Tuesday, April 12, 2011


BAB 3 : KALA CINTA & WAHYU BERSATU


TASNIM berdiri di bawah langit petang sambil membisu. Awan kumulus berambal nipis di dada lazuardi. Mentari tidak lagi bersinar terik, memandangkan waktu sudah menghampiri senja. Mata Tasnim menatap sayu dua nisan sahabatnya sambil bibirnya membaca al-Fatihah. Dia benar-benar merindui sahabat baiknya yang telah kembali ke rahmatullah itu. Satu-satunya sahabat yang banyak berkongsi sedih dan pilu dalam mengharungi kehidupan di dunia.



Sewaktu Wardah menyambung pengajian ke Universiti Malaya, Tasnim pula menyambung pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa dalam jurusan undang-undang. Namun minatnya dalam bidang penulisan mengheretnya berkecimpung dalam dunia kreatif. Dia banyak menghasilkan puisi dan cerpen. Beberapa hasil tulisannya berjaya menembusi media perdana, dari situ dia mendapat wang honorarium yang agak lumayan dan membantunya menambah duit poket. Berkat usahanya dan sedikit sokongan kewangan daripada keluarga, kini dia sudah berada dalam semester akhir pengajian. Jika diizinkan tuhan, dia mahu lulus dengan cemerlang dan membuka firma guaman.

Tasnim seorang wanita yang penyantun, lahir dari keluarga beragama. Bapanya adalah petani yang juga lebai di kampung. Ibunya pula adalah suri rumah, namun mempunyai kemahiran dalam masakan. Sebagai anak dara kesayangan, dia kerap pulang ke Kelantan apabila ada waktu senggang. Hari ini dia pulang bercuti seketika. Selain menemui keluarga dan beberapa urusan lain, rasa rindu kepada Wardah membawanya ke maqam perkuburan sahabatnya.

Janji dan kesanggupannya untuk mencari Amir seringkali membuatkan dia tertanya tentang keperibadian Amir. Sewaktu Wardah mula jatuh cinta dengan Amir, Tasnim sudah merasa ingin kenal siapakah jejaka itu. Kini, demi janji sahabatnya dia perlu mencari Amir walau di mana sahaja lelaki itu berada. Yang pasti, hal itu akan diuruskan selepas dia berjaya menamatkan pengajian diperingkat ijazah. Buat masa ini, dia hanya akan menunggu kepulangan Amir dari Mesir.

’Wardah...sungguh perkenalan kita seketika...namun, kau telah membuatkan aku sedar tentang banyak perkara. Aku sering cemburu terhadapmu kerana menjadi pelajar yang diminati ramai lelaki. Tapi, kau tidak endahkan semua lelaki itu. Malah kau tetap mencintai hanya Amir Mukhlis dengan sebenar-benarnya. Aku cemburu dengan kesetiaanmu. Kecemburuanku itu membuatkan aku kagum padamu. Aku juga tertanya-tanya bagaimanakah lelaki yang bernama Amir Mukhlis itu. Sampai begitu sekali dia membuatkan hati wanitamu mencintainya.’ Jiwanya bermonolog. Tasnim berdiri kaku tanpa menoleh ke mana-mana.

Jeda.

Wajah Wardah muncul dalam kenangan, suaranya bersipongang di dalam kolong nubari Tasnim.

”Tasnim...bagiku, Amir adalah lelaki yang tulus dalam ketegasan. Dia ego kerana menjaga kesucianku. Dia bukan membenci atau sombong, sebetulnya dia mahu mempastikan aku tidak leka dan lalai dalam lautan percintaan.”

”Tasnim, jika aku mati...tidak salah kalau kau mahu mengenalinya. Bagiku, dia lelaki terbaik yang pernah muncul dalam hidupku. Aku dapat rasakan pekertinya mulia. Aku tidak menyuruhmu, cuma aku memberitahumu bahawa tidak rugi jika engkau mengenali lelaki sepertinya.”

’Wardah, lelaki semuanya pandai menipu! Dayus dan tahu berdusta. Cakap tidak serupa bikin! Gatal dan miang! Amir mungkin sama sahaja dengan lelaki lain!’ tiba-tiba hatinya menjadi geram apabila teringatkan kalam Wardah. Sampai saat ini dia tidak bole memaafkan Shamsul yang sanggup menzalimi sahabatnya. Dia adalah suami yang sial pada pandangan Tasnim. Amir juga adalah lelaki, sama sahaja dengan Shamsul. Lelaki hanya tahu menyusahkan perempuan!

’Sabar Tas...bertenang’ Dia memujuk diri sendiri. Angin semilir bertiup lembut dan menampar wajah Tasnim. Perlahan angin itu membawa pergi rasa marah yang membuak-buak sebentar tadi. Kenangan hilang didakap angin petang. Tasnim memeluk tubuh, hatinya bergelora. Perlahan dia berjalan menuju ke kereta.

‘Amir…bilakah engkau akan pulang ke Malaysia?’ Hati Tasnim berdetik. Dia menghidupkan enjin dan mula membelah jalan. Malam ini dia perlu menghadiri satu program membaca puisi dan makan malam di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan. Program tersebut adalah anjuran Persatuan Penulis Kelantan, dia adalah salah jemputan yang akan membuat persembahan membaca puisi.

Walaupun dia antara penulis dan penyair termuda, namun bakatnya tidak kalah dengan penyair senior. Malah dia memiliki rupa paras yang rupawan. Berkening tebal dan beralis lentik, di bawah bibir kanannya terdapat tahi lalat. Wajahnya benar-benar mempamerkan keanggunan gadis melayu dari daerah Cik Siti Wan Kembang. Dia seorang gadis berani, santai dan mampu menggugah jiwa lelaki dengan garis senyuman mungilnya.

3 comments:

nuRUlhAnNaNi MasTuRinA said...

salam..
ni sambungan warkah cinta berbau syurga ke?

A. Ubaidillah Alias said...

Iya, sambungan Warkah Cinta

Anonymous said...

salam..bab 4 dan seterusnya tak tulis ke?