Tuesday, April 12, 2011


BAB 3 : Warkah Cinta Berbau Syurga

DORM asrama sekolah Naim dipenuhi penghuni yang baru pulang dari sekolah. Rohana, Tasnim dan Wardah berjalan menuju ke katil masing-masing yang terletak saling sebelah menyebelah. Wardah dan Tasnim singgah di katil Rohana sambil merehatkan tubuh yang penat. Rohana menarik beg pakaian dari bawah katil dan membawa keluar majalah Gempak dan Blues Selamanya. Tasnim membulatkan anak mata.

“Wah! Mana awak dapat? Boleh saya baca?”

“Eh! Nanti ler dulu, tuan punya buku belum baca. Kalau nak baca kena ikut turn. Malam nanti lepas kelas awak take over. Ok?” Rohana sengih. Sememangnya mereka bertiga meminati majalah sebegitu kerana sebahagian besar kandungannya adalah bersifat jiwang dan memenuhi kepuasan imaginasi remaja kontemporari.



“Alah, kedekut lah pulak. Tak aper, ada ubit ada batas malam nanti saya kebas.” Tasnim mencebik masam, dia bangun dari duduk dan berjalan ke lokernya untuk menyalin pakaian. Wardah hanya memandang telatah dua rakannya. Sebetulnya buku majalah hiburan tidak dibenarkan oleh warden untuk dibawa masuk ke asrama. Namun, memandangkan musim peperiksaan semakin dekat membuatkan pelajar memerlukan bahan bacaan santai untuk melegakan fikiran selepas penat belajar. Spot cek juga jarang dibuat kerana guru sibuk dengan pelbagai urusan, jadi majalah semakin bebas berkeliaran di dorm asrama.

“Jom pergi makan, saya dah lapar ni.” Wardah mengajak dua rakannya. Tasnim angguk, Rohana berkira-kira sama ada mahu membaca majalah dahulu atau pergi ke dewan makan. Masa itu emas dan Rohana perlu membuat pilihan yang bijak kerana jadual asramanya agak padat.

“Jom lah kita pergi sama-sama, boleh nyakat abang kat dewan makan yang baru masuk kerja semalam. Dia nampak macam pelik sikit.” Wardah memberi cadangan nakalnya. Tasnim tersengih. Rohana mula teruja untuk ke kantin. Wardah senyum, dia yakin umpannya mengena. Setahu mereka, abang kantin yang baru masuk bekerja itu adalah sepupu kepada Makcik Atiah. Makcik Atiah atau nama mesranya umi adalah pemegang tender dewan makan untuk tahun ini. Boleh jadi abang itu kurang sempurna akalnya maka diberikan tugas pembantu dewan makan oleh umi sebagai jalan untuk melatihnya berdikari.

“Awak ingat tak, semalam masa Wardah minta sudu daripada abang tu…dia tergagap-gagap menjawab. Gelabah sakan nampak. Peliklah abang tu.” Tasnim membuka cerita semalam yang dirasakan begitu mencuit hati.

“A’ah. Lagi sewaktu abang tu menghulur sudu pada Wardah dia cuba untuk senyum konon. Siap control hensem lagi. Sekali Wardah buat tak tahu jer.” Rohana menambah. Wardah tidak menambah apa-apa. Dia hanya berfikir melangkah ke depan sambil fikirannya menerawang entah ke mana.

“Eh Wardah. Awak ni apa hal? Diam jer. Selalu mulut macam murai. Ada masalah ke?” Tasnim mencuit bahu kawannya. Wardah tidak memberi sebarang respon dia tetap meneruskan melangkah ke dewan makan. Tasnim mencebik. Dia memang tahu dengan sikap Wardah yang tidak akan mengendahkan sekeliling apabila dia memikirkan sesuatu. Walaupun begitu, seketika nanti dia akan berkongsi juga apa yang ada di fikirannya setelah dia mendapat sesuatu konklusi.

“Eh, tu pun abang tu.” Rohana menjeling ke dalam dapur. Pelajar lain sudah memenuhi banyak ruang yang ada untuk menjamu selera. Mereka perlu beratur untuk mendapatkan makanan. Kali ini Wardah tidak memasuki barisan, sebaliknya dia menghampiri abang pelik itu yang sedang menuangkan air sirap ais ke dalam gelas-gelas yang tersusun di atas meja.

“Abang, boleh saya nak tahu nama abang?” Wardah menyapa. Bagai disampuk hantu, abang itu melompat dan menoleh pantas ke arah Wardah. Kakinya seperti tergegau sebaik melihat Wardah tersenyum kepadanya. Tasnim dan Rohana menahan tawa yang hampir meledak dari perut masing-masing. Mereka berdua berada beberapa langkah dari Wardah sambil memerhati gelagat abang itu.

“Adik…adik nak…apa? Tadi adik cakap…nak abang?” Dia tergagap. Wardah menahan gelihati mendengar kata lelaki di hadapannya. Potongan rambutnya pendek, hidungnya agak mancung dan panjang seperti hidung Shah Rukh Khan si pelakon Bollywood agak melucukan.

“Tak, saya nak tahu nama abang. Boleh ke?” Wardah mengulang soalan dengan lembut. Senyuman manis melirik di bibirnya. Dari sudut yang lain, umi memandang dari jauh Wardah bercakap dengan sepupunya. Memang umi kenal sikap Wardah dan dua orang rakannya yang agak nakal. Mereka suka menyakat dan bergurau yang pelik-pelik.

“Oh…nak tahu nama abang. Abang ni…nama Aris Aiman. Orang panggil Aris. Adik panggil Abang Ris pun dah ok. Hehehe.” Dia ketawa ramah memperlihatkan giginya tersusun rapat.

“Ok, Abang Ris. Saya nak minta tolong abang boleh ke?” Wardah meminta. Abang Ris angguk dan tersengih.

“Apa?”

“Boleh tak abang tolong ambilkan makanan untuk saya sekarang? Saya tunggu kat sini, saya malas nak beratur…penatlah Abang Ris.” Wardah membuat wajah penuh berharap. Abang Ris jadi gelabah. Dia menggaru kepalanya dan tersengih-sengih seperti kerang busuk.

“Boleh…tapi, Abang Ris boleh…tapi, susah. Umi marah nanti.”

“Alah, tolonglah Abang Ris. Kalau boleh, ambilkan untuk kita bertiga. Boleh?” Wardah meminta lagi dengan suara yang mendayu-dayu sambil menunjukkan dua orang lagi rakannya di belakang. Aris tidak dapat berbuat apa-apa, dia tewas dengan senyuman Wardah. Walaupun serba salah, dia tidak dapat membela dirinya sendiri. Kendi air sirap di letakkan di atas meja lalu dia berjalan masuk ke bahagian dalam dapur. Umi yang berada di bahagian belakang dapur hanya memandang sepi. Seketika dia menggeleng kepala. Aris itu dianggap seperti anak sendiri memandangkan umur mereka berbeza15 tahun.

Aris mengambil makanan sebanyak tiga pinggan dan dibawa keluar. Beberapa pelajar perempuan yang beratur di belakang memandang sambil menjuih bibir. Tiada siapa yang berani berbicara kerana mereka kenal Wardah dan kawan-kawannya adalah anak emas sekolah itu. Walaupun mereka agak nakal tetapi mereka adalah pelajar cemerlang akademik yang sentiasa disayangi oleh guru-guru. Hal itu membuatkan pelajar lain tidak mahu campur tangan.

“Abang, terima kasih ya.” Wardah senyum. Aris tersengih seperti biasa. Kepalanya digaru-garu sambil berpusing ke kiri dan kanan. Wardah dan rakannya berlalu sambil menahan geli di dalam perut masing-masing. Aris kembali ke meja air. Sebelum sempat dia mengambil kendi itu umi tercegat di sebelahnya sambil mencekak pinggang. Aris tergamam.