Tuesday, April 12, 2011


BAB 3 : MENGINTAI CINTA KHALIFAH


SEBAIK dua potong kek Tiramisu diambil, mereka duduk di meja. Beberapa meja lain di dalam Secret Recipe dihuni pasangan muda. Termasuk mereka. Malam masih muda dan orang kian memenuhi pasaraya KB Mall.

“Apa khabar Laila?” Imran meluahkan sepatah ayat yang lahir dari kerinduan yang membusung.

Diam. Laila senyum dan menatap wajah kekasih. Saat pandangan menyatu dan debur emosi beralur dalam nafas yang paling agam, saat itu terasa sukma tenggelam dalam kolam cinta. Saat alam menjadi sepi dan kebisingan menjadi hilang, saat itu terasa bintang berkerdipan memancarkan sinar taram-temaram. Terasa ingin sekali masa itu terhenti dan detik itu statik pada noktahnya.



“Saya sihat Imran, awak bagaimana? Sihat?” Laila senyum lebar. Senyuman kerinduan terukir.

“Erm, seperti yang awak lihat. Saya tak pernah rasa sebagus ini sebelumnya..” Imran senyum. Mereka mencuit kek yang ada di piring masing-masing dengan sudu kecil.

“Awak suka hadiah yang saya beri?” Imran menatap wajah kekasih. Laila angguk dan tersenyum.

“Awak, saya ada satu teka-teki.” Imran sengaja menjual teka. Laila angguk.

“Apa teka-tekinya?”

“Kalau ayam jadi itik, itik jadi apa?” Imran sengih.

“Teka-teki macam inipun ada ke? Nanti nak fikir…mestilah itik jadi hairan” Laila mengagak.

“Salah tu… jawapannya, itik jadi banyaklah. Kalau semua ayam jadi itik…maka itik jadi makin banyak. Ha~ha~ha~” Imran ketawa kecil. Laila mencebik.

“Ok, boleh saya tanya soalan dan awak jawab?” Laila pula ingin bertanya. Imran angguk tanda sedia.

“Kalau saya jadi bulan awak jadi apa?”

“Jadi sabitnya. Jadi bulan sabit…He~he~he~”

“Serius la sikit…kalau saya jadi lautan, awak jadi apa?” Laila bertanya lagi.

“Saya jadi lanunnya” Imran sengih.

“Dahsyatnya, tak mahulah tanya lagi. Awak selalu bagi jawapan yang pelik-pelik. Awak ni macam tak serius langsung.” Laila mencebik. Dia menyuap kek di hadapannya. Imran senyum sahaja.

“Laila… orang yang ikhlas mencintai tidak akan memberi janji manis semata-mata. Saya tidak mahu menabur madah indah lalu bertindak sebaliknya. Biarlah masa membuktikan bahawa saya mencintai awak” Imran meluahkan rasa di hatinya. Laila terdiam.

“Jadi…kalau tiada madah dan kata-kata indah, apa yang boleh diberitahu kepada seorang kekasih?” Laila bertanya tanda ingin tahu.

“Kekasih yang tulus akan berkorban masa, wang dan sentiasa setia pada kekasihnya. Tiada guna berjanji yang besar-besar, bercakap yang indah-indah jika lelaki itu adalah jenis hipokrit.” Imran menyedapkan hati Laila. Sejenak Laila angguk, tanda mengerti. Mereka berbual mesra dan menikmati makanan enak yang terhidang.

“Lepas ni kita main bowling nak?” Imran mengajak. Laila angguk tanda setuju.

“Erm, awak dah belanja saya makan kek. Lepas ni, biar saya belanja awak main bowling ok?” Laila meminta. Imran senyum tanpa menjawab. Sebaik selesai makan, mereka naik ke tingkat atas menuju ke Pacific Bowl sambil berpimpin tangan.

“Assalamualaikum, Imran.” Satu suara menyapa. Imran terbata. Seraut wajah sedang tersenyum padanya. Berdiri di sebelahnya Ustaz Khalil, sepupunya yang jauh lebih berusia daripadanya. Imran terkasima, genggaman tangan Laila dilepaskan.

“Waalaikumussalam, Ustaz…err…” Imran segan bercampur malu.

“Nak ke mana berdua ni?” Tanya ustaz Khalil yang berkopiah sambil menjeling ke arah Laila yang berbaju labuh separa lutut dan berseluar. Bertudung kecil yang menutup separa bahu. Laila tunduk ke lantai dan berpaling ke jihat yang berbeda.

“Nak pergi main bowling ustaz.” Imran menjawab jujur.

“Erm…Imran, abah dan mama tahu ke Imran keluar berdua ni?” Ustaz Khalil bertanya. Wajah Imran berkerut seribu. Soalan yang tidak enak sudah terpacul dari lidah sepupunya.

“Mestilah tahu. Cuma, mereka tiada di rumah sekarang ni.” Imran mencebik.

“Oh. Kalau begitu tak mengapalah. Maafkan ustaz ya Imran, dari segi hukumnya lelaki dan perempuan yang bukan mahram tak boleh pegang tangan. Salah tu.” Teguran lembut disampaikan. Imran sedar soal hukum, dia juga belajar di Maahad Muhammadi. Dia tahu halal dan haram, dia tahu dosa dan pahala. Tapi ini haknya, keinginannya, kenapa perlu dihalang?

“Ustaz, nak cakap apa-apapun boleh. Saya faham. Tapi, tengoklah keadaan juga. Kat tengah pasaraya pun nak bagi kuliah ke?” Imran cuba menempelak. Ustaz Imran tenang dan menepuk bahunya.

“Kalau bukan sekarang, nak tegur bila lagi. Tiada siapa tahu saat ajal datang. Kalau bertangguh, sempat ke nak bertaubat bila Izrael muncul? Lebih baik tegur sekarang. Lagipun, nasihat itu wajar dan sesuai dimana sahaja. Imran tak rasa ke tindakan Imran ini menyalahi syariat? Iyealah, keluar dengan anak dara orang diwaktu malam.” Ustaz Imran memberi tusukan kalam yang tepat ke jantungnya. Imran terpukul.

“Ustaz mana faham orang bercinta. Senang la ustaz tuduh yang bukan-bukan. Memanglah saya ni buat benda salah. Tapi, ustaz kena hormati juga hak saya. Saya muda lagi, takkanlah saya nak jadi macam ustaz.” Imran tidak puas hati, rasa berang mencucuk batinnya. Dia cuba memberi alasan untuk memenangkan situasi.

“Imran, siapa yang minta Imran jadi macam ustaz? Ustaz beritahu apa yang Islam suruh. Islam itu agama Allah. Dan kita sebagai hamba Allah perlu ikut perintah Allah. Bukan ikut perintah ustaz. Perkara mungkar harus ditegah. Memang ustaz hormati hak Imran sebagai orang muda, tapi hormatkan manusia ada batasnya. Tidak boleh sama sekali menghormati manusia sehingga menyisihkan hukum Allah.”

“Ustaz, kenapa tak tegur orang lain. Tu, sana tu ramai lagi orang bercouple. Kenapa ustaz sibuk campur urusan saya. Kalau ustaz memang nak berdakwah, pergi la larang semua orang muda kat satu pasaraya ni. Kenapa nak sekat saya pula. Lagipun ustaz, saya ni bukannya nak buat dosa besar. Saya sekadar bercinta. Salahkah saya ustaz? Saya mencintai dia dengan cinta yang sebenar.” Imran bertegas.

Diam. Ustaz Khalil menarik nafas dalam-dalam.

“Beginilah…kita duduk di sana sebentar. Bolehkah?” Ustaz Khalil mengisyaratkan jarinya pada satu bangku di tepi tiang. Imran menarik wajah masam, sebolehnya dia tidak mahu berbual panjang. Laila pula kelihatan bosan dengan kehadiran ustaz Khalil.

“Jom, ustaz janji… kita berbual tak sampai setengah jam. Lepas tu, Imran buatlah urusan sendiri.” Ustaz Khalil memujuk. Imran memuncung dan mengikut dalam malas. Laila hanya membuntuti dari belakang. Semua rasa asyik yang mereka kecapi telah tertimbus dengan perasaan cuak terhadap lelaki itu. Sebaik mereka duduk, ustaz Khalil meletakkan barang yang baru dibeli di sebelah kerusi. Dia memandang sepasang kekasih yang duduk bersebalahan.

“Imran, Islam suruh kita memulakan teguran sesama keluarga dan kaum kerabat terlebih dahulu. Ustaz sepupu Imran, ustaz perlu utamakan Imran sebelum ustaz menegur yang lain. Bukan bermaksud ustaz pilih kasih, tetapi ini adalah keutamaan yang ditetapkan dalam agama. Lagipun, ustaz tidak mampu nak seru semua orang dalam satu pasaraya. Cukuplah ustaz seru seorang dahulu. Itu kan lebih baik daripada tak buat apa-apa.”

Imran mendengar sambil mencuka. Laila diam seribu bahasa.

“Imran adakah Imran mencintai kekasih Imran?” Ustaz Khalil sengaja memancing perhatian Imran. Tiada respon yang diberikan oleh Imran. Dia hanya terkerdip-kerdip di kerusi sambil memandang sekeliling.

“Imran, Imran benar-benar cintakan kekasih Imran atau main-main?”

“Ustaz, mestilah saya mencintainya sungguh.” Imran membalas cepat.

“Oh begitu, boleh ustaz tahu bagaimana cinta sebenar? Ustaz mahu memahami cinta sebenar yang Imran maksudkan.” Ustaz Khalil menekan nada. Kini giliran dia meminta Imran bercakap. Imran serba salah, dia terdiam sambil berfikir.

Kusut dan rencam.

“Erm..maksud Imran, saya benar-benar mahu menjaga dia. Bukan buat onar macam pasangan lain.” Imran memberi respon.

“Onar macam pasangan lain tu bagaimana?”

“Alah…ustaz, kan ramai orang lelaki sekarang ambil kesempatan terhadap perempuan. Saya bercinta bukan untuk seronok. Saya bercinta kerana saya mahu luahkan kecintaan saya sahaja. Disamping itu saya tetap menjaganya.” Imran meyakinkan hujjahnya. Dia mahu ustaz Khalil percaya padanya. Dia juga mahu Laila berbangga memilihnya menjadi kekasih.

“Oh, Imran mahu menjaganya?… macam tadi?”

Diam. Hati Imran bergasak antara ilmu dan emosi. Bercakaran dan berbalah. Hatinya benar-benar terkepung dengan rasa marah dan susah.

“Imran, setiap perbuatan manusia ada balasan. Setiap tingkah-laku ada perkiraan dosa dan pahala. Ini adalah hakikat dan situasi sebenar seorang hamba. Kelak, kita akan menuntut semua balasan itu di akhirat. Adakah Imran faham perkara itu?” Ustaz Khalil menekan. Imran angguk lewah.

“Imran cakap mahu menjaganya dengan cinta seperti sekarang? Imran…cinta itu bukan sekadar meluahkan kecintaan dan menjaga kekasih kita dengan rasa. Cinta itu lebih dalam dari itu.” Ustaz Khalil menarik diksi dengan suara yang dalam. Hati kebal Imran mula tercarik perlahan-lahan.

“Adakah kita fikir dengan mengatakan sayang, memegangnya, memeluknya dan memberinya hadiah akan menyelamatkan kekasih dari segala bahaya? Sedangkan kita belum diijabkabulkan. Hakikatnya, kita menyentuhnya tanpa restu dan itu adalah dosa. Kita menatap dan memandangnya dengan hati yang ralit, melihat auratnya dan bentuk tubuhnya. Itu adalah zina mata dan zina hati. Adakah cinta ini kelak akan membawa kita ke syurga yang abadi? Atau menarik kita ke neraka tuhan? Cuba Imran jawab.”

Imran tersentak. Perkataan neraka itu benar-benar menyentak ubunnya. Laila yang berada di sebelah Imran segera menoleh ke arah ustaz Khalil.

“Ustaz, saya yakin Imran dapat menjaga saya. Saya menyukainya, dan saya percaya Islam juga mengizinkan kita bercinta.”

“Cinta itu hanya boleh disambut setelah berlangsungnya ijabkabul. Dan cinta itu perlu dimengerti dengan makna yang abadi. Apabila mencintai, bererti kita akan memimpin cinta kita dengan laras agama. Membawanya jauh dari kemurkaan Allah. Menatangnya dan memeluknya agar terselamat dari neraka Allah. Dengan cara itu, seolah-olahnya kita telah menggenggam cinta itu sesetia mungkin agar ia bisa sampai ke pintu syurga. Dan abadi selamanya.”

Imran diam, dia sudah terjerumus ke dalam satu lembah dalam yang tidak bisa memenangkan naluri nafsunya lagi. Imran sudah tewas dan akal warasnya sedang dibaham oleh hujjah-hujjah ustaz Khalil.

“Cinta tanpa syariat seperti sekarang ini, adalah cinta yang dibutakan dengan rasa dan kejahilan. Cinta ini, zahirnya nampak asyik dan membuai. Hakikatnya, ia menimbun dosa dan meruntuhkan iman. Sehingga pasangan yang bercinta seperti Imran suatu hari nanti akan memulakan rumahtangga di atas tapak-tapak rapuh yang dipenuhi fantasi cinta. Fantasi itu tidak akan membawa pasangan itu ke mana-mana, kecuali menemui sebuah keruntuhan yang total.”

“Ustaz, kami bukan jahil sangat. Kami juga tahu hukum-hakam. Tahulah kami nanti untuk bawa hubungan ini.” Laila menunjukkan sikap persistensinya. Dia tidak mahu mengalah sekalipun dia menyedari Imran sudahpun tewas dalam peperangan hujjah.

“Awak tahu nak bawa hubungan ini ke mana?” Ustaz Khalil menujahkan soalan.

“Ke jalan yang betullah. Ke arah kebahagiaan.”

“Betul di sisi siapa? Bahagia macam mana?”

“Betul di sisi agama. Bahagia macam orang lain.” Laila memuncung.

“Betul di sisi agama apa? Bahagia macam orang mana?”

“Agama Islamlah ustaz. Bahagia macam…er” Bicaranya terputus, ideanya tersekat.

“Kalau nak ke pulau bahagia, kena naik sampan yang betul. Kena mendayung elok-elok. Jangan langgar batu, nanti karam. Begitu juga kalau nak ke syurga dan mahu bawa pasangan ke syurga, kena ikut agama Islam. Kena ikut betul-betul, kalau cuai nanti agama runtuh dan kita tenggelam ke dalam neraka.”

“Tapi ustaz…saya benar-benar mencintai dia.” Imran memuntahkan kalam itu selepas seketika dia mendiamkan diri. Kalam itu benar-benar dari lubuk hatinya yang paling dalam.

“Imran, boleh ustaz tanya beberapa soalan dan kamu jawab dengan jujur?” Ustaz Khalil menatap matanya yang terpamer emosi rencam. Imran diam tanpa berbalas.

“Imran, kalau awak mencintai seseorang. Adakah awak sanggup orang yang dicintai itu disakiti?”

Imran geleng.

“Adakah awak sanggup orang yang dicintai itu tercedera atau terluka?”

Geleng lagi.

“Sudah tentu awak akan pertahankan orang yang dicintai dari sebarang bahaya atau kesakitan bukan?” Ustaz Khalil menekan nada. Imran angguk.

“Andai begitu, adakah awak sanggup orang yang awak cintai itu dibakar dengan api neraka?” Ayat ustaz Khalil bagai menghentak dasar hati Imran hingga bergegar. Imran jadi kaku dan kelu.

“Jika benar mencintainya, tanamkan cinta itu atas tanah kefahaman Islam yang sebenar. Suburkan ia dengan baja ilmu yang jelas. Tiupkan udara iman dan amal setiap saat. Barulah cinta itu mekar dalam atmosfera yang sihat. Barulah cinta itu akan memimpin ke syurga dan bukan menjerumus ke neraka.”

“Adakah saya perlu putuskan percintaan ini…cinta saya ini, salahkah ustaz?” Imran lemah.

“Islam tidak akan membela cinta nafsu. Islam tidak akan memenangkan pasangan yang berdiri atas tapak cinta yang salah. Kesimpulannya begini, Imran boleh buat apa yang Imran suka. Dan balasannya akan dikutip diakhirat kelak. Imran boleh turut apa yang tuhan suka, balasannya tetap Imran yang terima. Jika Imran mahu balasan baik, Imran hanya perlu pilih jalan agama. Jika Imran mahu balasan buruk, Imran buat apa yang Imran suka.” Laila dan Imran mendiamkan diri.

“Imran, ustaz tak rugi apa-apa dalam soal ini. Ustaz tak dapat emas atau harta sepanjang ustaz menasihati Imran. Tapi, jika Imran membuat keputusan yang betul. Masa depan Imran juga yang beruntung. Itu sahaja. Dan pasti, Imran akan menjadi lelaki yang lebih bertanggungjawab. Lebih berkarisma. Dan lebih berprinsip. Percayalah. Lelaki yang beragama dan berpinsip akan mampu membahagiakan pasangannya.”

Troot! Troot! Deringan telefon bimbit mencelah perbualan mereka. Imran menarik telefon bimbit dan menyambut talian.

“Imran! Cepat ke hospital USM Kubang Kerian! Abah dan mama kemalangan, mereka sedang nazak!” Satu suara menjerit di corong gagang. Imran tergeletak letai dalam kecamuk emosi yang menggila.

‘Ya Allah! Apa yang aku sudah buat!’ Hatinya menjerit.

Imran berlari keluar dari KB Mall dan meninggalkan Laila yang masih bersama Ustaz Khalil. Dia tidak mampu berfikir apa-apa, dia cuma mahu mendapatkan skuter dan menyarungkan topi keledar. Hatinya dihurung seribu kecamuk dan kucar.

‘Mama…abah…tunggu Imran!’ Jerit batinnya. Wajah Imran bersawang keruh dan gusar. Sebaik enjin dihidupkan, dia memecut laju ke hospital USM Kubang Kerian. Dia memulas minyak sekuat hati dan membelah jalan bagaikan orang hilang akal.

‘Ya Allah, kenapa engkau hukum kedua ibubapaku dengan kemalangan ini? Adakah ini disebabkan dosa dan maksiat yang aku buat?’ Imran marah-marah sendiri. Skuternya terus bergerak lancar di atas jalan raya. Dia sedang menghala ke lampu isyarat berdekatan. Imran sudah tekad mahu memecut dan mengejar lampu hijau yang sudah berkelip-kelip.

Wajah mama dan abah muncul dalam matanya. Mereka tersenyum manis. Kata-kata abah dan mama bersipongang di telinganya.

“Imran, tolong jaga diri baik-baik. Jadi seorang muslim yang beragama. Nanti Imran boleh doakan mama dan abah bila kami berdua sudah tiada lagi.” Pesanan itu membuatkan hati Imran sebak. Dadanya berombak dan kelopak matanya bergenangan dengan air jernih.

Lampu isyarat di hadapan bertukar kuning. Imran terus memecut. Dia tekad.

‘Mama, jangan risau…Imran ke sana sekarang’ Hatinya merintih dalam sendu. Suara pesanan abah dan mama datang bersilihan.

“Imran…kalau bukan Imran, siapa lagi yang akan doakan abah. Abah tak kisah kalau harta abah ini habis untuk Imran. Yang penting abah mahu anak abah dapat menjadi manusia yang berguna. Belajarlah agama Imran…jangan jadi macam abah. Abah jahil. Abah Cuma mampu berikan duit dan memilih pendidikan yang baik untuk Imran. Sedangkan ilmu tak mampu abah berikan…Imran ingat! Carilah ilmu agama.” Pesanan abah menderu dalam hati Imran.

‘Abah! Maafkan Imran. Imran mahu mencium dahi abah dan mama. Imran dah banyak memberontak dan engkar. Jangan tinggalkan Imran!’ Hati Imran pecah dalam sebak yang bertalu-talu. Tangisannya menjadi lebat dan Imran sudah tenggalam dalam emosi yang mendudu.

Lampu isyarat bertukar merah. Imran meredah simpang ketika kereta dari arah bertentengan sudah bergerak. Tidak semena-mena sebuah motosikal muncul dari arah depan dan Imran cuba mengelak.

Sreeet! Tayar motosikalnya berdecit kuat. Motornya terbabas ke tepi dan dia jatuh terpelanting. Dia terbaring letai di atas tanah di tepi jalan. Orang ramai cuba membantu. Imran cuba bangun, namun kaki dan tangannya terasa begitu perit. Dia terasa bagai ada anggota tubuhnya yang patah.

‘Abah…mama…tunggu Imran’ Matanya berpinar dan beransur menjadi kelam. Malam bertukar zulmat dan segalanya hilang dari pandangan.

Titik.

No comments: