Tuesday, April 12, 2011

Warkah Cinta Berbau Syurga
Oleh A. Ubaidillah Alias


Assalamualaikum

Wardah...

Cairo kurasakan sepi tanpa surat-suratmu. Bunyi sahrawi yang mengepuk debu kering itu bagai membawa mersik suaramu. Tetapi, aku tetap sedar bahawa kau tidak pernah berada di sisi. Semenjak dahulu, kini dan selamanya. Hanya aku bermain ilusi sendiri. Justeru, aku datang dengan wajah seorang kawan. Tidak minta dikasihi dan tidak minta dibenci. Hadirku untuk membantu melerai kekusutan. Aku yang memulakan salam pertemuan, selayaknya aku jua yang melafazkan salam perpisahan.



Ingatkah sewaktu dirimu meletakkan harapan yang tinggi pada hubungan ini. Waktu itu betapa kita yakin bahawa hubungan ini akan utuh dan kukuh. Kita yakin susah senang mampu diharung dengan sabar. Masa itu kita masih muda bukan, kita penuh dengan semangat serta azam. Kita kadang-kadang lupa dengan tribulasi, melihat cabaran dengan mata yang kurang terbuka. Biar jauh atau dekat, biar senang atau susah, kita tetap mahu pastikan agar hubungan ini berjaya.

Dulu pernah kuungkap "Jangan terbang tinggi, kalau jatuh kan parah". Lalu Wardah jawab "kalau kita tak cuba terbang tinggi, sampai bila pun kita takut untuk mencuba. Lagipun kita tetap mendapat nikmat berusaha dan mencuba". Kalam itu banyak memberi kesan kepada diriku.

Aku terasing jauh dari bumi sendiri, terbang melintasi benua dan akhirnya terdampar di tepi pesisir mediteranean. Apabila diimbau sejarah kita, terasa seolah suatu kisah yang kita karang bersama adunan rasa jujur dan tulus. Walaupun hubungan kita tidak disuburkan dengan pertemuan, kesefahaman dan kepercayaan telah menyiram benih-benih kemesraan. Kita jadi pasangan yang toleransi dan saling cuba memahami. Ah, seolah sebuah kisah mitos yang tidak wujud, namun ia telah berlaku dalam hidup kita.

Hari ini, terbukti tiada jodoh antara kita dan mungkin sudah sampai masanya kita mencari haluan masing-masing. Ke mana sahaja kita terbang, semampunya kita tuju dengan sepenuh kekuatan dan kematangan. Selagi kita fahami realiti dan tidak terikat dengan emosi. Pasti konklusinya mampu kita capai dengan baik. Antara kita, mungkin ada peristiwa yang menjadi kenangan abadi. Namun tidak bermaksud kita mengagungkannya. Jadikan ia sekadar memori untuk diri sendiri. Sekadar nostalgia untuk diimbau. Biarlah ia menjadi khazanah yang berharga, atau mungkin sahaja hilang dipupus masa. Tuhan yang menentukan, bukan kita.

Benarlah, cinta tidak mampu memenangkan segala. Cinta tidak membawa segala kesempurnaan hadir ke sisi. Tetapi, ia mengajar kita menerima sesuatu seadanya. Cinta juga bukan semestinya bersama. Cinta itu untuk memastikan orang yang dicintai bahagia. Terima kasih kerana pernah menerima diri ini sebagai insan istimewa. Terima kasih…

Sekian.

Amir,
Cairo, Republic Of Egypt.





KELANTAN adalah negeri yang tersohor dengan berbagai nama, gelaran seperti Negeri Serambi Mekah, Cik Siti Wan Kembang, tanah Serendah Sekebun Bunga terlalu kerap meniti bibir-bibir pengunjung ke bumi ini. Selain mempunyai kebudayaan yang unik seperti dikir barat, wayang kulit, kertuk dan sebagainya, Kelantan juga adalah destinasi membeli belah yang semakin digemari oleh penduduk Malaysia. Setiap kali musim cuti menjelma, pasar Siti Khadijah yang terletak di pusat bandar akan dipenuhi ribuan manusia dari segenap pelusuk negeri. Memandangkan sambutan yang begitu baik, kerajaan negeri semakin positif untuk membangunkan pasaraya baru bagi memenuhi keperluan pengguna. Kini, selain daripada pasaraya Pantai Timur dan Bersatu(The Store), telah didirikan beberapa pasraya baru seperti Billion dan KB Mall.

Selain daripada pusat membeli belah di pusat bandar, kebanyakan daerah dan jajahan sekitar negeri Kelantan juga tetap mempunyai tarikan tersendiri. Antaranya daerah Tumpat, di mana terdapat pusat beli belah barangan murah di kampong Rantau Panjang. Sementara itu, kedudukan Kelantan yang terletak di pesisir pantai timur semakin menarik pengunjung luar untuk melihat keindahan pantai yang terdapat di seluruh Kelantan. Pantai Cahaya Bulan yang terletak di daerah Kota Bharu, Pantai Irama dan Bisikan Bayu yang terletak di daerah Bachok, pantai Sri Tujuh yang terletak di daerah Tumpat dan banyak lagi.

Apa yang lebih penting untuk diperhatikan adalah pusat-pusat pengajian di negeri Serambi Mekah ini begitu subur dengan pengajian agama. Semenjak awal tahun 90an, kerajaan negeri begitu ghairah menubuhkan pusat pengajian formal yang berteraskan Al-Quran dan hadis. Selain pusat pengajian pondok dan sekolah menegah agama, maahad tahfiz telah ditubuhkan bagi memenuhi hasrat Menteri Besar yang bercita-cita menjadikan setiap rumah di negeri ini mempunyai seorang penghafal Al-Quran. Rentetan daripada itu juga, maahad tahfiz sains dicetuskan bagi melahirkan agamawan professional yang menghafal kalam Allah. Boleh dikatakan kesemua sekolah tahfiz yang wujud di Kelantan hanya dikhaskan untuk pelajar lelaki sahaja. Kecuali salah satu Maahad Tahfiz Sains, di Tanah Merah yang memberikan peluang pengajian kepada pelajar perempuan untuk menjadi penghafal Al-Quran.

Kurikulum di sekolah maahad tahfiz tidak jauh beza daripada sekolah agama yang lain, cuma subjeknya lebih banyak dan ia adalah sekolah berasrama penuh. Memandangkan kurikulum yang padat dan berat, disiplin yang dikenakan ke atas pelajar agak ketat berbanding sekolah lain. Pelajar di wajibkan menghabiskan sukatan hafalan 30 juzuk dalam masa tidak lebih daripada lima tahun. Ini memerlukan komitmen dan sikap konsisten yang ampuh ke atas diri pelajar.

Selain daripada sekolah maahad tahfiz, Kelantan juga mempunyai beberapa sekolah bistari. Antaranya sekolah Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat dan banyak lagi. Namun sekolah Naim Lilbanat ini agak berbeza dengan kebanyakan sekolah agama di negeri Kelantan sama ada dari sudut pentadbiran mahupun kurikulum kerana ia tidak bernaung di bawah Yayasan Islam Kelantan. Subjek dan pengajian adalah sama sahaja dengan kebanyakan sekolah menengah yang lain kecuali ditambahkan beberapa subjek berbahasa arab. Seluruh pelajarnya adalah perempuan sahaja, sebahagian ditempatkan di asrama bagi memudahkan proses pembelajaran.

Maahad tahfiz pertama yang ditubuhkan dalam sejarah negeri Kelantan ialah Maahad Tahfiz Al-Quran wal Qiraat di Pulai Chondong, Machang. Ia ditubuhkan pada tahun 1991 dengan pengambilan setiap tahun seramai hanya 30 orang pelajar. Namun quota 30 orang ini telah berubah semenjak tahun 2000 dan kini ia mengambil seramai 60 orang pelajar setiap tahun.

Disiplin yang ketat dan rutin harian yang padat membuatkan sesetengah pelajar merasakan dirinya seperti berada di penjara. Ada segelintir pelajar yang terpaksa keluar dari sekolah kerana tidak mampu mengikuti jadual harian di maahad tahfiz. Tekanan pengajian memang tidak dapat dielakkan, namun atas didikan guru-guru yang penuh komited dan tarbiah berasaskan Al-Quran menjadikan kebanyakan penuntut tegal merentas jalan ini. Tidak semuanya mampu, hanya yang terpilih akan terus berdiri di landasan ini sehingga berjaya.

Selain melahirkan seorang hafiz, ia juga bermatlamat melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berketrampilan dalam semua aspek kehidupan. Mereka dilatih untuk berpidato, menjadi imam solat, mengendalikan kumpulan dan mengurus organisasi secara berjemaah. Latihan ini adalah sebahagian daripada kurikulum maahad tahfiz dalam meningkatkan modal insan. Apa yang penting, generasi yang lahir dari latar belakang pendidikan sebegini akan mampu menyeru seluruh masyarakat ke arah menghayati agama Islam selaku agama rasmi di Malaysia secara syumul.

No comments: