Tuesday, April 12, 2011


KALA CINTA & WAHYU BERSATU

Suamiku,

Cintaku adalah lautan yang airnya tidak akan kekeringan sekalipun kemarau melanda. Cintaku adalah waktu yang akan berdetik sepanjang zaman. Cintaku adalah udara yang akan kau sedut sekalipun di bawah sedar. Cintaku adalah mentari dikala siang dan bulan dikala malam, yang akan setia memerhatikanmu. Cintaku adalah cinta yang tidak akan dibiaskan oleh mana-mana kekuatan kecuali tuhan. Cintaku adalah kesetiaan yang abadi. Akan ku menantimu di pintu syurga.

Isterimu.




BAB 1


DUA TAHUN LALU


HUJAN sedang turun mendudu menimpa bumi. Semua yang berada di bawahnya kebasahan. Tasnim dalam perjalanan ke Kota Bharu Medical Centre. Dia mahu menziarahi sahabatnya yang sedang sakit. Dari tempat duduk pemandu matanya memerhati suasana. Dia melihat jalan yang basah, kereta yang bersesak, manusia yang ramai sedang bergerak untuk pulang ke rumah. Masing-masing dengan urusan sendiri. Masing-masing punya cerita dan kisah yang tersimpan. Perasaan sayu menjelira dalam kolam sukmanya.

Tasnim terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Dalam menanti dia mencuri pandangan melihat langit, gelap sekali. Kemudian memandang neon-neon lampu jalanan, kekuningan. Cahaya dari neon itu menampakkan butiran air hujan yang turun seperti tangisan. Bunyi air menimpa tanah, percikan dan rintik-rintik biasan itu menjadi melodi jiwanya.

’Wardah...aku tahu, hatimu sedang menangis. Apakah yang mampu aku bantu?’ Kalbu Tasnim berbisik dalam diam. Perasaan sedih dan serba salah itu bercampur baur, dalam kecamukan itu lahirnya rasa gusar.

’Wardah...Adakah ini bahana cinta? Akhirnya menderita?’ Hati Tasnim mula berbicara. Memang pada awal perkenalan Wardah dengan Amir, semuanya kelihatan manis. Berputik harapan dan suatu azam baru untuk merubah kehidupan. Hari demi hari cinta Wardah menyubur di taman kasih, Wardah memugar cintanya agar tumbuh menjadi kuntuman mewangi. Dia mahu berkongsi kasih dan keharuman itu dengan Amir.

Tiba-tiba, dunia berputar dan semuanya seperti terbalik. Jodoh Wardah tiba dan dia disatukan dengan Shamsul. Cerah jadi gelap. Terang jadi malap. Mekar bunga cinta tiba-tiba jadi layu, semua rindu jadi palsu. Harapan dan impian pecah satu demi satu, bertabrakan dan menjadi kepingan berbisa yang menusuk kalbu. Dari situ, Tasnim mula menyedari Wardah hidup ditemani air mata.

’Pelik...cinta yang indah, berubah menjadi duri-duri yang memeritkan.’

Salah siapakah ini? Ini bukan kesalahan Wardah sepenuhnya. Semuanya gara-gara lelaki. Lelaki yang membawa cinta, lelaki juga yang merosakkannya. Lelaki yang memberi ruang untuk membina istana impian, lelaki juga yang meruntuhkannya. Lelaki mengukir janji-janji manis, lelaki juga yang merobek segala kata menjadi dusta.

’Lelaki semuanya jahanam. Lelaki semuanya hipokrit! Lelaki memang perosak dunia!’ Hati Tasnim marah-marah, membentak dan meraung. Namun, raungan itu tidak kedengaran. Teriakan itu terpenjara dalam batin wanitanya.

’Aku benci lelaki!’

No comments: