Tuesday, April 12, 2011


BAB 2 : KALA CINTA & WAHYU BERSATU



BANGUNAN Kota Bharu Medical Centre (KBMC) berdiri utuh di tepi jalan waktu hujan berguguran dari langit. Dalam cuaca suram itu, lampu neon yang memancar di sekeliling bangunan tetap menampakkan kemandirian binaan itu. KBMC hanya beberapa ratus meter dari Kompleks Balai Islam, Lundang. Ia adalah sebuah pusat rawatan khas untuk mereka yang mahukan keselesaan. Ruang bilik rawatan yang lebih peribadi dan elusan penghawa dingin yang sederhana menjadikan KBMC amat kondusif untuk pesakit berehat. Layanannya lebih istimewa berbanding hospital kerajaan.



Malam ini, Wardah sedang terlantar di atas katil ditemani sahabatnya Tasnim. Sudah hampir seminggu Wardah berada di situ. Tasnim adalah orang yang paling kerap menziarahinya. Jelas sekali wajah Wardah menampakkan garis-garis penderitaan yang berat. Dia benar-benar uzur dan pasti Tasnim tidak betah membiarkan sahabatnya keseorangan.

”Tas...berdosakah aku?” suara Wardah sayu berselang bunyi hujan yang turun mendudu di luar kamar. Matanya sekejap dibuka dan sekejap dikatupkan rapat, air mata berjurai ke pipi. Tasnim yang duduk di sisi Wardah hanya berdiam, dadanya dihurung sendu. Bilik rawatan itu berhawa dingin dan hanya mereka berdua di dalamnya. Wardah membuka pelipis mata yang kian lesu, dia makin longlai dicengkam derita penyakit yang menimpa. Entah bulan oktober atau november, Wardah sudah hilang perkiraan dalam pergerakan waktu.

”Aku sudah lama bersabar Tas. Aku sudah tidak mampu lagi. Kau sendiri tahu bagaimana suamiku melayanku...sampai keadaanku sudah begini, dia masih berada jauh dariku. Adakah salah jika aku mengharap seorang lelaki memahami perasaanku?” Matanya kian kuyu, nafasnya makin lesu. Jiwanya sudah lama membawa beban rindu yang tidak terlunas.

”Wardah...aku tidak tahu apa yang sepatutnya aku ucapkan kepadamu. Memang benar suamimu itu berlaku khianat. Tapi...aku jadi serba salah, aku tidak tahu kenapa engkau terlalu mengingati Amir Mukhlis? Apakah sihir yang telah dia kenakan padamu sampai begitu dalam ingatanmu padanya? Aku harapkan engkau... berhenti sajalah dari mengingatinya...aku tidak tahan melihat engkau begini. Aku...tidak sanggup melihat engkau terbeban dengan dendam rindu ini. Cukuplah.” Tasnim memujuk.

”Aku juga tidak tahu...kenapa aku jadi begini Tas. Dahulu...” Wardah mematikan bicara sambil ingatannya kembali ke zaman remaja yang penuh warna gelora rindu. Dia masih teringat suasana persekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat. Dia teringat pertemuannya dengan Amir selepas mendapat keputusan SPM. Dia terbayang kehidupannya di kampus Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri. Semuanya hadir satu persatu. Semuanya manis dan indah. Sehinggalah suaminya yang bernama Shamsul hadir dalam hidupnya. Warna hidupnya berubah suram dan kelam.

Shamsul adalah lelaki yang dipilih oleh ibubapanya, demi nilai kebendaan dan kerjaya. Lelaki itu langsung tidak pernah menzahirkan kecenderungan hidup beragama. Dia tidak pernah bersolat di rumah, apatah lagi membaca Al-Quran. Sepanjang dia bersama Shamsul, hidupnya terasa sempit dan jiwanya begitu tertekan. Disebabkan tekanan, dia makin teringatkan Amir. Kenangannya bersama Amir kerap datang memenuhi jiwa, membuatkan rindunya menebal.

”Tas...dahulu...aku perempuan yang agak nakal, kurang beragama. Namun kehadiran Amir merubah atmosfera hidupku. Setelah dia muncul, barulah aku memahami erti hidup beragama. Barangkali...kerana aku terlalu menagih perhatiannya. Lalu aku berubah metah...aku cuba menjadi seseorang yang terbaik di hatinya. Seorang yang solehah. Malangnya...aku dipaksa berkahwin dengan suamiku sekarang.” Suara Wardah senada, matanya berair dan titis air mata mengalir di pelipisnya. Tasnim meraup wajah sendiri, hatinya sebak dan dia menyeka air yang bertakung di matanya.

’Amir...apa yang telah engkau sihirkan pada sahabatku...hingga dia menderita sebegini! Hebat sangatkah lelaki seperti kau...hingga sanggup buat sahabatku merana?’ Jerit batin Tasnim. Dia memegang tangan Wardah.

”Wardah...cukuplah. Kau berehatlah.”

”Tidak Tas...aku tidak mahu berehat lagi. Sudah lama aku berehat di atas katil ini. Terlantar dalam keadaan menyusahkan orang lain. Aku mahu luahkan perasaanku padamu. Kau satu-satunya sahabat karibku. Aku sememangnya penat melayan suamiku yang tidak pernah menghormatiku. Seringkali aku bergaduh dengannya atas dasar hukum dan agama. Dia...secara terang berlaku engkar pada agama. Bagaimana aku bisa menyayangi lelaki yang enggan sujud kepada Allah? Dia manusia keji dan aku membencinya. Aku benci lelaki itu. Adakah perasaanku ini berdosa Tas?” Wardah menangis.

”Cukuplah Wardah. Cukuplah...keadaanmu agak getir sekarang. Berehatlah...aku mohon agar engkau berehat dahulu.” Tasnim merayu.

”Tas...kalau kau benar-benar mahu membuat aku lapang. Tolonglah...dengar apa yang mahu aku luahkan. Aku mungkin sudah tidak punya esok lagi.” Wardah menangis dan esakannya kedengaran lemah sekali. Tasnim turut mencurahkan air mata. Sayu menyelubungi hati kedua sahabat itu.

”Tas...jujur aku katakan. Amir adalah lelaki yang membuatkan aku merasa diri sendiri bahagia. Zahirnya dia ego, tapi bagiku dia benar-benar menjagaku hingga aku dapat rasakan diriku begitu terhormat.” Kalamnya terputus dan nafasnya dihela dalam.

”Namun...ada satu perkara yang aku tidak pasti sampai sekarang.” Wardah merenung jauh dalam ilusinya. Tasnim menanti sambungan bicara sahabatnya.

”Adakah dia pernah menyimpan sebarang perasaan cinta padaku? Kalau aku punya umur...hanya soalan itu mahu aku tanyakan padanya. Adakah selama kami saling kenal, dia tidak punya suatu rasa padaku?” Wardah memandang Tasnim, matanya bagai menyelami hati sahabatnya.

”Tas...bisakah soalan itu kau tanyakan padanya?” Wardah meminta, Tasnim terkasima. Dia memandang bening mata Wardah yang penuh harapan.

”Biarpun aku telah pergi, sekurang-kurangnya ada yang tahu bahawa lelaki itu pernah juga menyayangiku. Itu saja.” Wardah mengharap. Tasnim kelu.

”Bisakah?” Wardah mengulangi soalan.

”Wardah...ini bukan masanya untuk meminta hal sebegini.” Tasnim tidak mahu berjanji.

”Inilah masanya Tas...jika bukan sekarang, maka tiada lagi peluang.”

Tasnim menghela nafas panjang. Perasaannya terasa berat. Dia serba salah.

”Assalamualaikum” Ibu Wardah muncul dari balik pintu dan Tasnim langsung bangun berdiri. Perbualan mereka mati di situ. Wardah hanya memandang Tasnim dari jarak beberapa meter. Tasnim angguk perlahan-lahan. Wardah tersenyum kepuasan.

”Tas...terima kasih.” Mercup kalam itu dari bibir Wardah.

Pintu bilik wad diketuk, perlahan daunnya ditolak.

”Assalamualaikum” Suara Rahim menyapa dua perempuan yang sedang berbual di dalam bilik. Mata Wardah tiba-tiba bersinar dan satu senyuman dilirihkan pada bibirnya yang pucat. Seolah dia sudah lama menanti kehadiran Rahim.

”Waalaikumussalam” Tasnim menjawab. Rahim merapati Wardah.

”Maafkan saya kerana datang lewat. Saya sibuk tadi.” Rahim memberitahu.

”Tidak mengapa.” Balas Wardah dia cuba bangun dari pembaringan. Tasnim cepat-cepat menghalang. Wardah diamkan diri.

”Ada apa Wardah minta saya ke sini?” Rahim bertanya. Dia berdiri hanya dua meter dari katil. Tasnim hanya tunduk sahaja, menunggu kalam dari Wardah.

”Rahim, saya ingin minta tolong dari awak. Itupun jika tidak menyusahkan” Wardah berbicara dengan kudrat yang bersisa.

”Ya, apakah pertolongan yang awak perlukan? Insya Allah saya akan usahakan.” Rahim membuka jalan.

”Dalam laci di sebelah saya ini, ada satu sampul. Mohon dikirimkan kepada Amir.” Wardah berbicara dalam getar nafas rindu yang tertahan-tahan. Tasnim membulatan mata, dia memandang wajah Wardah serasa bagaikan tidak percaya.

”Wardah, kau masih mahu mengirim apa? Surat untuk Amir? Bila kau menulisnya?” Tasnim bertanya. Mata Wardah berkaca. Tasnim merapati bibirnya ke telinga Wardah untuk terus berbicara.

”Aku tidak fikir...”

”Tasnim, biarkan dia menyatakan hasratnya dahulu. Bukan masanya untuk menyoal soalan sebegitu.” Rahim segera memintas sebelum Wardah memberi jawapan. Dia mengerti Wardah terdesak dalam debur cintanya yang tidak kesampaian.

”Mohon disampaikan surat itu kepada Amir. Itu sahaja.” Wardah meminta penuh harapan. Rahim berjalan ke arah laci yang disebutkan, ia betul-betul di sebelah katil Wardah. Laci dibuka dan sampul diambil.

”Insya allah, surat ini akan dihantar secepat mungkin.”

”Terima kasih Rahim.” Wardah tersenyum longlai. Kulit wajahnya berwarna pucat dan pudar.

No comments: