Wednesday, October 15, 2008

BAGAIMANA MENOLAK CINTA?

Soalan SMS : Ustaz, kawan saya seorang muslimah, ada dua orang lelaki sukakan dia. Seorang berkias dan seorang lagi memberitahu secara direct. Boleh tahu bagaimanakah cara untuk menolak cinta keduanya? Adakah wajib memakai purdah dalam situasi ini?

RESPON : Sebelum menjawab, saya perlu jelaskan soal jodoh dan perasaan.



Pertama, jodoh adalah suratan takdir yang tidak bisa ditolak. Jika tersurat jodohnya dengan si fulan, akan bersatu jua akhirnya. Hanya menanti masa. Ia tidak perlu dielak, namun perlu dicari. Ia tidak perlu ditepis, namun perlu diambil perhatian. Memandangkan ikhtiar dan usaha mencari jodoh termasuk dalam urusan agama. Khususnya lelaki perlu mencari wanita yang bakal dijadikan isteri. Berbeza bagi seorang anak dara.

Bagi anak dara. Tugasan memilih dan menilai suaminya itu perlu diserahkan kepada orang tuanya. Dia tidak boleh membuat keputusan tanpa ada restu. Ini boleh menyebabkan banyak kecelaruan dalam perhubungan. Jika seseorang gadis menyukai lelaki, dia perlu khabarkan segera kepada orang tuanya. Begitu juga jika ada lelaki yang menyukainya, lelaki itu perlu khabarkan terus kepada ibubapa si gadis.

Kedua, perasaan adalah sesuatu rasa yang tidak boleh dikawal. Ia seperti cuaca, ia datang dan pergi tanpa ketetapan. Kerana itu hadis menyebut "Hati orang mu'min berada di antara kedua tangan Allah." Maksud tangan di sini ialah kekuasaan Allah. Ia bukan di dalam kekuasaan manusia. Manusia tidak boleh menyukat perasaan sendiri. Ia boleh jadi cenderung untuk mencintai dan membenci tanpa kawalan.

Jawapan kepada persoalan.

Memandangkan jodoh dan perasaan adalah diluar kuasa manusia. Seeloknya cinta dua lelaki itu jangan ditolak. Lebih tepat jika kita mengambil tindakan untuk mengelakkan dari membuat keputusan. Serahkan hal itu kepada orang tua kita. Oleh itu, khabarkan kepada lelaki yang 'Berminat' dengan kita. Jika benar dia suka dan mahukan hubungan yang diredhai Allah. Berjumpa terus dengan ibubapa si gadis. Tidak perlu cuba mengambil hati si gadis. Lebih penting ialah mengambil hati orang tuanya. Perkenalkan diri pada ibubapa si gadis dan luahkan hasrat merisik. Itu sebagai 'Tanda'. Jika mendapat restu, hubungan tetap perlu dibatasi syariat. Tidak boleh SMS sesuka hati, tidak boleh berbual ditelefon sesuka hati, apatah lagi berjumpa atau date sesukahati. Semuanya perlu mengikut lunas agama dan mendapat IZIN dari orang tua si gadis.

Memakai purdah itu bukan penyelesaian untuk semua masalah. Namun ia tetap satu langkah yang mampu membawa impak positif dalam situasi bagi mengelak dari fitnah. Pandangan ustaz, cara yang terbaik ialah mempastikan diri sendiri menjaga hukum asas. Elak dari zina mata dan telinga. Purdah hanya sehelai kain yang menutup wajah. Ia tidak mampu menyelamatkan kita. Yang benar-benar menyelematkan kita adalah syariat Islam. Akhlak dan cara pergaulan. Pastikan pergaulan itu dijaga dengan baik. Jangan berbual dengan lelaki tanpa tujuan. Sebolehnya elak berurusan dengan lelaki jika masih ada perempuan yang dapat membantu. Pastikan ada teman perempuan yang lain apabila membuat tugasan bersama lelaki.

Kesimpulan :

- Jika lelaki itu serius, serahkan pada orang tua. Beritahu pada lelaki itu 'be a gentleman' dan bercakap direct dengan ibubapanya. Itu bukan bermakna kita sukakan dia. Itu salah satu cara kita mengelak dari permasalahan ini. Dan ustaz yakin, ibubapa tidak akan mudah menerima lamaran lelaki apabila anak gadisnya masih belajar.
- Pakailah purdah jika perlu. Tapi itu tidak menjadi satu perkara 'Wajib'.

Jika mahukan penyelesaian yang lebih tegas. Berterus terang sahaja.

"Saya tidak berminat. Tolong hormati keputusan dan situasi saya yang sedang belajar. Jika betul awak serius, carilah saya setelah saya tamat belajar." - Ini juga satu jawapan yang bagus dalam mengatasi masalah di atas.

Sekian.

2 comments:

Insyirah said...

jawapan ini memang tepat.. sya kagum sggat..:)

amirul hafizin said...

Betul tuu..ayat ustaz tersusun dn serta terperinci.. :)