Tuesday, April 12, 2011


BAB 2 : Warkah Cinta Berbau Syurga.


BENAR, untuk merealisasikan sebuah impian memerlukan keberanian. Mimpi tidak akan menjadi kenyataan jika tidak mampu dilaksana. Selagi tiada tindakan, selagi itulah impian akan kekal menjadi mimpi. Sampai bila akan terus begitu?

Sampai bila…?

“Apa masalah enta Amir? Ustaz lihat enta selalu gagal menghafal perkara yang ustaz suruh. Biarpun benda tu mudah.” Ustaz Hamdi memeluk tubuh sambil berdiri di hadapan muridnya.



“Ana …bukan tak hafal. Ana dah hafal semua, tapi ana gemuruh.” Dia tunduk ke lantai. Bilik kaunseling itu hanya dihuni mereka berdua.

“Kenapa boleh jadi begitu? Enta takut? Ustaz dah tolong buatkan teks pidato, malah ustaz dah beritahu awal-awal tarikh giliran enta berucap. Sepatutnya enta sudah membuat persediaan yang cukup. Malangnya, enta tak dapat buat yang terbaik? Apa sebenarnya yang enta takutkan?” Ustaz Hamdi mengepung mindanya dengan soalan-soalan mudah. Memang setiap minggu seorang pelajar akan dipilih untuk menyampaikan ucapan di majlis perbarisan sekolah. Minggu ini, dia yang terpilih untuk menyampaikan ucapan. Malangnya dia gagal menghabiskan ucapannya dengan baik.

Amir menggenggam penumbuknya erat-erat. Geram ada, sakit hatipun ada. Kenapa ustaz Hamdi selalu menyuruhnya? Kenapa tidak disuruh orang lain sahaja? Bukankah masih ramai lagi pelajar yang ada di sekolah ini. Asyik-asyik dia yang kena. Pantang berjumpa ustaz Hamdi, mesti ada sesuatu yang ingin dimintanya. Buat itu, buat ini. Tulis itu, tulis ini. Dia pun hairan dengan sikap ustaz Hamdi yang seolah-olah mahu menderanya.

“Ustaz…lain kali jangan suruh ana berucap di perhimpunan. Ana memang tak mampu.” Amir meluahkan suara hatinya yang kian membengkak.

“Tak mampu? Betul ke? Enta belum lakukan yang terbaik, tiba-tiba enta kata tak mampu. Nampak sangat yang enta ni membataskan kemampuan diri sendiri.” Ustaz Hamdi melepaskan kata-kata itu sambil tersenyum. Dia faham, pesimis di dada Amir masih menggunung.

“Ana tak faham, kenapa ustaz asyik paksa ana buat macam-macam? Ana dah cakap yang ana tak mampu, maknanya memang ana tak mampu…ana tahulah siapa diri ana sendiri.” Amir mecak. Matanya dibuang ke lantai, tidak sanggup bertentang mata dengan ustaz Hamdi.

“Baiklah, jika enta tak mampu berucap, apa perkara yang enta mampu buat?” Ustaz Hamdi berjalan ke kerusi. Lalu duduk bersandar. Amir masih kaku berdiri.

“Ana boleh menulis dengan baik. Tapi…itupun ustaz juga yang ajarkan.”

“A’ah, baguslah kalau enta ingat. Sebelum enta mampu menulis seperti sekarang, banyak alasan yang diberikan. Ana sibuklah, ana tak sempatlah, ana tak mampulah dan macam-macam lagi. Lepas tu, ustaz ajarkan cara untuk menulis dan menyusun waktu dengan baik. Dan akhirnya terbukti…enta mampu.”

Diam.

Amir mengakui, dia banyak berdalih dalam soal penulisan sebelum ini. Dia selalu tidak yakin pada dirinya. Sebaik sahaja Ustaz Hamdi menyedari bakat terpendam dalam dirinya, dia terus memberikan latihan dan teguran. Paling utama ustaz Hamdi mengajarkannya cara membahagi masa dengan baik, barulah dia sempat menulis diwaktu terluang. Hampir setahun lebih dia melatih diri sendiri, akhirnya dia sudah mampu menulis untuk majalah sekolah. Paling membanggakan, karyanya pernah tersiar di majalah Dewan Siswa.

“Ustaz, menulis tidak sama dengan berpidato atau berceramah.” Amir mencari alasan untuk memenangkan dirinya. Tangan kanannya ditarik keluar sambil matanya memandang jam yang tersarung di pergelangan tangan. 11.15 pagi. Masih berbaki 15 minit sebelum waktu rehat tamat.

“Betul tak sama? Apa perbezaannya?” Soalan demi soalan dilemparkan. Huh! Amir naik cuak. Dia mendengus kecil.

“Entah!” Amir menjawab malas. Dia mula bosan.

“Baiklah, biar ustaz jawab. Sebenarnya menulis dan berpidato adalah perkara yang serupa, iaitu masing-masing bermatlamat untuk menyampaikan sesuatu maksud. Bukankah menulis itu menyatakan apa yang ada di dalam minda. Begitu juga bercakap. Betul tak?” Ustaz Hamdi mengangkat keningnya. Amir diam kelu. Tidak mahu memperakukan apa yang baru didengarnya.

“Malah bercakap dan menulis memerlukan kepada bahasa. Jika ada bahasa, barulah mampu menulis atau bercakap. Bila ada bahasa, barulah wujudnya komunikasi. Sedarkah Amir bahawa enta sudahpun menguasai bahasa dengan meluahkannya dalam bentuk penulisan, sebab itu enta mahir menulis. Malangnya enta tidak mahu meluahkannya dalam bentuk pengucapan. Ana bukan suruh enta berucap dalam bahasa Arab atau Inggeris, tapi dalam bahasa Melayu. Sepatutnya enta mampu lakukannya tadi, betul tak?” Ustaz Hamdi tersenyum.

“Oklah, ana dah faham…semua ini salah ana. Boleh ana keluar sekarang?” Dia angkat kepala, seolah-olah mengibarkan bendera putih. Dia tidak mahu menerima kenyataan bahawa dia telah kalah.

“Amir…cuba ingat pesanan ustaz.” Ustaz Hamdi pandang wajah anak muridnya.

“Tuhan memberikan kepada enta nama yang cantik. Amir Mukhlis, bererti ketua atau pemimpin yang ikhlas. Ini bukan kebetulan, ini adalah takdir yang bersebab. Malah, ana sendiri mendapati enta mempunyai bakat-bakat lain yang mampu dikembangkan. Malangnya, enta seorang yang pesimis.” Ustaz Hamdi mematikan kalam di situ sambil memerhati tindak balas Amir.

“Pesimis? Apa maksud pesimis ustaz?” Amir tidak mengerti.

“Maksudnya, enta terlalu memandang rendah pada kemampuan diri sendiri. Sedarkah enta, orang yang mampu menjadi pemimpin negara atau berjaya menempa suatu kejayaan besar dalam dunia ini, semuanya adalah manusia biasa seperti kita. Tapi mereka mempunyai satu ciri utama.” Ustaz Hamdi menombak mata Amir.

“Iaitu mereka mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri serta keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru. Mereka yakin mereka mampu walaupun terpaksa menanggung risiko.” Ustaz Hamdi memberi syarahan yang ringkas dan padat. Amir tertegun. Dia sedar, ustaz Hamdi mahu menyatakan kelemahan terbesar dalam dirinya ialah tidak yakin pada diri sendiri.

“Kalau enta mahu pecahkan ketakutan itu, enta harus mencabar diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang sukar. Mana mungkin menjadi sehebat Saidina Ali jika takut melibas pedang. Mana mungkin menjadi sehebat Helang kalau takut dengan ketinggian. Pecahkan ketakutan itu dengan mencabarnya. Barulah enta akan menjadi manusia yang baru.”





AMIR mengunyah karipap laju-laju, masa rehat sudah hampir tamat. Sambil itu ingatannya kuat memutar kembali ayat-ayat yang terluah daripada mulut ustaz Hamdi.

“Keyakinan terhadap diri sendiri…keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru…walau terpaksa menanggung risiko.” Amir mengulang sebut ayat itu perlahan-lahan. Entah bagaimana, dia seakan tersedar kembali sebaik mengingati kalam itu. Terasa dirinya bagaikan si kerdil yang mempunyai seribu satu kelemahan. Penakut! Tidak yakin! Bacul! Ahhhhh!

“Mahu menjadi sehebat Saidina Ali…perlu berani melibas pedang?” Amir meluah bicara itu perlahan-lahan. Amir sedar, kata-kata itu adalah motivasi dalam membunuh ketakutan dalam diri. Manusia yang mampu keluar daripada kepompong ketakutan seolah-olah manusia yang baru dilahirkan.

“Eh! Amir, Jom masuk kelas. Loceng dah berbunyi.” Suara Rahim menyapa dari sisi. Emosi Amir terburai. Dia menghabiskan sisa karipap dan air sirap di dalam gelas. Dia kemudian bergegas ke bilik tingkatan bersama Rahim.

Kelas tingkatan 5 Al-Azhar bising seperti biasa, selagi tiada guru yang masuk selagi itulah ia kedengaran seperti pasar ikan. Namun kebisingan itu bukan disebabkan cakap-cakap kosong, tetapi kerana suara bacaan Al-Quran daripada sesetengah pelajar. Amir mengambil tempat duduk di mejanya. Wajahnya menyimpan seribu rasa rencam, duka, kecewa, lemah dan rendah diri. Beberapa minit berlalu, kelas kembali hening.

“Amir! Kenapa berdiam diri kat meja tu, tak nak bagi ceramah untuk kelas kita.” Tiba-tiba suara sinis Jali memercik dari bucu kelas. Jali bangun dan berjalan menghampiri meja Amir. Darah Amir menyirap, tetapi dia tetap tunduk ke meja. Memang Jali sering menyindir dirinya. Memang Amir tahu, keberanian Jali berpidato dan kepetahannya berbicara menjadikan dia pelajar yang disukai oleh sebahagian besar ustaz dan guru. Berbeza dengan dirinya yang kurang yakin.

“Lain kali, kalau nak berpidato datang jumpa ana dulu. Boleh ana ajarkan cara-caranya. Barulah tak lintang pukang macam tadi.” Jali buat muka selamba. Ada nada sombong dalam bicaranya. Bagi Amir, setiap perkataan itu bagaikan bilah-bilah pedang yang menghiris tangkai dan hulu jantungnya. Sakit! Pedih! Hancur! Mentang-mentang Jali wakil pidato peringkat Zon, bukan main lagi menyombong diri.

Jika dibandingkan dengan Jali, mereka tidak jauh berbeza. Jali hanya pandai bercakap dan berpidato tetapi langsung tidak mahir dalam penulisan kreatif. Malah Amir pernah menulis teks pidato untuk Jali sempena persembahan Malam Kebudayaan Islam di sekolahnya. Itulah dirinya, setakat ini dia cuma mempunyai kemahiran dalam penulisan, tetapi sangat lemah dalam penyampaian.

“Assalamualaikum semua.” Suara Cikgu Imran menyapa di muka pintu kelas. Dia berdiri di situ sambil mengeluarkan dua helai kertas.

“Ketua kelas sila ambil iklan ni.” Cikgu Imran meminta. Faizul bangun dan bergerak menuju ke pintu.

“Pihak sekolah akan menganjurkan pertandingan pidato dan juga pertandingan menulis esei sempena Ma’al Hijrah. Sila baca syarat-syarat penyertaan dalam iklan yang disediakan. Pemenang pidato akan dibawa ke Yayasan Islam Kelantan untuk membuat persembahan syarahan sempena hari anugerah tokoh Ma’al Hijrah dan juga mendapat wang saguhati. Manakala pemenang esei akan mendapat hadiah saguhati sebanyak RM seratus lima puluh. Jika esei itu sangat menarik dan sesuai, ia akan dimasukkan ke dalam makalah bulanan terbitan Yayasan Islam Kelantan untuk diedarkan ke setiap sekolah agama di negeri Kelantan. Selamat mencuba.” Cikgu Imran menghabiskan bicara dan berlalu pergi.

Jali memandang Amir. Matanya bersinar lalu dia mengukir sebuah senyuman lebar. Amir mengerti, ada sesuatu yang ingin diminta oleh Jali.

1 comment:

Unknown said...

assalamualaikum...
ust, saya pelajar jurusan sarjana pengajian islam . saya kini sedang mengkaji novel berunsur dakwah. jadi saya telah memilih novel ust sebagai rujukan saya. boleh kah ust berikan biodata ust supaya saya boleh masukkan dlm kajian saya ini?
terima kasih

mashita azuwan,
ukm, bangi.
mashitaazuwan@gmail.com