa dengan nada manja. Syed 'Ariful Ehsan tersenyum sambil menggaru kepala.
“Ayah sedikit sangsi dengan alasan kamu. Risaukan ayah ataupun sebenarnya... kamu tidak sabar mahu berjumpa Ustaz Rahman?” Syed 'Ariful Ehsan mengusik lagi.
Wawa mencebik. “Tidak adalah. Ayah tidak percaya anak sendiri pula. Sebenarnya Syakir telefon saya semalam. Dia beritahu dia mahu datang ke rumah hari ini, jadi saya minta dia datang waktu tengah hari. Dapatlah kita bersembang sambil makan,” beritahu Wawa.
“Oh, begitu. Apa tujuan dia datang ke sini?” Syed 'Ariful Ehsan seperti kurang senang dengan kehadiran Syakir.
“Dia mahu berjumpa saya. Semenjak saya pulang, inilah kali pertama dia sempat mengambil cuti. Hotel tempat dia bekerja itu memang sibuk. Jadi, apa salahnya datang ke sini, bukan?” beritahu Wawa.
“Elok juga, ayah pun sudah lama tidak berjumpa dia.” Syed 'Ariful Ehsan mengangguk sendirian.
“Bunyi apa di belakang rumah itu? Seperti ada orang menebas rumput sahaja,” tanya Wawa sambil berjalan ke arah dapur rumah.
“Ustaz Rahman sedang menebas semak di belakang rumah. Biasanya ayah yang uruskan, tetapi semenjak dua bulan kebelakangan ini ayah tidak larat seperti dahulu. Rumput sudah naik panjang seperti semak. Nasib baik Ustaz Rahman mahu membantu dengan sukarela,” jelas Syed 'Ariful Ehsan. Wawa terus masuk ke dapur dan menuju ke pintu belakang, hatinya membuak-buak bagi melihat wajah Ustaz Rahman yang sudah kerap meniti di bibir ayahnya.
Sebaik membuka pintu, matanya di hala ke luar. Dia hanya dapat melihat seorang pemuda bertopi sedang menebas rumput sambil membelakanginya. Wawa memerhati buat seketika, dia cuba mencuri pandang wajah lelaki itu. Ternyata, lelaki itu tekun sekali menebas rumput-rumput di hadapannya. Wawa menyarung selipar yang ada di hadapan pintu belakang dan keluar menghampiri lelaki itu.
Assalamualaikum,” Wawa menyapa. Dia begitu teruja bersua dengan lelaki itu. Entah mengapa jiwanya bagai menjerit-jerit mahu berkenalan dengan lelaki yang sering diceritakan oleh Syed 'Ariful Ehsan.
Rahman berpaling sambil mengesat peluh di dahinya. Sabit yang berada di tangan kanannya cuba diturunkan ke bawah. Dia menjawab salam, “Wa'alaikumus...,” belum sempat salam dijawab, Rahman tiba-tiba mencapai lengan Wawa dan menariknya ke belakang dengan pantas. Wawa terkesima dengan tindakan Rahman.
Perbuatan Rahman menyebabkan Wawa terjatuh ke tanah. “Mengapa...,” namun mulutnya terkunci sebaik dia melihat seekor ular tedung berwarna hitam berdiri beberapa meter sahaja darinya. Wawa diserbu rasa takut. Rupa-rupanya, Rahman cuba menariknya daripada dipatuk ular itu.
“Ular tedung sangat berbisa, ia mampu berlari pantas di atas rumput, kamu perlu naik ke rumah sekarang,” perintah Rahman kepada Wawa. Wawa cuba bangun, tetapi ular itu sudah bersedia menerkam. Rahman dengan pantas melibas-libas sabit demi melindungi Wawa dan menyebabkan ular itu berundur sambil menjelirkan lidahnya. Wawa terduduk semula kerana ketakutan.
“Wawa, cepat bangun!” jerit Rahman. Wawa menjadi panik. Lutut dan sendi tubuhnya bagaikan kaku. Dia hampir menangis apabila melihat ular yang besar itu cuba mematuknya. Ular itu sekali lagi menghampiri, Rahman tiada cara lain kecuali melibas dengan sabit pendek di tangannya. Walaupun dia berisiko terkena patukan, dia nekad mahu melindungi Wawa.