Thursday, October 23, 2008

SOALAN 22hb Oktober

Soalan 1 : Assalamualaikum ustaz, maaf mengganggu. Saya nak tanya, ana terlibat dengan organisasi dakwah kepada non-muslim. Tapi ada orang kata "akidahpun tak kukuh nak belajar agama orang". Apa pandangan ustaz?

Respon : Firman Allah "Dan siapakah yang lebih mulia perkataannya selain daripada orang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh serta mengatakan aku ini dikalangan orang yang menyerah diri kepada Allah"



Menyampaikan ilmu hukumnya wajib bagi orang Islam. Berdakwah juga begitu. Sama ada ilmu kita banyak atau sedikit, kita tetap wajib menyampaikan apa yang kita tahu. Sasaran dakwah pula tidak semestinya orang Islam, orang bukan Islam juga tetap perlu disampaikan. senang cakap, berdakwah kepada bukan Islam itu adalah perkara yang sangat mulia.

Dalam situasi saudara, apa yang perlu diberi perhatian ialah pembimbing atau tempat rujuk permasalahan akidah. Jika saudara ada pembimbing sebagai tempat rujuk atau ustaz yang boleh menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan akidah... teruskan sahaja usaha dakwah itu. Jangan pula sampai akidah kita tergugat dan tidak mampu menyelesaikan persoalan dalam diri sendiri. Jika polemik ini timbul, selesaikan dahulu masalah dalam diri kita dengan merujuk orang yang alim. Kemudian, teruskan lagi usaha dakwah. Dengan cara ini, ilmu kita juga makin bertambah.

Soal orang nak kata apa, itu masalah orang. Yang penting kita perlu tahu bahawa berdakwah itu lebih mulia daripada mengkritik atau memberi komentar. Berdakwah itu juga lebih baik dari duduk bersantai dan tidak berbuat apa-apa.

Teruskan.

Soalan 2 : Ustaz, maaf mengganggu. Hari ini saya bertelagah dengan ayah sendiri. Kerana ayah saya bawa pulang perempuan bukan mahram ke rumah semalam. Saya memarahi perempuan itu ketika ayah saya tiada. Bila ayah saya tahu, dia marah dan sumpah saya. Dia cakap yang bukan-bukan pada saya dan mak saya. Dia doakan saya mati kemalangan dan lain-lain. Saya tertekan ustaz. Adakah saya derhaka pada ayah saya?

Respon : Saudara, apabila kita melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Maka kita melaksanakan perintah Allah. Dalam soal ini, saudara tidak derhaka kepada ayah sendiri. Malah itulah yang dituntut oleh agama. Saudara sudah menegur perkara yang sepatutnya ditegur. Tidak timbul soal derhaka. Malah tindakan saudara itu adalah perkara yang terbaik. Perlu dianggap berani dan telus.

Ini adalah masalah rumahtangga yang rumit. Ianya bukan pelik. Banyak berlaku dan menjadi suatu ujian kepada ahli keluarga tersebut. Masalah ini menjadi rumit apabila 'ayah' atau ketua keluarga sendiri melakukan perbuatan yang salah. Sedangkan ketua keluarga sepatutnya menjaga dan memantau urusan keluarganya. Tapi lain pula jadinya, ibarat kata 'Harapkan pagar, pagar makan padi'.

Dalam hal ini, isteri atau anak-anak perlu mengambil tanggungjawab membendung dan memperbetulkan. Perlu bersikap proaktif untuk menyelamatkan situasi yang kian gawat. Jika tidak mampu ditangani, perlu minta bantuan anak beranak terdekat sama ada datuk atau adik-beradik ayah. Berikan tazkirah atau nasihat kepada 'ayah' yang berada dalam kejahilan itu. Mudah-mudahan akan menemui penyelesaian yang baik.

Insya Allah.

No comments: