Tuesday, January 02, 2007

PANDUAN MENJADI PENDAKWAH MUDA

Mukadimah

Segala puji bagi Allah s.w.t. di atas segala nikmat-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda Nabi Muhammad s.a.w. Alhamdulillah, setelah mengambil beberapa ruang waktu untuk menulis dan membuat revisi, akhirnya buku kecil ini berjaya disiapkan untuk edaran umum. Mudah-mudahan isinya yang ringkas ini akan dapat memberi impak yang optimum ke dalam minda dan nubari pembaca.



Pihak penyusun menyedari wujudnya suatu gelombang besar yang sedang menghempas dinding akidah umat Islam di negara ini. Krisis murtad dikalangan remaja Islam juga kian meningkat. Atmosfera ini benar-benar membuahkan kegusaran di dada kita. Namun tidak ramai yang memandang isu ini sebagai satu ancaman kepada masa depan agama rasmi negara ini.

Punca utama ialah kejahilan yang membelenggu minda muda-mudi kita. Menyebabkan mereka hilang sensitiviti dan mudah terheret ke dalam jenayah murtad. Tindakan utama yang perlu dilakukan ialah meningkatkan kesedaran seluruh umat Islam terhadap kebenaran agama yang mereka anuti. Kegagalan mereka memahami dan menyedari tanggungjawab seorang muslim menjadi mereka buta akidah dan buta kebenaran.

Oleh itu kita memerlukan agamawan yang sanggup meluangkan masa untuk meningkatkan kesedaran umat Islam. Juga memerlukan sukarelawan untuk mengedarkan buku-buku agama yang seumpama dengan buku ini. Memandangkan bahan yang sedia sudah mencukupi untuk dijadikan rujukan, cuma khalayak tidak tahu bagaimana untuk memperolehi bahan-bahan tersebut. Justeru, usaha murni haruslah diperhebatkan dan mendapat sokongan daripada seluruh umat Islam.

Sekian, wassalam.

Penyusun,
A. UBAIDILLAH ALIAS



SEGMEN 1
Kenapa saya perlu menganut agama Islam?


PERATUSAN DAN FAKTA

Islam hari ini amat pesat perkembangannya. Justeru, pihak penyusun cuba menampilkan fakta dan data yang jelas berkaitan dengan Islam selaku agama yang paling pantas berkembang di dunia. Statistik ini dipetik daripada sebuah buku kajian Dr Nawi bin Jusoh yang diterbitkan oleh DNJ Consultant Sdn Bhd.

Di sini disertakan satu perbandingan peratus perkembangan agama Islam berbanding agama-agama lain di dunia ini selama 50 tahun lalu. Bermula dari tahun 1934-1984.

AGAMA PERATUSAN
Judaisme 4%
Buddha 63%
Hindu 117%
Kristian 138%
Islam 235%

Islam telah berkembang hampir ke seluruh pelusuk dunia. Ada sebanyak 57 buah negara Islam di dunia hari ini sebagaimana berikut

1) Afghanistan
2) Albania
3) Algeria
4) Arab Saudi
5) Azerbaijan
6) Bahrain
7) Bangladesh
8) Benin
9) Brunei
10) Burkinia
11) Cameroon
12) Chad
13) Comoros
14) Djibouti
15) E. Arab Bersatu
16) Guinea
17) Guana
18) Guinea-Bassau
19) Gabon
20) Gambia 21) Indonesia
22) Iran
23) Iraq
24) Ivory Coast
25) Jordan
26) Kazakhstan
27) Kuwait
28) Kyrgzstan
29) Libya
30) Lubnan
31) Malaysia
32) Maghribi
33) Maldives
34) Mali
35) Mauritania
36) Mesir
37) Mozambique
38) Niger
39) Nigeria
40) Oman 41) Pakistan
42) Palestin
43) Qatar
44) Uganda
45) Uzbekistan
46) Senegal
47) Sierra Leone
48) Somalia
49) Sudan
50) Surinam
51) Syria
52) Tajikistan
53) Togo
54) Tunisia
55) Turki
56) Turkimenistan
57) Yaman

Selain daripada itu, terdapat 40 buah negara di dunia ini yang minoritinya adalah beragama Islam. Malah jumlah penduduk Islam di negara eropah yang minoritinya penganut Islam ini berjumlah kira-kira 20 juta orang. Kadar rambang memperlihatkan penduduk Islam yang ada di dunia hari ini melebihi daripada 1.3 bilion, iaitu satu pergi daripada penduduk dunia hari ini adalah beragama Islam.

Di Russia pula ada kira-kira 60 juta umat Islam. Ia berada secara majoriti dalam sembilan wilayah Soviet Union iaitu :


1) Azerbaijan
2) Crimea
3) Georgia Armania
4) Kakeshia (Kavkaz)
5) Kazakistan
6) Kirghizia
7) Tatar-Bashkir
8) Tajikistan
9) Uzbekistan


Di Perancis, penduduk Islam mewakili kira-kira 7% daripada keseluruhan penduduknya manakala 38% daripadanya berada di Paris atau sekitarnya. Di Itali pula, ada kira-kira 650 ribu orang Islam dan sekurang-kurangnya 85 ribu di Rome. Ia menjadi agama kedua teramai pengikutnya di Itali. Kata sumber lain, jumlah ini mencecah kepada sejuta orang jika diambil kira bersama jumlah yang tidak didaftarkan. Berbanding dengan Yahudi, ia Cuma 35 ribu orang dan 15 ribu daripadanya berada di Rome.

Di China pula tiada angka yang rasmi, tetapi telah dianggarkan melebihi 100 juta orang Islam. Pada tahun 1998, jumlah masjidnya adalah sebanyak 32,749 buah. Kebanyakan daripada maklumat yang agak jelas ialah dikalangan kumpulan Hui yang beragama Islam ini seramai 8,556,093 orang.

Ringkasnya, Islam akan terus berkembang dari masa ke semasa bersesuaian dengan jaminan oleh Allah s.w.t. di dalam firman-Nya.

“Dialah yang telah mengutus rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa hidayah, petunjuk dan agama yang benar (Islam), supaya ia memenangnkannya dan meninggikannya atas segala agama lain, walupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” Surah As-Soff : ayat 9.

Agama Islam adalah seruan kebenaran yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w. yang mana ia digambarkan oleh Allah di dalam firman-Nya :

“Dengan yang demikian, ke manakah kamu hendak tuju (Jika kamu masih menyeleweng dari ajaran Al-Quran) (26) Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam (27) Iaitu bagi sesiapa daripada kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul (28) Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun, kecuali dengan aturan Allah s.w.t. Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh ala mini (29)”
(Surah At-Takwir : Ayat 26 – 29)


ISLAM PILIHAN KAMI

(1) YUSUF ISLAM @ CAT STEVEN

Terbukti secara fakta dan praktikal bahawa Islam adalah agama yang paling suci dan murni. Kesempurnaan yang wujud di dalam Islam serta syariat yang tersusun di dalam Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan. Ia bukan setakat menyusun kehidupan luaran malah memberi ketenangan kepada rohani dan spiritual setiap individu yang menganut agama Islam.

Cat Steven atau Yusuf Islam telah memeluk Islam kerana tertarik dengan isi Al-Quran (Terjemahannya). Keinsafannya untuk menjadi seorang Islam yang baik itu tidak perlu mengasingkan diri ke gunung. Apa yang perlu ialah menurut perintah Allah s.w.t. Beliau pada awalnya keliru dengan ajaran kristian yang berkonsepkan tiga tuhan, banyak persoalan di dalam dirinya tidak terjawab mengenai ketuhanan. Sehinggalah beliau memahami konsep kerasulan di dalam Islam, beliau mula insaf.

Beliau mulai faham bahawa semua rasul yang diutuskan oleh Allah termasuklah nabi Isa hanya untuk menunaikan satu mesej iaitu mentauhidkan Allah s.w.t. Sedangkan Yahudi menolak Jesus sebagai utusan Allah. Penganut Kristian pula salah faham terhadap Isa dan menganggapnya sebagai anak Tuhan. Selain itu, Yusuf Islam sangat tertarik dengan keindahan Al-Quran yang menyuruh manusia berfikir dan membandingkan sesuatu kejadian dengan akal yang waras.

Apa yang lebih menarik, Yusuf Islam tidak pernah berinteraksi dengan orang Islam sebelum dia menganut agama itu. Beliau banyak meneliti isi kandungan Al-Quran menerusi terjemahannya.

(2) DR. KARI ANN OWEN, PH.D (USA)

Dr Kari Ann Owen adalah seorang pengkaji mengenai daging halal dan haram di satu daerah San Francisco. Dalam proses penyelidikan ini beliau telah bergaul dengan kebanyakan orang Islam. Akhirnya, dia memeluk agama Islam setelah menemukan tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t.

Mengikut kajian, terdapat dua kebaikan pada binatang yang disembelih dengan cara Islam. Islam mewajibkan penyembelihan ke atas binatang untuk membuang darah di dalam tubuh haiwan tersebut. Ini kerana darah haiwan ialah sejenis asid urik yang mengandungi bakteria dan toksik. Sekiranya binatang ini tidak disembelih, darahnya akan meresap ke dalam daging dan boleh membahayakan pemakannya. Keduanya, penyembelihan adalah cara paling terbaik untuk meminimakan kesakitan haiwan tersebut ketika dibunuh.

Islam juga melarang penganutnya memakan daging babi disebabkan kuman dan bakteria yang wujud di dalam dagingnya. Mengikut kajian, semua darah di dalam tubuh manusia atau binatang akan diproses oleh buah pinggang atau organ-organ tertentu demi menghilangkan racun atau toksik di dalam darah tersebut. Setiap hari darah akan diproses semula menerusi organ-organ tertentu. Berbeza dengan babi, darahnya tidak diproses semula malah toksik dan racun di dalam tubuhnya itu akan terus kekal dan meresap ke dalam dagingnya. Ini menyebabkan daging babi sangat tidak elok dimakan kerana boleh mengundang pelbagai penyakit.

(3) ALEX KOH (WARGA MALAYSIA)

Alex Koh dilahirkan dalam keluarga beragama Buddha di mana ibunya agak konservatif pegangannya kepada agama Buddha dan mempunyai pandangan yang negatif terhadap Islam. Alex tidaklah kuat pegangan agama Buddha, cuma sekadar mengikut fahaman ibunya. Bagaimanapun pada umur 14 tahun beliau telah menukar agama daripada Buddha kepada Kristian.

Beliau memeluk kristian kerana berpandangan agama tersebut mengutamakan kasih sayang antara penganutnya berbanding Buddha. Kekeliruan terhadap agama kristian mula timbul apabila diberitahu oleh seorang rakan bahawa Islam dan Kristian mempunyai sejarah yang sama. Bertitik tolak daripada situ, beliau cuba membuat perbandingan antara agama Islam dan Kristian.

Alex mula terperanjat dan meragui agama Kristian apabila terbaca risalah Dr Ahmad Deedat bertajuk Ten Thousand Errors in the Bible. Beliau sering tertanya-tanya bagaimana kesilapan yang terlalu banyak boleh wujud di dalam Bible. Beliau juga membaca tentang Nabi Musa a.s. yang telah memberitahu tentang kehadiran nabi yang terakhir. Mengikut Kristian, nabi terakhir itu adalah Nabi Isa tetapi setelah meneliti ulasan Ahmad Deedat, gambaran yang diberikan oleh Nabi Musa itu langsung tidak serupa dengan Nabi Isa tetapi lebih kepada Nabi Muhammad. Selepas itu, beliau nekad memasuki agama Islam.

Tegasnya lagi, setelah memasuki Islam barulah beliau menginsafi bahawa melakukan sesuatu kebaikan pun ada tujuannya. Sebelum itu setiap amalan baik atau buruk tidak ada sebarang tujuan dan hasil, seolah-olah buat lebih pun sama dan buat kurang pun sama. Setelah Islam, barulah dia menyedari keadilan Tuhan yang Maha Mengetahui setiap sesuatu.


NABI MUHAMMAD DALAM KITAB SUCI

(1) NABI MUHAMMAD DALAM KITAB HINDU

Agama Hindu pernah meriwayatkan Nabi Muhammad s.a.w. akan lahir sebagai pemimpin. Dr. Ved Prakash Upaddhay telah menghuraikan bahawa Narashangsa itu ialah Nabi Muhammad s.a.w. yang akan lahir suatu hari nanti. Ini terbukti di dalam beberapa petikan Rig Veda 1:13:3, 1:106:4 dan 1:142:3 :

a. Narashangsa = Yang terpuji = Nabi Muhammad s.a.w.
Di mana-mana tempat dalam Kitab Vedas, disebut juga nama Eelit. Dalam nota kaki pada salah satu daripada kita Rig Veda yang diterbitkan, Eelit bermakna ‘Yang Terpuji’. Muhammad adalah dalam bahasa Arab maknanya dalam bahasa Melayu ialah ‘Yang Terpuji’. Ini bererti Narashangsa dan Eelit mempunyai makna yang sama iaitu ‘Yang Terpuji’.

b. Kualiti Personaliti.
Dalam Rig Veda, dijelaskan bahawa Narashangsa yang akan lahir itu mempunyai personaliti yang cukup hebat. Ia amat disayangi oleh ramai manusia. Stanley Lane Poole, menulis tentang Speeches of Muhammad(Macmillan,1982) menjelaskan bahawa siapa yang melihatnya akan menghormatinya. Siapa yang mendekatinya, akan menyayanginya. Mereka akan mengatakan tidak pernah melihat orang seperti ini sebelum dan sesudahnya.

c. Wahyu (Revelation)
Dijelaskan juga bahawa Narshangsa akan mendapat pengetahuan secara wahyu. Nabi Muhammad juga mendapat ajaran Islam adalah secara wahyu. Malah sesuatu perkara yang belum terjadi sekiranya diwahyukan, baginda akan tahu. Contohnya semasa berlakunya peperangan di antara kerjaan Parsi dan kerjaan Rom di mana kerajaan Rom telah kalah. Apabila dapat perkhabaran ini kepada nabi Muhammad, baginda telah mendapat wahyu bahawa kerajaan Rom akan menang peperangan beberapa tahun lagi. Hal itu benar berlaku, iaitu pada tahun 627 masihi dalam peperangan Nineveh kerajaan Rom telah menang.

Hal ini dijelaskan dalam wahyu Al-Quran dalam surah Ar-Rum : ayat 2-3 :

“Telah dikalahkan bangsa Rumawi. Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang. Dalam beberapa tahun lagi, bagi Allah swt lah urusan mereka sebelum dan sesudah mereka menang. Dan di hari itu (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang beriman.”

Disamping itu, dalam kitab suci Hindu Mahabharata juga ada dinyatakan tentang Nabi Muhammad s.a.w. ini melalui watak yang dikenali dengan nama Kalki. Buktinya adalah seperti berikut :

a. Dalam Mahabharata, Kalki ialah pemimpin agama dan pemerintah (king)
Dalam menghuraikan watak Nabi Muhammad sebagai pemimpin agama dan pemerintah, Prof K.S. Ramakrishna Rao, Government College for Women, Mysore, Karnataka, menulis dalam bukunya The Prophet of Islam (hal. 17) menyatakan bahawa Muhammad sebagai nabi, pahlawan, peniaga, negarawan, pemidato, reformis, pembela anak yatim, pembela abdi, pembela wanita, hakim dan dalam aspek kemanusiaan adalah jaguh istimewa.

b. Kalki sebagai Ketua Agama dan Ketua Negara
Dalam konteks ini, agama Hindu, Judas(agama orang Yahudi) dan Kristian yang begitu lama terdahulu darinya tidak mempunyai negara tersendiri. Tetapi Nabi Muhammad s.a.w. ada negara Islam di Madinah dan baginda adalah ketua pemerintah di sana.

c. Kalki mengalahkan musuhnya, kemudian mengambil Haji (pilgrimage)
Setelah Nabi Muhammad mengalahkan musuhnya di Mekah, baginda mengambil haji di mana baginda wafat tiga bulan kemudiannya di Madinah.

(2) NABI MUHAMMAD DALAM OLD TESTAMENT (TAURAT)

Bagi penganut Kristian, didapati terdapat banyak bukti yang mengatakan Nabi Muhammad akan lahir sebagai nabi akhir zaman yang melengkapkan ajaran daripada para nabi sebelumnya. Ini boleh didapati dalam petikan bible seperti berikut :

Dalam kitab Taurat, Allah berfirman kepada Nabi Musa :

“Seorang nabi akan Ku bangkitkan untuk mereka di kalangan saudara mereka, seperti engkau ini ; Aku akan menaruh firman-Ku dalam mulutnya, dan dia akan mengatakan kepada mereka segala yang Ku perintahkan kepadanya. Orang yang tidak mendengar segala firman-Ku yang akan diucapkan oleh nabi itu demi nama-Ku, akan Ku tuntut pertanggungjawaban”
(Deutronomy 18:18-19)

Dalam petikan Taurat ini ada disebut “…Ku bangkitkan untuk mereka di kalangan saudara mereka, seperti engkau ini…” adalah jelas dimaksudkan dengan Nabi Muhammad s.a.w. Kerana nabi Muhammad berasal dari keturunan Nabi Ismail. Nabi Ismail adalah adik beradik tiri kepada Nabi Ishak yang menjadi bapa kepada keturunan Bani Israel.

Selain itu, tidak ada nabi yang diutuskan selepas nabi Musa dari kalangan Bani Israel yang menyamai ciri dengan Nabi Musa melainkan Nabi Muhammad. Kebanyakan orang Kristian beranggapan rasul terakhir itu adalah nabi Isa. Ini sangat bersalah dengan petikan daripada Taurat. Pandangan ini salah dari segi fakta dan logiknya. Cuba perhatikan ciri berikut :

1) Nabi Isa dilahirkan dengan kuasa Allah tanpa mempunyai ayah, sedangkan Nabi Musa dan Nabi Muhammad sama-sama mempunyai ibu dan ayah.
2) Nabi Musa dan Nabi Muhammad wafat seperti manusia lain berbeza dengan Nabi Isa yang diangkat ke langit.
3) Nabi Musa dan Nabi Muhammad hidup dengan umur yang panjang manakala Nabi Isa telah disalib ketika berumur 34 tahun.
4) Nabi Musa dan Nabi Muhammad sama-sama berkahwin sedangkan Nabi Isa tidak berkahwin, dia cuma diutuskan untuk membenarkan ajaran Nabi Musa tanpa membawa syariat yang baru.
5) Nabi Musa dan Nabi Muhammad adalah pemimpin negara dizamannya, manakala Nabi Isa hanya rasul yang diutuskan untuk mengakui syariat nabi Musa sahaja.


KEINDAHAN ISLAM

(1) TIADA DISKRIMINASI ETNIK ATAU WARNA KULIT

Allah berfirman :

“Wahai manusia sesungguhnya kami menciptakan kamu terdiri daripada lelaki dan perempuan, kami jadikan kamu bercabang-cabang keturuan dan kabilah yang berbeza agar kamu saling berkenalan, sesungguhnya orang yang paling mulia dikalangan kamu adalah mereka yang paling bertaqwa di sisi Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”
(Surah Al-Hujurat : Ayat 13)

Islam adalah agama yang tidak menilai manusia dari rupa paras atau keturunan. Islam adalah agama yang menekankan ketaqwaan kepada Allah. Penekanan sebegini hanya wujud secara terang di dalam pengamalan orang Islam. Jika diperhatikan kepada agama lain, sekalipun mereka menyeru kepada perdamaian dan keharmonian, namun mereka tidak ada istilah taqwa.

Jika dilihat dikalangan sahabat nabi, ada yang berasal daripada hamba sahaya seperti Bilal bin Rabah, namun beliau sangat dimuliakan oleh baginda nabi. Ada yang berasal daripada Parsi seperti Salman Al-Farisi, namun nabi menerima pandangan dan usul yang beliau cadangkan ketika hampir berlakunya peperangan Khandaq. Apatah lagi nabi sendiri telah mempersaudarakan Muhajirin dan Anshar sehingga mereka saling berkasih sayang kerana ketaqwaan dan iman. Inilah salah satu daripada keindahan Islam.

(2) PENEKANAN KE ARAH BERKHLAK MULIA

Nabi bersabda :

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”
(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Islam sangat mementingkan adab dan akhlak setiap penganutnya. Kerana itu ajaran Islam sangat mementingkan komunikasi antara manusia dan Tuhan. Islam telah menggariskan secara terperinci peraturan-peraturan yang meliputi perkara kecil dan besar. Rujukan utama bagi akhlak ini adalah Al-Quran dan Hadith nabi s.a.w. Ini kerana nabi Muhammad adalah model yang menjelaskan akhlak muslim yang sebenar.

Aisyah r.a. pernah ditanya bagaimanakah akhlak nabi? Lalu dijawabnya akhlak nabi adalah akhlak al-Quran. Jika diteliti makna tersirat dan tersurat di dalam al-Quran, ternyata segala adab dan budi bahasa telahpun disertakan sebagai panduan umat manusia. Malah juga dinyatakan bahawa setiap satu kebaikan akan dibalas sepuluh dan boleh menjadi berganda. Manakala setiap satu kejahatan akan dibalas satu. Juga dijelaskan setiap perbuatan ada ukuran pahal yang berbeza. Begitu juga dengan perbuatan dosa.

(3) ISLAM MEMBERI MATLAMAT KEHIDUPAN KEPADA MANUSIA

Firman Allah s.w.t. :

“Dan (ingatlah) Aku tidak jadikan jin dan manusia , melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
(Surah Adz-Zariyat : Ayat 56)

Dalam ayat tersebut dinyatakan secara jelas objektif penciptaan manusia di bumi ini. Ianya adalah untuk beribadat kepada-Nya. Inilah misi kehidupan yang harus dipegang dalam akidah setiap umat Islam. Pehamahan ke atas ayat ini juga harus tepat dan syumul. Iaitu ibadat di sini meliputi ibadat umum dan khusus.

Ibadat khusus ialah ibadat yang ditetapkan secara berkala seperti solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Manakala ibadat umum ialah sebarang pekerjaan yang dibuat dengan niat yang ikhlas dan cara yang menepati syariat, juga akan mendapat pahala beribadat. Inilah keindahan Islam yang memberikan setiap muslim bergerak dengan penuh keikhlasan dalam memakmurkan bumi tuhan ini.


“Quote”

“Kalau mana-mana agama ada peluang memerintah England, tidak; Eropah, dalam masa seratus tahun akan datang ialah Islam”
- George Bernard Shaw -

“Kita tidak boleh menafikan bahawa persaudaraan dalam Islam adalah merentasi setiap peringkat bangsa dan kerakyatan, satu ciri yang tidak didapati dalam agama lain”
– Sir Radha Krishnan -

“Apa pun bangsa, warna kulit dan keturunan daripada para penganut Islam, ia akan diterima sebagai bersaudara dan mempunyai taraf yang sama. Islam mempunyai kuasa politik besar yang akan merebak. Islam yang mempunyai lebih daripada tujuh ratus juta jiwa ini, ialah satu-satunya jalan untuk mengubati penyakit di dunia ini”
- Prof T. W. Arnold -

“Muhammad ialah seorang yang paling berjaya daripada semua nabi dan personaliti agama”
- Encyclopedia of Britanica -


SEGMEN 2
Kenapa saya tidak boleh meninggalkan Islam?


ISLAM MELARANG MURTAD

Orang ramai sering menyebut perkataan murtad tanpa mengetahui hukum yang jelas berkaitan dengannya. Malah ada yang menganggap murtad ini adalah perbuatan yang melibatkan dosa kecil. Dosa murtad adalah menyamai dosa syirik kepada Allah. Dosa tersebut tidak akan diampunkan oleh Allah s.w.t. di akhirat kelak. Sebagaimana merujuk firman Allah s.w.t.

“Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan selama-lamanya mengampunkan dosa syirik(menyekutukan) ia dan mengampunkan dosa yang lain, barangsiapan berbuat syirik kepada Allah s.w.t. maka dia telah melakukan suatu dosa yang sangat besar”
- Surah An-Nisa’ : Ayat 48 -


TAARIF MURTAD

Murtad ialah satu perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan oleh seseorang Islam yang mukallaf di mana perbuatan atau perkataan itu menyebabkan orang tersebut keluar daripada agama Islam.


SEBAB MURTAD

Seseorang Islam boleh menjadi murtad disebabkan salah satu daripada perkara-perkara berikut :

1) Disebabkan I’tiqad(kepercayaan)

2) Disebabkan perbuatan yang sengaja.

3) Disebabkan perkataan yang sengaja.


HURAIAN

(1) MURTAD DISEBABKAN I’TIQAD (KEPERCAYAAN)

Seseorang boleh terkeluar daripada Islam akibat kepercayaan yang bercanggah dengan agama Islam. Antara kepercayaan yang salah itu adalah :

(1) Tidak mengakui bahawa Allah s.w.t. hanya satu-satunya tuhan yang layak disembah.

(2) Tidak mengakui atau ragu-ragu bahawa nabi Muhammad s.a.w. itu adalah utusan Allah, atau mengingkari salah seorang rasul-rasul yang telah terdahulu daripada nabi Muhammad s.a.w.

(3) Tidak mengakui bahawa Al-Quran itu diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w. dengan perantaraan Malaikat Jibril a.s.

(4) Tidak mempercayai atau meragui hukum-hukum Allah s.w.t yang disebutkan di dalam Al-Quran dan Hadith nabi s.a.w.

(5) Tidak mengakui wujudnya Malaikat-malaikat dan tugasan yang diserahkan kepada malaikat tersebut.

(6) Tidak mengakui atau ragu-ragu dengan kehadiran hari Qiamat. Malah menafikan wujudnya hal-hal di akhirat seperti mahsyar, syurga, neraka dan lain-lainnya.

(7) Tidak mempercayai qadha’ dan qadar, iaitu tidak mempercayai bahawa setiap yang buruk atau yang baik itu telah ditentukan oleh Allah s.w.t.

(8) Tidak mengakui atau ragu-ragu untuk menerima ijmak sahabat-sahabat nabi dalam perkara agama.

(9) Menghalalkan perkara yang telah jelas haramnya di sisi Allah s.w.t. Seperti menghalalkan zina, arak, judi, riba dan sebagainya.

(10) Mengharamkan perkara yang telah jelas hukumnya halal di sisi Allah s.w.t. Seperti mengharamkan jualbeli, berkahwin, sewa menyewa dan sebagainya.

(11) Mengingkari perkara yang telah difardhukan ke atas setiap muslim. Seperti mengingkari bilangan waktu solat fardhu atau mengingkari bilangan rakaatnya.

(12) Tidak mengakui kewajipan yang telah disabitkan dengan dalil-dalil Al-Quran dan Hadith. Seperti menolak kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan, bersolat lima waktu, zakat, haji dan sebagainya.

(2) MURTAD DISEBABKAN PERBUATAN

Seseorang muslim juga boleh terkeluar daripada Islam akibat perbuatan yang bercanggah dengan agama Islam. Antara perbuatan itu adalah :

(1) Sujud menyembah berhala.

(2) Sujud menyembah matahari dan bulan.

(3) Sujud menyembah makhluk lain, seperti sujud kepada manusia, haiwan, kayu dan batu.

(4) Membuangkan Al-Quran atau Hadith nabi s.a.w. ke dalam najis atau memijak-mijaknya.

(3) MURTAD DISEBABKAN PERKATAAN

Seseorang boleh terkeluar daripada Islam akibat perkataan yang diucapkan itu bercanggah dengan agama Islam. Antara percakapan yang salah itu adalah :

(1) Mengatakan Allah Taala bersekutu dan berbilang-bilang, atau mengatakan Allah tidak berkuasa ke atas alam ini.

(2) Berkata syariat Islam yang diturunkan Allah bukan untuk mengatur perhubungan antara individu dengan masyarakat dan negara.

(3) Mengatakan semua atau sebahagian hukum-hukum Islam tidak wajib dilaksanakan dalam zaman sekarang kerana tidak sesuai dengan keadaan hidup masyarakat hari ini.

(4) Mengatakan undang-undang ciptaan manusia lebih baik daripada undang-undang Allah.

(5) Mengatakan penafsiran Al-Quran yang dibuat oleh ulama-ulama terdahulu tidak lagi sesuai digunakan sebagai dasar hukum Islam hari ini. Malah mereka berpendapat bahawa Al-Quran perlu ditafsir semula mengikut keperluan semasa.

(6) Mengatakan qadha dan qadar itu bukan datang daripada Allah s.w.t, malah ia datang daripada makhluk itu sendiri atau daripada kekuatan alam.

(7) Mengatakan Allah Taala salah satu daripada tiga tuhan, iaitu Isa, Maryam dan Ruh Al-Qudus.


HUKUMAN BUNUH

Jumhurul(majoriti) Fuqaha’(ahli feqah) yang terdiri daripada Imam Malik, Syafie dan Hanbali berpendapat hukuman bunuh diwajibkan ke atas orang-orang Islam yang telah murtad dan enggan bertaubat. Hukuman itu wajib dikenakan ke atas semua penjenayah murtad sama ada lelaki atau perempuan, tua ataupun muda. Iaitu selepas mereka telah diminta dan diberikan tempoh untuk bertaubat.


TEMPOH BERTAUBAT

Seseorang yang murtad perlu diberikan tempoh selama tiga hari sebagai peluang untuk bertaubat. Sekiranya mereka sudah dinasihati berkali-kali sebelum dan masih degil untuk bertaubat, maka orang itu boleh dibunuh ketika itu juga. Namun di sana masih ada ulama’ lain yang memberikan pendapat berbeza dalam hal ini, namun kebanyakan ulama’ Syafie sepakat mengatakan tempoh yang diberikan adalah selama tiga hari.


HURAIAN

Di dalam nas Al-Quran menyebutkan

“Barangsiapa di kalangan kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian itu rosak binasalah amal usahanya yang baik di dunia dan di akhirat. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya”
(Surah Al-Baqarah : 217)

Seorang yang murtad tidak boleh dihukum bunuh melainkan setelah diminta bertaubat terlebih dahulu juga setelah mengambil tahu sebab-sebab ia menjadi murtad. Jika seseorang itu murtad disebabkan salah faham terhadap agama Islam, maka orang tersebut perlulah diberi penjelasan tentang hal yang sebenarnya. Penjelasan itu perlu dibuat sehingga mereka memahami konsep agama Islam yang benar.

Dan jika seseorang tadi murtad disebabkan keingkarannya, maka hendaklah dia diminta bertaubat dan kembali menganut agama Islam. Sekiranya orang itu berdegil untuk terus berada di dalam kekufuran, maka ketika itu wajiblah hukuman bunuh ke atasnya.

(a) Hadith riwayat daripada Ibnu Abbas r.a. :

“Barangsiapa yang menukar agamanya(murtad), maka bunuhlah dia”
(Hadis riwayat Bukhari)

(b) Hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. :

“Tidak halal menumpahkan darah seseorang Islam, kecuali dengan sebab salah satu daripada tiga perkara : Orang yang telah pernah berkahwin berzina (zina muhsan). Nyawa dibalas dengan nyawa (membunuh dibalas dengan bunuh), dan orang yang meninggalkan agamanya (Islam) yang memisahkan diri dari jemaah Islam (murtad)”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua-dua hadith tersebut menegaskan : Hukuman bunuh adalah wajib dikenakan ke atas semua orang Islam yang murtad. Sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda.

Jumhurul(Majoriti) Fuqaha’ selain daripada Al-Hanafiah telahpun ijmak menyatakan : Semua orang yang murtad itu wajib dibunuh, sekalipun orang yang murtad tadi adalah perempuan. Hadith yang menjadi dalil dan hujjah mereka adalah seperti yang berikut :

(1) Hadith yang diriwayatkan daripada Jabir r.a. :

Bahawa seorang perempuan bernama Ummi Marwan telah murtad (Keluar daripada agama Islam). Kes ini telah disampaikan kepada Nabi s.a.w. Maka baginda memerintahkan supaya dia bertaubat. Jika dia enggan bertaubat, maka bunuhlah dia.
(Dikeluarkan oleh Dar Al-Qutni dan Baihaqi)

(2) Hadith yang diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal r.a. :

Bahawa nabi s.a.w. tatkala mengutus sahabatnya Muaz bin Jabal ke negeri Yaman untuk menjadi gabenur dan hakim. Baginda berpesan – bersabda kepadanya : Mana-mana lelaki yang telah murtad, maka ajaklah dia kembali menganut agama Islam. Dan jika dia enggan menganut semula agama Islam, maka pancunglah lehernya. Dan mana-mana perempuan yang murtad, maka ajaklah dia kembali kepada agama Islam. Dan jika dia enggan menganut semula agama Islam, maka pancunglah lehernya.
(Riwayat Tabrani. Ibnu Hajar berkata : Sanad Hadith ini adalah Hasan)

Daripada keterangan hadith ini, bererti mereka yang murtad tidak boleh dihukum bunuh secara terus. Hendaklah diajak terlebih dahulu mereka yang murtad agar kembali kepada Islam. Mereka perlu diberikan tempoh selama tiga hari, sekiranya mereka enggan juga kembali kepada agama Islam. Barulah mereka itu dibunuh.

Saidina Umar r.a. pernah menegur tindakan Abu Musa Al-Ash’ari membunuh seorang murtad tanpa diminta terlebih dahulu untuk bertaubat. Kata Saidina Umar r.a. :

Kenapakah kamu tidak mengurungnya di dalam rumah selama tiga hari, dan kamu berikan makan roti kepadanya tiap-tiap hari mudah-mudahan dia akan bertaubat. Ya Allah! Sesungguhnya aku tidak hadir (ketika pembunuhan itu) dan aku tidak menyuruh bunuh dan aku tidak redha pembunuhan itu dilakukan.

Bagi mereka yang murtad dan ingin kembali memeluk agama Islam. Caranya seperti cara orang kafir asli menganut Islam. Iaitu dengan melafazkan dua kalimah syahadat.


HIKMAH DAN RASIONAL

Islam melarang keras penganutnya murtad kerana kesannya sangat besar ke atas masyarakat Islam. Apabila berlakunya sesuatu kes murtad, ia akan menjejaskan agama Islam dan penganutnya dari sudut yang berbagai.

Pertamanya dari sudut persepsi dan maruah agama Islam. Seorang lelaki yang murtad akan menganggap Islam sebagai agama yang salah. Ia akan cuba menyebarkan dakyah yang akan menimbulkan kekeliruan terhadap Islam. Seandainya murtad dibiarkan, ketinggian dan kemurnian agama Islam semakin pudar pada pandangan orang bukan Islam. Kepercayaan dan keyakinan orang bukan Islam akan terhakis apabila ramai penganut Islam keluar daripada agama asal.

Keduanya, murtad adalah sebesar-besar dosa yang dilakukan oleh seseorang muslim. Murtad adalah sebesar-besar kemungkaran yang boleh dilakukan oleh seorang manusia. Allah s.w.t. juga telah berjanji, bagi kaum yang melakukan kemungkaran mereka pasti akan diazab dengan bala serta musibah. Cuba kita perhatikan situasi sosial yang kian rencam di Malaysia ini, seiringan dengan itu juga makin banyak wabak dan bencana alam menimpa dalam atas air kita ini. Inilah sebenarnya janji Allah s.w.t. kepada umat Islam agar mencegah kemungkaran sebelum tibanya bala.

Masih banyak lagi hikmah dan rasionalnya Allah s.w.t. melarang perbuatan ini secara keras. Namun, apa yang penting adalah kerjasama umat Islam dalam membanteras perkara ini. Umat Islam perlu faham dan sedar perihal murtad, sekaligus mampu menyebarkan maklumat yang sahih mengenai murtad.

No comments: