Tuesday, April 12, 2011


BAB 2 : MENGINTAI CINTA KHALIFAH


PERTEMUAN itu menjadi satu titik pecah yang meledakkan seribu warna cinta. Masa yang berlari deras itu bagai memotret lukisan indah bagi sepasang teruna dan dara. Setiap minggu, mereka berhubung dan sesekali berutusan emel. Imran dan Laila, mula meneroka alam fantasi cinta yang mereka bina sekalipun dihalang jarak dan lokasi pengajian. Semua itu tidak menewaskan kekencangan emosi yang saling berkejaran dan pusaran rindu yang kian merona dalam kamar cinta.



Setelah berbulan, Imran mengirim satu hadiah sempena hari jadi Laila yang kebetulan dengan hari cutinya. Sebaik Laila pulang dari asrama, dia menemukan sesuatu di biliknya. Sekeping kad bersama sebuah kotak. Terisi di dalamnya sebentuk jam tangan bertatahkan kristal pink. Hadiah istimewa untuk kekasih yang subur dalam kolam cinta. Laila membuka kad ucapan. Membaca sebuah sajak dari sang kekasih.

Senyuman manis terpugar di wajah dara yang kian dirasuk kasmaran. Laila terbuai dalam kalam bisu dari sekeping kertas.

Sayangku...
Setelah kuungkap setia,
Setelah cintaku diterima,
Izinkan aku...
Untuk memahami erti garis di wajahmu,
Senyum-mu...tawa-mu...diam-mu...muram-mu,
Aku mahu mencicip sama,
Secubit peritmu,
Secebis pahitmu,
Sekelumit dukamu,
Yang pernah singgah di permaidani jiwamu,
Agar aku terasa,
Begitu aku diperlukan...
Sayangku…izinkan aku,
Memetik gitar kasih,
Menyusun melodi rindu,
Agar siangmu jadi cerah,
Agar malammu jadi terang,
Biar puisi-puisiku merasuk deras…
Dalam tiap degup jantungmu,
Dalam tiap detik nyawamu.
Bisakah?
Sayangku…Izinkan aku,
Untuk bersimpuh lembut,
Di atas sejadah kalbumu,
Yang sebelum ini...
Menjadi rahsia dirimu seorang.

“Selamat Hari Lahir ke 17”

Daripada,
Imran Jazimin.

Terasa seluruh jiwanya terbang di langit ketujuh. Berenang-renang dalam ambalan awan kumulus. Terasa dia menatap sinar jingga tika mentari sudah mahu bersembunyi di balik tabir senja. Ada burung yang menyanyi damai didahan kalbu, ada pelangi yang melatari alam. Terasa alam sudah jatuh ke dalam tangannya, dan menjadi milik mutlaknya.

‘Sungguh asyik sebuah cinta.’ Detak atma Laila. Seketika dia mencapai telefon bimbit dan mengirim SMS.

Terima kasih sayang, sajak awak sangat puitis. Awak buat saya terbuai dalam kerinduan. Boleh kita jumpa di KB Mall malam ini? Rindu lah.

Mesej dihantar. Seketika mesej dibalas.

Kasih diterima. Sudah tentu saya mahu bertemu awak, kita jumpa nanti di KB Mall jam 9 malam. Depan Secret Recipe. Ok?

Laila senyum lebar. Dia sudah mempunyai sebuah skuter dan lesen memandu. Begitu juga Imran. Tiada sesuatu yang dapat menyekat dirinya dari menemui kekasih hati. Kini dia merasakan cintanya benar-benar ditatang, kehadirannya benar-benar dihargai Imran. Fantasinya membuai dalam dunia yang begitu romantis.

No comments: